Setiap kali persembahan mesti penonton mahu dengar lagu-lagu hits dendangan Raihan.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PASTI ada di antara kita sudah hafal lagu-lagu nyanyian kumpulan Raihan kerana karya kumpulan nasyid tersebut sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Lagu-lagu dendangan Raihan bukan sekadar didengar sepintas lalu saja kerana setiap lirik yang ditulis mempunyai mesej yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup. Antara lagu dendangan kumpulan Raihan yang masih menjadi pilihan ramai adalah “Puji-Pujian”, “Iman Mutiara”, “Syukur”, “Sesungguhnya” dan “Ya Nabi Salam Alaika”.

Bagi peminat-peminat Raihan yang ingin mendengar anggota kumpulan tersebut mendendangkan lagu kegemaran anda, jangan lupa hadir ke perkarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS), Jengka, Pahang, pada jam 9 malam ini (24 Oktober 2025) sempena program “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza”.

Meskipun sekarang ini Raihan yang ditubuhkan pada 1996 oleh Farihin Abdul Fatah hanya tinggal tiga ahli sahaja, namun Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim tetap aktif seperti dulu.

Kumpulan Raihan di awal kemunculan menerusi album sulung pada 1997.

Sewaktu awal kemunculan, anggota Raihan ada lima orang ahli termasuk Nazrey Johani (keluar daripada Raihan pada 2006) dan Allahyarham Azahari Ahmad. Malah bekas anggota kumpulan AlarmMe, Nordin Jaafar sempat menyertai Raihan selepas Nazrey mengundur diri daripada kumpulan tersebut.

“Untuk persembahan malam ini, Raihan akan bawa lima buah lagu termasuk sebuah lagu khas untuk Gaza iaitu “We Will Not Go Down” yang memang sesuai untuk acara itu,” kata Che Amran.

Selain Raihan, “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” juga akan diserikan dengan persembahan daripada Mawi, Dr Sam Rasputin dan The Helmis iaitu Heliza dan adiknya Hazwani Helmi.

Jelas Che Amran, Raihan rasa berbesar hati kerana turut terlibat dalam acara yang dianjurkan sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sekali gus merai pembukaan cawangan ketiga KESS.

“Kami setuju sertai konsert ini kerana tema yang diketengahkan adalah bagi membantu Palestin. Kita sebagai umat Islam wajib menyokong sebarang usaha ke arah membantu rakyat Palestin yang ditindas.

Raihan sewaktu bertemu dengan Ratu Elizabeth II.

“Walaupun sekarang ini hanya kami bertiga saja, tidak ada sebarang perubahan dari segi persembahan. Semangat kami tetap sama seperti dulu. Orang datang nak tengok Raihan buat persembahan, tak mungkin kita buat ala kadar saja.

“Setakat ini kami tidak pernah rasa kekok walaupun bertiga kerana setiap kali persembahan, anggota Raihan pasti akan bertambah kerana setiap lagu yang mempunyai nostalgia kepada penonton, mereka pun akan menyanyi bersama dengan penuh semangat. Itu yang membuatkan kami teruja dan bersyukur kerana ada peminat setia sejak dulu hingga sekarang,” jelas Che Amran.

Raihan telah membuktikan kepada orang ramai, walaupun hanya bertiga, mereka berjaya menghibur penonton di Konsert Garis Masa Raihan yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, pada 2023.

Malah Raihan juga merupakan kumpulan nasyid tempatan yang pernah mengadakan persembahan di Royal Albert Hall London pada Mac 2008 untuk sebuah acara anjuran Islamic Relief UK bersama artis dari Denmark, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.

Justeru itu, nama Raihan terkenal hingga ke seluruh pelusuk dunia dengan irama yang segar sehingga muzik mereka menjadi asas rujukan nasyid kontemporari dunia.

Boleh dikatakan, saban tahun, Raihan pasti menjelajah ke merata dunia seperti Eropah, Timur Tengah, China, Indonesia dan Australia. Tidak hairanlah dalam album “Syukur” pada 1998, pendakwah terkenal Yusuf Islam atau Cat Stevens berduet untuk lagu Rakan Selawat: The Seal of The Prophet dan God Is The Light.

Banyak kejayaan yang diraih oleh kumpulan Raihan sebelum ini.

Sepanjang tempoh Raihan bergelar anak seni, bermula daripada album sulung mereka, “Puji-Pujian” yang dikeluarkan pada Januari 1997 dengan lagu “Iman Mutiara”, “Sesungguhnya”, “Assolatuwasalam” ft Ustaz Amaluddin, “Puji-Pujian”, “Sifat 20” dan “Rayuan Rindu” berjaya yang mencatat jualan lebih 1.5 juta unit.

Malah album ulung Raihan juga berjaya menerima 66 kali platinum, seiringan dengan populariti album tersebut, Raihan serta berjaya membuat persembahan di tempat-tempat berprestij seperti Royal Albert Hall dan di hadapan Ratu Elizabeth II.

Bukan itu saja, Raihan juga tersenarai dalam 500 Muslim Paling Berpengaruh di Dunia oleh Universiti Georgetown, Washington, D.C selama sembilan tahun berturut-turut dan memenangi 17 trofi Anugerah Industri Muzik (AIM).

Berdasarkan kejayaan besar yang diraih oleh Raihan sebelum ini membuatkan kumpulan tersebut tidak perlu terlalu memikirkan untuk tampil dengan produk baharu.

“Sesungguhnya, Raihan sangat beruntung kerana lagu-lagu yang kami hasilkan sejak album pertama hinggalah album ke-17, “Lagu-Lagu Hafalan” yang dikeluarkan pada 2011, masih diminati dan dihafal oleh peminat. Buktinya setiap kali buat persembahan, pasti ada penonton yang turut nyanyi bersama.

“Jadi buat seketika ini, Raihan lebih tumpu kepada persembahan daripada memikirkan pasal lagu baharu. Kalau ada lagu baharu pun, waktu show penonton tetap nak dengar lagu-lagu lama. Mungkin lagu-lagu tersebut memberi nostalgia dalam kehidupan mereka,” katanya lagi.

Tambah Che Amran, semoga lagu-lagu dendangan mereka dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan dapat diperdengarkan kepada anak cucu mereka pula sebagai bahan didik hibur anak-anak mereka. Juga untuk segenap lapisan masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here