Syamel mula dikenali dalam bidang seni suara selepas menyertai Akademi Fantasia 2015 sebagai naib juara.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BAGI penonton drama “Seadanya Kita”, arahan Feroz Kader, lakonan Emma Maembong dan Mierul Aiman yang ditayangkan di platform penstriman VIU, baru-baru ini pasti turut tersentuh apabila mendengar runut bunyi drama tersebut yang berjudul “Berakhir Kita”.

Lagu “Berakhir Kita”, nyanyian Syamel, ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K itu sampai ke hati pendengar. Tidak dinafikan naib juara program realiti ‘Akademi Fantasia 2015’ itu kalau menyanyi memang penuh penjiwaan.

Syamel atau nama penuhnya, Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, mula melonjak apabila lagu ciptaannya, “Hidup Dalam Mati” yang dikeluarkan pada 2015 menerusi album “Hits AF2015” mendapat perhatian ramai.

Anak seni kelahiran Kuala Lumpur itu seorang yang suka mencabar diri kerana pada 2016, dia mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian terbitan Astro, ‘Duo Star 2016’. Program ini melibatkan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air dan Syamel berpasangan dengan Ernie Zakri dan mereka dinobatkan sebagai juara ‘Duo Star’ musim pertama.

Pada tahun ketiga penglibatannya sebagai penyanyi komersial, Syamel menyertai satu lagi program realiti TV terbitan Astro, ‘Akademi Fantasia Megastar 2017’, sebuah program yang menghimpunkan lapan bekas juara dan 16 alumni AF di satu pentas.

Berat badan Syamel turun kerana dia suka bersukan.

Syamel berjaya menempatkan dirinya di antara 12 orang peserta AF Megastar 2017. Beliau berjaya melangkah ke pentas akhir. Meskipun tidak menjuarai program tersebut, Syamel tidak pulang dengan tangan kosong apabila dia memenangi anugerah ‘The Ultimate Performer’.

Sebelum berjaya meletak diri di tahap sekarang, peminat Bruno Mars dan Marc Anthony yang memiliki Diploma Pengajian Perniagaan dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu pernah ‘busking’ di hadapan Pasaraya Sogo, Kuala Lumpur.

Syamel yang suka bersukan terutamanya futsal, ping pong dan badminton itu, bukan sekadar menyanyi kerana di sebalik penampilannya menghibur penonton dengan suaranya yang merdu, dia adalah seorang komposer, penulis lirik, penggubah lagu dan pelakon.

Bermua dari pentas ‘Duo Star’ sebagai pasangan duet untuk program tersebut, akhirnya pada 16 Ogos 2020, Syamel bertunang dengan Ernie sebelum disatukan sebagai suami isteri pada 21 Mac 2021. Kini rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran anak sulung, Nur Khawla Soleha.

Selain dianugerahkan keluarga bahagia, Syamel juga berjaya mengatur perjalanan kerjaya seninya dengan baik berdasarkan usaha dan keringatnya tersendiri.

Gandingan Syamel dan Ernie bermula daripada program ‘Duo Star’ sejak 2016 lagi.

Antara kejayaan yang dicapai oleh Syamel sebagai orang baharu dalam bidang seni ketika itu adalah menjadi pemenang kategori Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-22 dan Lagu Paling Lama dalam Carta ERA menerusi lagu “Hidup Dalam Mati” di ERA Digital Music Awards pada 2017.

Manakala, pada Anugerah Juara Lagu ke-32, Syamel dipilih sebagai pemenang untuk kategori Vokal Terbaik selepas mendendangkan lagu “Aku Cinta”. Malah lagu duetnya bersama Ernie itu, melayakkan mereka dinobat sebagai Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular di acara Anugerah Bintang Popular Berita harian ke-31 pada 2018.

Pada 2022, sekali lagi Syamel yang berduet dengan Ernie menerusi lagu “Goodbye Hello” memenangi kategori Lagu Pop Terbaik dan Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23.

Populariti dan bakat menyerlah Syamel itu melayakkan dia mewakili Malaysia dalam acara ABU TV Song Festival 2017, yang diadakan di Chengdu, China pada 1 November 2017. ABU TV Song Festival 2017 merupakan acara antarabangsa pertama Syamel sertai sejak bergelar penyanyi profesional.

Selain lagu “Berakhir Kita” menjadi runut bunyi untuk drama ‘Seadanya Kita’, lagu sebelum ini “Belakang Tabir” ciptaan sepenuhnya dan nyanyian Syamel turut dijadikan runut bunyi untuk drama ‘Luruhnya Bunga Cinta’.

Syamel bukan sekadar penyanyi, dia juga seorang komposer dan penulis lirik.

