Lisdawati terima realiti dan terima apa saja watak berlakon asalkan bersesuaian dengan imejnya yang bertudung.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Lisdawati/Koleksi Syed Wafa

Zaman sekarang apa saja ingin dikongsikan artis bersama peminat-peminatnya. Namun ini berbeza sekali dengan pelakon Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin,47, yang mengambil pendekatan hanya memaparkan cerita-cerita tentang perkembangan terbarunya ketika berlakon drama mahupun filem.

“Dah 25 tahun dalam industri ini. Jadi saya dah faham asam garam kehidupan dalam industri seni ini. Kini hanya perkara-perkara yang berkaitan dengan kerja sahaja yang saya akan upload di media sosial. Selainnya biarlah hanya saya dan keluarga serta orang terdekat yang mengetahuinya.

Lisdawati dalam filem Bisikan Remaja.

“Saya nak elak dari sebarang kontroversi sebab dah tak larat nak layan kontroversi lagi macam dulu-dulu. Sekarang saya pilih nak hidup tenang bersama keluarga dan anak-anak. Hidup sekarang rasanya dah cukup tenang dan saya cukup bersyukur dengannya. Kini saya nak fikir perkara yang baik-baik dan jadi orang baik…itu saja doa saya setiap kali lepas solat,” kata Lisdawati lagi.

Pelakon popular KL Menjerit ini menambah, dia bersyukur sebab dirinya masih diterima dalam industri sehingga ke hari ini.

Lakonan mantap Lisdawati dalam KL Menjerit terus menjadi ingatan peminat sehingga hari ini.

“Alhamdulillah saya bersyukur sebab saya dan suami masih lagi mendapat tawaran berlakon sehingga ke hari ini. Inilah punca kami selama ini kerana tanggungjawab saya masih banyak lagi kerana anak-anak kami masih belajar lagi. Anak-anak kami 8 orang, di mana 3 orang sudah berkahwin dan tinggal lagi 5 orang yang belum kahwin termasuk anak paling kecil pun baru berusia 7 tahun.

“Saya baru saja selesai penggambaran drama Mitos Untuk Akira sebanyak 15 episod dan kini saya masih menanti tawaran berlakon yang datang. Saya selalu berdoa agar Allah permudahkan urusan saya untuk berlakon.

Kenangam menjadi cover majalah “Remaja”

“Sekarang saya dah tak fikir apa-apa watak asalkan sesuai dengan imej saya yang bertudung. Saya juga tak impikan watak yang mencabar sebab saya tahu dengan usia sebegini kini saya kena berpegang pada realiti. Syukurlah selalunya watak yang ditawarkan semuanya watak yang baik-baik sebagai emak, makcik, kakak ataupun datin. Bagi saya itu pun sudah memadai kerana dapat juga tawaran.”

Kini Lisdawati juga tengah menunggu filem lakonannya pada tahun lepas Munajat Kasih arahan Osman Ali yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Kenangan menjadi cover majlah hiburan terkenal tanah air “Hai”

Menurut Lisdawati lagi, kalau tidak sibuk dengan penggambaran dia akan pastikan ada masa bersama anak-anaknya.

“Walaupun ada van yang mengambil dan menghantar anak-anak kami ke sekolah, namun saya dan suami akan pastikan kami ada masa untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Bagi saya inilah masa untuk kami berbual-bual dan luangkan masa untuk anak-anak.

Persandingan semula Fauzi Nawawi dan Lisdawati sempena ulangtahun ke 15 perkahwinan mereka pada 25 Disember 22.

“Itu sebabnya bila tak berlakon saya banyak habiskan masa bersama anak-anak, uruskan keluarga dan rumahtangga. Saya perlu cipta masa bersama anak-anak agar tidak ada jarak antara kami anak-beranak. Saya nak anak-anak rasa, Mama dan Babah mereka sentiasa ada untuk mengadu atau bercerita walaupun kami selalu sibuk shooting.

