Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Baggio/Koleksi Syed Wafa
Setiap artis pasti mengimpikan sebuah konsert besar sebagai tanda pencapaian mereka pada tahap tertentu dan juga sebagai tanda penghargaan serta terima kasih kepada peminat.
Begitu juga dengan impian penyanyi dan pelakon Baggio yang turut menyimpan hasrat mengadakan sebuah konsert akustik secara eksklusif buat peminatnya. Persembahan konsert itu nanti sebagai ‘pemasaran’ dirinya untuk menyatakan kepada peminat dirinya masih menyanyi dan masih berada di persada seni.

Damasutra pada tahun 1990.

Damasutra.
Bercerita lebih lanjut mengenai impiannya yang masih belum kesampaian, ujar Baggio atau nama sebenarnya, Bahagia Daharun, 54, lagi,“Impian itu terlalu subjektif. Apa yang saya impi dan harapkan sekarang ini adalah saya nak bahagia dunia dan akhirat.”
Sebagai penyanyi yang mempunyai banyak pengalaman, Baggio cukup pandai memasarkan dirinya sendiri.

“Buat masa ini bila ada masa terluang saya akan habiskan masa berbasikal bersama ahli kelab kami iaitu Baggio Community Cycling Club. Antara negeri yang telah kami jelajahi secara berbasikal ialah ke Perlis dan Johor. Aktiviti ini bagus untuk saya menjaga kesihatan dan dapat menbentuk minda saya agar sentiasa cergas dan kuat daripada segi fizikal.
“Selain itu, aktiviti berbasikal ini bagus untuk saya bersosial dan bergaul dengan pelbagai orang. Sekurang-kurangnya dapat jugalah saya mempromosikan diri. Kalau ada rezeki dapat jugalah tawaran mengadakan persembahan daripada kalangan geng-geng berbasikal saya,” kata Baggio lagi.

Baggio memulakan karier seninya selaku vokalis kumpulan Damasutra pada tahun 1990. Ketika bersama Damasutra, kumpulan ini muncul dengan album Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutra dan Bulan 1991, Asyik (1992), Kurnia (1993) dan album terakhirnya bersama Damasutra, Penawar (1996).
Selepas itu Baggio bergerak secara solo pada tahun 1998 setelah keluar daripada kumpulan Damasutra. Sepanjang bergerak solo, Baggio muncul dengan pelbagai karya dan single. Antara album kompilasi yang pernah dihasilkannya ialah Album Tangkap Nangis 3, Best of Awang BPR -2000, Album Trilogy (gandingan Baggio, Ijam Medicine dan Sham Visa).

Manakala dalam album Penangan Rock pula Baggio bergandingan dengan Nai Dinamik,Nizam Laksamana dan Alim Kris. Kemudian Baggio muncul dengan single, Hujan Pelangi dan seterusnya Taman Syurga pada 2017, diikuti Laduni Cinta dan Kau Ibu.
“Ada rezeki, minggu ini saya akan rakam satu lagi single berjudul, Rindu. Kalau tak ada masalah lagu dan lirik Joe Slash ini akan akan diperdengarkan pada peminat mulai Ogos nanti. Lagu tetap berkisar mengenai percintaan dan konsepnya lain daripada single-single sebelum ini,” ujar Baggio lagi.

Kata Baggio, pelantun lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi ini lagi, Inilah antara deretan drama -drama yang pernah dia lakonkan sepanjang penglibatan dalam dunia lakonan.
“Daripada tidak memahami apa itu bidang dan teknik lakonan sehingga akhirnya tumbuh minat yang mendalam dengan dunia lakonan selain menyanyi. Sekarang ini dah lama saya tidak berlakon sejak 2020, kalau ada pun berlakon drama kawan-kawan kerana mereka bagi harga yang berpatutan berbanding syarikat penerbitan lain. Sedih sekarang, sebab kami orang-orang lama tidak dihargai dan bayaran pula terlalu murah dan tidak setimpal dengan kerja kami.

“Bayangkan dulu bayaran pada tahun 1998, ada pelakon drama veteran dibayar sehingga RM1,000 untuk satu scene berbanding sekarang 10 scene dengan bayaran RM1,000 sahaja. Oleh kerana harga yang tidak `menggembirakan’ itu sebabnya saya memilih untuk tidak berlakon sehingga mendapat harga yang setimpal dengan lakonan saya.
“Sepanjang berlakon saya pernah bekerjasama dan menimba pengalaman dengan pengarah-pengarah hebat seperti ,Papa Yus,Ebbie Saiful,Tony Francis Gitom, Datuk Yusuf Haslam, Othman Hafsam ,M Amin, Aziz M Osman, Along Kamarudin, Fauziah Nawi , Rashid Sibir, Feroz Khan, Opie Zami dan ramai.”


Baggio yang berjinak-jinak dengan dunia lakonan sejak tahun 1992 sehingga sekarang telah membintangi lebih 100 buah drama dan telemovie. Antara drama lakonannya ialah Mira Edora RTM -1992, Hayati drama berepisod (RTM –1993),Cinta Korporat, Kasih Kembali, drama Bersiri Gerak Khas, Anak Betong, Pusaka Sangkar Ana, Drama bersiri Penjara Janji dan VCD Rasuk.
Baggio kini bahagia bersama isterinya, Nelly serta anak-anaknya iaitu Adlina, 30, Mohd Danish, 20, Mohd Danieal Sufi dan 17, Mohd Dinie Rifdi, 16.


Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.