Oleh : Asmat Fikri
Ramai menganggap masalah slip disc hanya berlaku kepada mereka yang berusia atau yang melakukan kerja-kerja berat. Namun, hakikatnya semakin ramai wanita dalam lingkungan 30-an kini mengalami masalah ini sama ada disebabkan gaya hidup seharian, postur badan yang salah atau tekanan fizikal tanpa disedari.
Slip disc berlaku apabila cakera lembut yang menjadi ‘kusyen’ antara tulang belakang (vertebra) terkeluar atau tergelincir dari tempat asalnya. Keadaan ini boleh menyebabkan saraf terhimpit, lalu menimbulkan rasa sakit, kebas atau lemah pada bahagian belakang, pinggul dan kaki.
Punca Slip Disc Dalam Kalangan Wanita 30-an
Beberapa faktor utama menyumbang kepada peningkatan kes slip disc dalam kalangan wanita muda ialah:
1. Gaya hidup tidak aktif – Duduk terlalu lama di pejabat, memandu jauh atau menatap komputer berjam-jam tanpa regangan menyebabkan otot belakang menjadi lemah.
2. Postur badan yang salah – Membongkok semasa bekerja, mengangkat anak atau barang berat tanpa teknik betul akan memberi tekanan besar pada tulang belakang.
3. Berat badan berlebihan – Lemak berlebihan di bahagian perut meningkatkan tekanan pada tulang belakang bawah.
4. Kesan kehamilan berulang – Perubahan postur dan hormon semasa mengandung menjadikan sendi serta ligamen lebih longgar, meningkatkan risiko kecederaan tulang belakang.

Tanda awal slip disc
Terdapat beberapa tanda awal yang boleh dikaitkan dengan slip disc. Antara yang perlu diberi perhatian adalah:
•Sakit belakang berpanjangan terutama selepas duduk terlalu lama.
•Rasa mencucuk atau kebas di bahagian pinggul dan kaki.
•Lemah otot atau kesukaran membongkok dan berdiri tegak.
•Sakit bertambah teruk ketika batuk, bersin atau mengangkat barang berat.
Jika gejala ini dibiarkan, ia boleh menjadi kronik dan memerlukan rawatan serta pembedahan.
Langkah pencegahan slip disc
Wanita boleh mengurangkan risiko slip disc dengan beberapa langkah mudah antaranya sentiasa kekalkan postur badan yang betul ketika duduk atau berdiri. Antara lain yang boleh dilakukan adalah senaman regangan ringan setiap 30 minit jika bekerja di meja. Selain itu juga wanita harus elakkan mengangkat barang berat secara mendadak iaitu dengan bengkokkan lutut dan gunakan tenaga kaki, bukan pinggang.
Amalkan juga berat badan ideal dan lakukan aktiviti seperti berenang, yoga atau berjalan kaki. Jadikannya rutin harian. Dan akhirnya, pastikan guna tilam dan kerusi yang menyokong tulang belakang yang sesuai.
Penutup
Slip disc bukan lagi masalah orang tua tapi ia kini ancaman senyap kepada wanita muda yang sibuk dengan kerja, keluarga dan gaya hidup moden. Dengan penjagaan postur, aktiviti fizikal berkala dan kesedaran tentang tanda-tanda awal, risiko ini boleh dielakkan.
Menjaga tulang belakang bererti menjaga tunjang kehidupan kerana apabila tulang belakang sihat, seluruh tubuh dapat berfungsi dengan lebih bebas dan bertenaga.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.