“Waktu hantar anak ke sekolah dan pergi berlakon adalah istilah ‘me…me time’ pada saya. Kalau tak berlakon, lepas hantar anak ke sekolah saya akan berlari sejauh 10 km sekeliling kawasan perumahan saya di Taman Melawati. Inilah juga cara saya menjaga kesihatan.

Keluarga bahagia Lisdawati bersama suami, anak- anak dan cucu.

Mengenai dunia perniagaan pula, menurut Lisdawati dunia perniagaan tidak begitu sesuai dengan jiwanya.

“Dulu saya pernah meniaga tapi rasanya jiwa saya memang tidak sesuai meniaga kecuali menjadi duta atau model sesuatu produk. Bagi saya orang yang meniaga ini memang hebat sebab banyak benda yang perlu mereka lakukan.”

Dramatis jelita Lisdawati bersyukur perkahwinannya bersama suami iaitu pelakon Fauzi Nawawi yang meniti usia 19 tahun kekal harmoni, walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Kini saya cukup bahagia dan bersyukur dikurniakan suami yang penyayang dan sangat bertanggungjawab. Selalunya jika berlaku salah faham antara kami berdua, saya memilih untuk berkomunikasi melalui mesej telefon berbanding bersemuka kerana bimbang akan berlaku pertikaman lidah.

Pasangan dua sejoli, Lisdawati bersama suami tercinta, Fauzi Nawawi yang bahagia dengan cara mereka sendiri.

“Apa sahaja masalah, kami berbincang melalui SMS (dahulu) dan sekarang melalui WhatsApp. Sejak dulu kami cuba elak pertelingkahan lidah sebab takut akan bertindak di luar jangkaan. Sampai sekarang kami amalkan cara begitu. Selepas hati kami sejuk, barulah saya dan suami bersemuka untuk berbincang dan saling bermaaf-maafan,” ujar nenek kepada dua orang cucu itu.

Pasangan Fauzi dan Lisdawati mendirikan rumah tangga pada 9 September 2007. Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Nur Aina Farhana, 17, Nur Aina Fazneesya,16, Ahmad Nur Fyrdaus, 11, dan Ahmad Nur Fayyadh, 7.

Lisdawati juga mempunyai empat anak tiri hasil perkahwinan terdahulu Fauzi iaitu Nurul Hainil Fatihah, 30, Fareez Hazwan, 28, Nurul Hana Farisya, 26, dan Mohd Fikri Hakimi, 23.

Keluarga besar Lisdawati bersama anak- anak, menantu dan cucu.

Pada Festival Filem Malaysia ke-16 (FFM16) pada 2003, filem KL Menjerit telah menerima 8 pencalonan bagi setiap kategori dan memenangi semua kategori yang dicalonkan termasuk Lisdawati yang menerima anugerah Pelakon Harapan Wanita. Manakala pada majlis Anugerah Seri Angkasa 2022 beliau juga memenangi anugerah Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik (Akhirnya Bahagia Meluruh) terbitan Nasional FM.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan dan perfileman antara filem yang pernah dibintanginya ialah Anaknya Sazali (2000), Mistik, Black maria, Bisikan Remaja, Bilut, Syaitan, Chermin, Santau, Songlap, Pak Pong, Salahkah Takdir?, Siapa Tutup Lampu?, Juang, Sengketa, Soloz: Game of Life dan Munajat Kasih.

Lisdawati tetap anggun dan cantik bergaya dalam meniti usia lewat 40-an.

Manakala drama dan telefilem pun lebih 100 buah drama yang pernah dibintanginya termasuk Astana Idaman, Spanar Jaya, Aku & Dia Cape Town, Tak Tercapai Akalmu, Pasrah The Series, Dewi Cinta, Pepaya, Dua Marhalah, Suria di Cordoba, Dia Bukan Maryam, Roh Kembali.., Ular Emas, Ejen 008, Matahari, Roda-Roda Kuala Lumpur, Derhaka Seorang Madu, Takdir Qismah, Kerana Sarah, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan banyak lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here