Syamel bukan sahaja menonjolkan kepelbagaian bakatnya sebagai penyanyi yang mampu mendendangkan lagu dalam pelbagai genre, dia juga berjaya menggubah penampilan dirinya. Ada yang beranggapan dia melakukan pembedahan bariatrik seperti artis lain.

Jelas Syamel, dia mengurangkan berat badan secara semula jadi tanpa melakukan sebarang pembedahan demi kesihatan. Di awal pembabitannya dalam dunia hiburan, berat badan Syamel pernah mencecah sehingga 99 kilogram.

“Saya kurangkan berat badan bukan kerana mahu tampil sado, cuma saya mahu menambah keyakinan diri agar kelihatan segak dan bergaya. Saya juga mengambil kira faktor kesihatan.

“Jika berkesempatan, saya sering bermain futsal atau pun menghabiskan masa di gimnasium. Sekurang-kurangnya, tiga kali seminggu. Sejujurnya, badan besar atau kurus tiada masalah pun kerana ia pilihan masing-masing, tetapi bagi saya, biarlah sihat.

“Saya mahu mengurangkan berat badan atas pilihan sendiri kerana sebelum ini saya pernah mempunyai tubuh badan yang besar. Selepas berjaya mengurangkan berat, saya dapat merasakan perubahan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di pentas sebagai penyanyi. Tahap stamina semakin meningkat,” kata Syamel.

Gembira dapat satu pentas dengan penyanyi hebat

Pada 18 Oktober ini, Syamel bakal menjayakan Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 di Mega Star Arena bersama Anuar Zain, Ziana Zain dan Ernie. Sebagai persediaan untuk konsert berskala besar itu, kata Syamel, dia amat menitikberatkan soal pemakanan dan stamina.

“Secara peribadi, ini adalah satu peluang yang baik untuk saya kerana bakal berada di pentas yang sama dengan penyanyi yang berpengalaman dan legenda ini.

Syamel rasa teruja dapat mengadakan persembahan bersama dengan penyanyi berpengalaman seperti Anuar dan Ziana Zain serta isteri tercinta, Ernie.

“Pada saya secara peribadi sangat bermakna konsert ini dan saya memang memberi komitmen yang sepenuhnya. Antara perkara yang paling penting selain penjagaan makan dan kesihatan, adalah saya amat teruja apabila lagu sendiri akan dinyanyikan oleh penyanyi lain.

“Apabila bersama dengan orang profesional yang juga ahli keluarga, walaupun kita cuba jadi profesional akan terkeluar juga hal pakcik dan makcik juga. Banyak juga diselitkan dengan nasihat dan pandangan yang mereka ambil berat.

“Saya dan Ernie belajar banyak sangat daripada Anuar Zain dan Ziana Zain. Kami saling melengkapi juga, dari segi teknologi. Mereka sering berkongsi pandangan macam mana orang lama bekerja dan diadaptasi pula dengan penggunaan teknologi sekarang, jadi saling melengkapi dan semuanya berjalan lancar,” cerita Syamel mengenai persiapannya untuk Konsert EMPAT nanti.

Selain menjayakan konsert bersama Pak Ngah dan Mak Long, Syamel dan isteri juga berpeluang merakam lagu bersama kedua-dua penyanyi tersohor itu.

Lagu “Jangan Berhenti”, ciptaan Edry Abdul Halim dan lirik oleh Syamel, Ernie serta Edry dengan kerjasama Anuar Zain Network Sdn Bhd, Ziana Zain Network Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd., itu dihasilkan sebagai hadiah buat peminat yang menyokong kerjaya mereka.

“Ini adalah lagu terbaharu daripada kami (EMPAT) yang dihadiahkan kepada peminat sebagai tanda kasih dan semangat yang tidak pernah putus, sama seperti sokongan peminat yang sentiasa mengiringi langkah kami. Semoga irama ini menjadi pengikat kenangan terindah menjelang Konsert EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025 nanti,” katanya terus terang.

Ujar Syamel, meskipun mereka bergabung dalam satu karya, ia tidak menganggu kerjaya solonya atau yang lain. Sebaliknya, kata Syamel, mereka tak akan berhenti mempromosi jenama EMPAT walaupun selepas konsert selesai.

“Kami tak nak hentikan branding EMPAT ini untuk konsert ini saja. Kalau ada rezeki akan ada lagi. Kita dah mula dengan lagu rentak rancak, dan mungkin ada peminat teringin nak dengar lagu balada pula. Mana tahu, jika ada rezeki di masa akan datang, ada lagu lain pula daripada kami berempat,” katanya tersenyum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here