Photo by David O. Andersen on Unsplash

Oleh: Asmat Fikri

Kopi! Mungkin ramai yang tidak sedar, dalam satu hirupan yang sungguh enak itu tersimpan bahaya dalam diam. Kopi selalunya diminum pada waktu pagi untuk berasa segar dan tidak mengantuk. Jika diambil pada waktu siang, ia akan membakar semangat dan memberikan tenaga tambahan. Ada sebab lain juga iaitu mungkin ketagihan atau pada mulanya mungkin kerana ingin mengikut trend semasa sahaja, tapi akhirnya membawa padah. Terutama buat kaum wanita.

Menurut Majlis Keselamatan Negara, secawan kopi mengandungi 95mg kafein. Malah United States Department of Agriculture (USDA) dan European Food Safety Authority (EFSA) turut menjelaskan, jumlah pengambilan kafein yang lebih selamat dalam sehari adalah tidak melebihi 400mg sehari iaitu lebih kurang 2 ke 4 cawan kopi sahaja sehari.

Pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan tangan menggigil, keresahan, kerisauan, degupan jantung yang tidak menentu dan susah untuk tidur. Wanita yang mengandung dinasihatkan hanya mengambil kafein tidak melebihi 200mg sehari. Pengambilan kopi secara berlebihan boleh menyebabkan keguguran atau anak yang dikandung mempunyai berat yang tidak mencukupi.

Malah hal ini bukan hanya mitos semata, tapi turut dibincangkan oleh pakar kesihatan seperti Dr Zubaidi Hj Ahamad. Beliau turut menekankan Kesan mengambil kafein berlebihan kepada kaum wanita. Antara kesan pengambilan kopi secara berlebihan pada wanita menurut beliau adalah:

1. Menyebabkan rasa panik dan cemas
Kafein yang ada dalam kopi boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meningkatkan degupan jantung. Jumlah kafein dalam kopi bergantung pada jenis kopi. Bagi mereka yang sensitif, ambillah kopi yang mengandungi kafein yang kurang bagi mengelakkan masalah ini. Selain itu ia menyebabkan rasa cemas, panik dan mudah ‘naik angin’ walaupun berhadapan dengan masalah kecil.

2. Mengganggu Fungsi Kognitif
Kopi yang diminum dalam jumlah yang sederhana pada sesetengah orang akan meningkatkan semangat dan fokus untuk bekerja. Namun, bagi sesetengah wanita yang lain ia boleh menjejaskan kebolehan untuk berfikir dengan baik (kognitif).

Photo by Freepik

3. Menyebabkan wanita sukar hamil
Belum ada kajian yang terperinci bagaimana kopi (atau bahan kafein) mengganggu kesuburan wanita. Namun banyak kes yang dilaporkan bagaimana pengambilan kopi yang berlebihan mengganggu kesuburan wanita. Berkemungkinan besar kafein yang berlebihan mengganggu keseimbangan hormon dalam tubuh wanita.

4. Menyebabkan kereputan tulang
Kereputan tulang adalah suatu perkara yang biasa berlaku pada wanita yang sudah mengalami menopause. Namun pengambilan kopi yang berlebihan akan menyebabkan proses kereputan tulang ini akan berlaku dengan lebih cepat. Ini kerana kafein menghalang penyerapan kalsium ke dalam tulang.

5. Boleh menyebabkan keguguran ketika hamil
Wanita yang sedang hamil tidak digalakkan untuk meminum kopi berlebihan, terutama bagi mereka yang pernah keguguran. Dos kafein yang dibenarkan hanyalah 200 mg. Belum ada kajian yang mendalam, namun lebih baik mengelakkan kopi sebelum keguguran berlaku. Boleh gantikan pengambilan dengan kopi tanpa kefein (decaf).

Jadi, pengambilan kopi bukanlah langsung tidak dibolehkan. Tapi kesihatan juga perlu diutamakan. Dalam apa jua keadaan, bersederhana itu adalah cara terbaik dan paling tidak memudaratkan. Jika perlu atau teringin, ambillah sekadar hilang ‘craving’ iaitu secawan untuk satu hari. Pengambilan kopi yang paling baik adalah tanpa gula. Jadi, kopi-kopi hipster yang dijual di luar sana itu adakah memenuhi kriteria kopi yang sihat?

Tahukah kita berapa kandungan gula dalam krimer, atau setiap pemanis yang digunakan? Jika berani, cubalah tanya peniaga!

# Ikuti sambungan artikel akan datang bahayanya kafien berlebihan pada manusia.#

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here