Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Ieda Moin/Koleksi Syed Wafa
DI awal kemunculannya sekitar 1996, Ieda Moin lebih dikenali sebagai penyanyi kumpulan Moin, gandingan bersama adiknya, Edy atau Mohd Haidir Abd Moin.
Pasangan adik-beradik ini popular dengan lagu antaranya, “Kau Yang Ku Sayang”, “Abadinya Cintaku”, Kerana Kasih Sayangmu” dan “Hanya Untukmu”. Duo Moin sempat menghasilkan dua album, “Kau Yang Ku Sayang“ (1999) yang berkonsepkan pop rock dan “Hanya Untumu (2002).

Ieda atau Siti Haida, 46, pernah mengeluarkan single berjudul “Kahwin Lagi” ciptaan Teddy Iskandar di bawah syarikat rakaman Rousing Muses Sdn Bhd pada 2015.
Bagi peminat baharu, mereka lebih mengenali Ieda sebagai pelakon atau pelawak kerana ketika ini namanya lebih menyerlah dalam bidang tersebut berbanding nyanyian.

Namun jelas Ieda, dia tidak pernah meninggalkan bidang nyanyian dan sampai sekarang ada saja undangan untuk kumpulan Moin mengadakan persembahan di majlis-majlis tertutup.
“Alhamdulillah, saya masih lagi dengan kumpulan Moin iaitu bersama Eddy. Walaupun masing-masing ada komitmen tersendiri tapi apabila dipanggil atas nama Moin untuk persembahan pentas atau di televisyen, memang kami tak menolak. Cumanya buat masa sekarang, kami tak adalah lagu baharu.

“Kalau ada rezeki, nak juga ada lagu baharu supaya peminat tahu yang saya ni masih lagi aktif sebagai penyanyi dan bukan sebagai pelakon sahaja,” katanya terus terang.
Ieda yang pernah menyertai program Family Duo musim pertama pada 2021 dan Maharaja Lawak (MLM) 2021 bersama kumpulan Otai yang dianggotai oleh Azlee dan Acong itu, pernah menjadi pengacara program masakan ‘Kecoh Dapur’ untuk tiga musim.

Terkini Ieda baru selesai menjalani penggambaran bersama Lembaga Zakat Selangor untuk program komuniti Skuad Payung Rasa di Kampung Sinjangkang, Telok Panglima Garang.
“Saya mula bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor waktu mereka buat jualan free market iaitu program memberi baju preloved kepada asnaf dan jualan baju terpakai kepada umum.
“Bermula daripada situlah, Zakat Selangor kerap panggil saya untuk jayakan program kesedaran tentang zakat untuk menggalakkan orang ramai membayar zakat. Untuk penggambaran di Telok Panglima Garang tu, saya berkolaborasi dengan Azhan Rani. Saya tak terikat dengan mereka, semua itu bergantung kepada program. Apapun saya gembira dalam terlibat dalam program sebegini,” akuinya.

Apabila Ieda dan Azhan Rani bertemu di set yang sama, sudah pasti para kru tidak kering gusi ketawa kerana kedua-dua mereka melatah yang agak teruk juga.
Dek sifat latah yang mula dialami sewaktu sekolah menengah lagi, Ieda dimasukkan dalam program ‘Opocot Melatah Budak Pejabat’ bersama PS Mansur, Din Latah, Nadya Syahera, Nazia Mustafar serta Pok Jak dan Datuk AC Mizal sebagai hos.
“Melatah saya tu bukan buat-buat ya, kalau boleh saya pun tak nak melatah ni sebab penat. Masa penggambaran dengan Zakat Selangor tu, ingatkan tak adalah orang nak kacau, rupa-rupanya ada juga makhluk halus yang tak sedar diri usik kita, siapa lagi kalau bukan Azhan Rani. Dia pula yang jadi kaki usik sebab kami pernah berlakon sama dalam drama ‘Seribu Tahun’.

“Apa pun saya gembira dapat bekerjasama dengan pelakon hebat itu kerana dia tidak lokek untuk berkongsi ilmu. Lagipun bersama pihak Zakat ini saya berpeluang untuk mendekati masyarakat setempat dan kita sama-sama memahami tanggungjawab dalam melaksanakan pembayaran zakat,” katanya yang juga membuat ulasan produk dan penganjur acara.
Ieda yang merupakan ibu kepada Nurdhia Dania, 17, hasil perkahwinan dengan bekas suami Mohamad Naquib Idris dan kemudian mendirikan rumah tangga dengan Mohd Amri Gul Khan pada 2014, mengakui tawaran berlakon untuknya tidak pernah putus.
“Alhamdulillah selepas kurus dapat pelbagai watak selain daripada menjadi maid (pembantu rumah), mak-mak atau makcik bawang. Sekarang saya sudah boleh jadi kawan baya Emma Maembong, macam drama ‘Seribu Tahun’ tu,” katanya tersenyum.

Buat pembedahan bariatrik demi kesihatan
Sekarang ini ramai yang mengambil pendekatan melakukan pembedahan bariatrik bagi tampak kurus dengan kadar segera selain daripada melakukan diet atau senaman.
Bagi Ieda pula, dia melakukan pembedahan itu setahun lalu selepas mendapat nasihat doktor susulan beberapa masalah kesihatan yang dihadapinya sebelum itu.
Jelasnya, pada awal dia tak tahu yang dalam dirinya ada penyakit tiga serangkai iaitu diabetes, darah tinggi dan kolesterol yang meningkat. Jika tidak dirawat boleh menjadi kanser.

“Saya buat bariatrik ni dah setahun lebih (Mei 2024) sebab tiga serangkai saya semakin teruk. Saya memang tak tahu yang saya ada early stage kanser pankreas. Kalaulah saya tak buat bariatrik dan tak tahu, benda itu lama-lama akan merebak jadi kanser tahap satu, dua dan seterusnya tiga.
“Alhamdulillah selepas buat bariatrik, saya punya tiga serangkai semua dah okey dan tak perlu makan ubat. Kanser pun tak ada dah. Bila saya jaga makan, berat saya sekarang sekitar 49 atau 50 kilogram saja.
“Saya berani buat prosedur ini kerana mahu mengawal penyakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol yang saya hadap sejak usia 27 tahun lagi. Alhamdulillah, sekarang dah okey,” katanya dengan rasa syukur.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









