Foto: Ehsan Deja Moss/Koleksi Syed Wafa
Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI ada yang berharap jika program realiti Gegar Vaganza (GV) memulakan musim baharu, penyanyi kesukaan mereka yang lama menyepikan diri akan sertai program terbitan Astro itu.
Apabila penyanyi yang sudah lama tidak muncul di khalayak, sekurang-kurangnya tatkala mereka tampil dalam program sedemikian dapat meleraikan kerinduan peminat terhadap penyanyi pujaan masing-masing.
Mesti ada yang berharap penyanyi Deja Moss yang popular dengan lagu “Asmara Ini” yang dikeluarkan pada 2006 itu diberi peluang untuk menjadi salah seorang peserta GV musim seterusnya. Seperti sebelum ini Nur Fatimah yang menetap di Canberra, Australia, sanggup menyertai GV6.

Baru-baru ini Deja Moss atau nama penuhnya, Sharifah Hadijah Wan Moss, 52, kembali ke Malaysia sekejap untuk menguruskan beberapa perkara. Mungkin agak sukar untuk anak kelahiran Kuching, Sarawak itu untuk sering berulang-alik kerana jarak antara Malaysia dengan Chicago, Amerika Syarikat itu mengambil masa lama.
Deja yang mendirikan rumah tangga untuk kali kedua dengan Maher Khani pada 2019, selepas bercerai dengan Azfendy Azzuddin Ahmad (Andy), pada 24 Oktober 2018, kini selesa menetap di Chicago sejak 2021 bersama Maher yang turut mempunyai tiga orang anak, antaranya, Salma dan Laila hasil perkahwinan lalunya.
Kata Deja, awalnya memang sukar untuk dia berhijrah ke sana kerana berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Namun menyedari tempat isteri adalah di sisi suami, maka Deja bersedia mengharungi kehidupan baharu.
“Memang pada dasarnya berat hati ini melangkah jauh, terutama mengenangkan mak dan ayah yang semakin berusia namun tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya.
“Tapi bila memikirkan teknologi juga akan sentiasa mendekatkan kami, saya kuatkan hati untuk meneruskan penghijrahan ini yang sudah lama diperincikan secara mendalam.

“Bagi saya, tak kira di mana pun saya berada, mak ayah, adik-beradik, saudara mara dan rakan selain Malaysia tetap berada di hati. Ini tanah tumpah darah, tiada yang lebih istimewa selain di tempat sendiri.
“Saya akan tetap pulang ke tanah air, tambahan pula tiada apa yang saya mahu kejarkan lagi kecuali bekalan akhirat. Itu juga yang suami saya tekankan kerana pada usia ini, dia mahu kami sama-sama inginkan ketenangan,” katanya syukur kerana Allah hadirkan lelaki berketurunan Amerika-Syria itu sebagai imamnya masa kini.
Deja sewaktu aktif sebagai penyanyi, berkesempatan tampil dengan album sulung berjudul “Deja Moss” pada 2000, diikuti dengan album kedua, “Janji” (2001), “Simpankan Cerita Lalu” (2003) dan “Masih Di Sini” (2006). Manakala lagu-lagu cukup sinonim dengan Deja, antaranya, adalah “Kau Yang Teristimewa”, “Tiada Kali Kedua”, “Mestikah Aku Menerima Mu”, “Di Matamu Aku, Di Jiwamu Dia” dan “Menepis Rawan”.
Bagi yang merindui Deja, jangan risau anda akan dapat merasai kehadirannya di sisi jika anda membaca buku biografi berjudul “Hidupku Takdirku” yang diterbitkan sebelum dia berhijrah ke Amerika Syarikat.

Selepas membaca buku “Hidupku Takdirku”, dapat rasakan yang diri kita begitu dekat dengan Deja seolah-olah kita adalah bahu untuk dia bersandar. Ini kerana segala rahsia dan kisah perjalanan kehidupannya meliputi kerjaya, masalah kemurungan, rumah tangga, perceraian, berkahwin semula dan momen bahagia didedahkan bagi ikhtibar kepada semua.
Menerusi buku autobiografi itu juga Deja tidak berselindung dan berkongsi rahsia yang dirinya pernah mengalami masalah kemurungan teruk selama empat tahun hingga terdorong ke arah perasaan mahu menamatkan riwayat diri sebanyak tiga kali.
“Kecelaruan minda dan jiwa itu berlaku sewaktu saya belum melangkah ke alam rumah tangga lagi. Mula-mula saya ingatkan ada masalah imsomnia, selalu berdebar-debar, takut tanpa sebab dan mudah menangis itu boleh diatasi tetapi akhirnya saya berjumpa doktor tetapi sangat bergantung kepada ubat.
“Apabila hidup sendirian pada ketika itu, muncullah bisikan yang mahu saya mengelar pergelangan tangan atau terjun bangunan, cuma iman saya masih kuat untuk cepat-cepat istighfar.

“Mujur keluarga dan sahabat baik memberikan semangat dan membawa saya berjumpa doktor. Bukan mudah melalui semua emosi itu, malah saya rasa bertuah tidak dibiarkan untuk terus dibuai emosi sendirian.
“Dulu rahsia ini saya simpan kerana takut dilabel gila apatah lagi ketika itu isu mental dianggap taboo. Kini melihatkan situasi kronik kes bunuh diri yang tercetus akibat pendemik Covid-19, saya bangun bersuara sebagai pengajaran,” katanya yang berharap kisah pahitnya itu yang dirangka lebih setahun itu boleh dijadikan teladan dan penyuntik semangat untuk terus cekal berdepan ujian.
Deja yang merupakan anak seni Sarawak pertama mewakili negara dalam pertandingan Festival Muzik Asia 2005, sekali gus merangkul anugerah Penyanyi Terbaik Asia itu sebelum ini juga dikenali sebagai penjual kek lapis Sarawak.

Malah beliau pernah menggunakan kepakarannya itu untuk membantu anak-anak yatim dan ibu tunggal asnaf. Baginya, apa yang dilakukan adalah lahir daripada hati yang ikhlas kerana mahu menyumbang sesuatu kepada komuniti.
Sebelum berhijrah ke luar negara, Deja pernah menguruskan projek amal Kek Lapis Deja Moss dengan Rumah Anak Yatim Teratak Che Dah (TDK). Di samping aktif menghulurkan bantuan kepada anak yatim, Deja turut terpanggil untuk menolong kaum wanita yang hilang tempat bergantung.
“Saya juga ada mengajar ibu tunggal untuk buat kek lapis dan mereka adalah ibu-ibu tunggal asnaf. Memang niat saya mahu turunkan resipi dan ilmu kepada mereka yang memerlukan supaya ibu tunggal ini dapat jana pendapatan mereka sendiri setiap bulan,” katanya yang tidak kedekut ilmu itu.

Bercerita mengenai perjalanan kerjaya seninya pula, kata Deja walaupun berada di luar negara, dia masih mendapat undangan untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis tertutup.
“Masih ada lagi yang panggil saya untuk buat persembahan, terutamanya kalau ada majlis-majlis yang melibatkan orang Malaysia di sana. Kalau berkesempatan, saya terimalah tawaran tersebut tapi tak banyak yang berjaya dipenuhi kerana saya sekarang sudah bekerja.
“Selain terikat dengan tugasan kerja dan lagipun suami tak begitu menggalakkan saya untuk meneruskan kerjaya seni. Misi saya sekarang ini bukan lagi mengejar nikmat dunia dan saya bersyukur dengan apa yang Allah limpahkan sekarang ini kerana hidup saya diceriakan dengan keluarga bahagia,” katanya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









