Oleh: Nafsiah Jani
Sejak kecil, pelakon Zila Bakarin telah ditekankan untuk menjaga kecantikan dan penampilan diri oleh arwah ibunya, Som Haji Jaafar. Ajaran ini terbawa-bawa sehingga Zila dewasa dan sehingga kini dalam meniti usia 50-an, Zila Bakarin cukup mementingkan penampilan wajahnya.
“Sejak sekolah rendah arwah mak dah suruh saya jaga kebersihan diri dan jaga kecantikan. Itu sebabnya hingga sekarang saya cukup prihatin dengan penampilan wajah dan sesuai dengan karier saya sebagai pelakon. Setiap kali mandi saya akan ambil masa selama 1 jam setengah untuk melulur badan dan membuat segala-galanya agar kulit wajah saya terpelihara daripada sebarang cela. Dah berusia ini, tak lama sangat saya mandi berbanding zaman muda remaja dulu.

“Mak saya selalu berpesan, bila nak buat itu dan ini jangan lupa baca ayat-ayat tertentu ataupun bersolawat. Tambahan pula saya memang suka cantik, jadi segala ajaran mak saya, saya ikut dan amalkan sehingga ke hari ini.Itu sebabnya kalau ada rezeki saya nak buat produk kecantikan sendiri sesuai dengan jiwa saya yang cukup mementingkan kecantikan,” kata Zila atau nama sebenarnya Rosmawati yang turut menurunkan ilmu kecantikan kepada anak-anaknya, Kaseh, 16 dan Chinta, 13.
Ditanya mengapa produk kecantikan yang dipilih berbanding bisnes yang lain, jelas Zila lagi,“Semua perempuan nak cantik. Kalau produk itu kena dan sesuai dengan kulit mereka, sudah pasti seseorang itu akan berusaha membeli dan mendapatkan produk yang mereka sukai…tak kira mahal sekalipun. Itu sebabnya saya nak keluarkan produk kecantikan atas jenama saya sendiri.”

Zila Bakarin anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini memulakan kerjaya lakonan pada 1996 melalui telefilem Biduk Kasih terbitan Saujana Productions. Setahun kemudian, beliau membuat penampilan filem pertama menerusi filem Sate arahan pengarah Z.Lokman dan filem keduanya, No Problem pada tahun 2001. Pada hujung 2019, Zila mula bertudung.
Bercakap mengenai kehidupannya kini, ujar Zila lagi, tak ada apa yang ingin dia kejar kerana hidupnya sudah lengkap segala-galanya.
“Saya tak punya apa-apa lagi impian…semuanya dah tercapai. Apa yang Allah kurniakan pada saya dan keluarga sudah memadai sehingga kini. Saya ada suami yang baik, anak-anak yang baik, mendengar kata dan cukup menjaga adab. Bagi saya keluarga sederhana saya sudah cukup bahagia dan apa yang datang kami terima dengan ikhlas dan redha.”

Kurang tawaran berlakon, Zila aktif review produk
Sesuai dengan pasaran terkini, selain influencer, kini artis-artis juga menjadi pilihan sesetengah pengusaha produk untuk memperkenalkan dan meviralkan produk keluaran mereka.
“Entahlah sekarang ini dah kurang tawaran berlakon dan saya pun tak tahu apa sebabnya. Tapi syukurlah ada juga permintaan untuk saya review produk mereka. Dapat juga income sambil duduk di rumah. Lagipun kerjanya bukan susah. Kita kenali produk itu terlebih dahulu dan beritahu penonton kebaikan dan kelebihan sesuatu produk tersebut.

“Kurangnya tawaran berlakon bukan kerana saya demand atau memilih tapi ini semua disebabkan harga yang ditawarkan semakin tidak berbaloi dengan harga kami sebagai orang lama. Sekarang dah ramai pelakon tambahan yang dah lakonkan watak-watak mak, mungkin harga mereka yang rendah membuatkan produksi mengambil mereka.
“Harga saya masih sama, tak akan susahkan pengarah di set kerana saya tahu tugas saya. Kalau satu scene itu mungkin saya dapat buat dalam masa 15 minit berbanding pelakon baru antara 30 minit hingga satu jam. Mungkin produki nak jimat bajet dan fikirkan bayaran…kau murah aku ambil. Tapi saya tak kisahlah. Saya percaya pada rezeki. Tak berlakon saya buat review produk, berbaloi juga bayarannya,’ kata Zila Bakarin sambil ketawa.

Perwatakan antagonis pelakon Zila Bakarin sering menjadi sebutan. Ditambah pula dengan kecantikan semulajadinya membuatkan Zila Bakarin tetap menjadi pilihan pengarah untuk membintangi drama terbitan mereka. Namun di sebalik semuanya, Zila tidak pernah berkecil hati jika bakatnya tidak dihargai sesetengah pihak.
“Saya bukan jenis pemilih watak. Apa yang orang tawarkan, itulah yang akan saya jayakan watak tersebut. Saya akan pastikan memberi yang terbaik pada setiap naskhah yang saya lakonkan. Saya percaya mereka berikan tawaran tersebut sebab mereka yakin dan percaya dengan kerja saya. Sebagai pelakon apa salahnya saya memberi dan buat yang terbaik kerana dunia lakonan ini adalah periuk nasi saya, passion saya dan minat saya sejak kecil lagi.
“Sepanjang 22 tahun bergelar pelakon, tak pernah saya tercalon atau dicalonkan untuk sebarang anugerah. Orang julang atau tak julang nama saya, saya tak kisah sebab saya tahu diri. Pada saya dah cukuplah peminat yang mengenali dan menghargai bakat lakonan saya. Saya harap dapat terus happy, dapat duit bagi anak-anak makan, tak ada orang kacau hidup saya, saya berlakon dan terus berlakon.”

Selain drama, Zila Bakarin juga laku sebagai pelakon filem. Antara filem lakonannya ialah Sate pada tahun 1997, No Problem (2001), Syaitan Munafik (2023) dan Jiwa 8 Belas (2024).
Manakala drama-drama yang dibintanginya ialah Sapa Kata Tak Dan?, Sesuci Cinta Sofiya Gerak Khas, Tanah Kubur, Cinta Elysa, Putera Rayyan, Ramadan Yang Hilang, Kifarah, Tanah Kubur, Kasih Kembali, Othello, Gerhana Di Hati Suraya, Memori Cinta Suraya, Cinta Dari Marikh, Aku Pilih Kamu, 7 Hari Mencintaiku, Suri Hati Mr. Pilot, Numero Uno, Biduk Kasih, Bapa Mertuaku, Atirah, Di Sebalik Awan, Nelayan, Rumah Kayu Tiang Seribu, Menantuku Sayang Menantuku Malang, Siapa Kata Dan…, Tegak Di Tiang, Membelah Ombak, Syair Pari-Pari, Perang Dingin, Ustaz Rock, Dendam Aurora dan banyak lagi
Kini Zila Bakarin bahagia dengan suaminya, jurukamera Azri Izhar yang dikahwininya pada 11 Januari 2008 selepas lapan tahun berkenalan, pasangan ini dikurniakan dua cahayamata perempuan iaitu Kasih yang lahir pada tahun 2009 dan Chinta pada 2012.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.









