Oleh: Asmat
Ya! Risiko untuk sakit kesan dari pembedahan sebenarnya boleh dikurangkan. Ada banyak cara yang boleh dibuat untuk mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Melakukan semua aktiviti ini bukan hanya boleh memberi kesan dengan cepat, tapi baik juga untuk jangka masa yang lebih panjang.
Sebagai seorang wanita dan isteri, mana kita tahu mungkin ada rezeki untuk bayi seterusnya yang juga memerlukan bersalin secara pembedahan. Sekurang-kurangkan kesakitan dan kesan pembedahan terdahulu dapat hilang atau dikurangkan.
Antara cara yang boleh dibuat adalah seperti berikut:
- Mengendalikan kesakitan. Ikut cadangan doktor apabila mengambil ubat penahan sakit. Pesakit juga perlu merekod pengambilan ubat dan jenisnya. Gunakan pek ais untuk sakit bahagian pembedahan selama 20 hingga 30 minit setiap sesi.
- Menjaga luka. Jangan biarkan luka dibalut atau dicuci melainkan diarahkan oleh doktor. Paling penting juga pesakit perlu pastikan luka bersih dan kering terutama selepas mandi atau basahkan tempat yang luka. Perlu diingat, sesetengah luka pembedahan dilitupi dengan kulit perut dan lemak. Jika ini berlaku, berbaring telentang dan angkat lipatan kulit untuk membenarkan pengudaraan luka. Pesakit juga perlu sentiasa berjaga-jaga dan periksa luka pembedahan atau minta ahli keluarga memeriksanya, jika ada pendarahan, peningkatan lebam atau kemerahan.
- Pendarahan faraj. Dalam penjagaan ibu bersalin caesar, pendarahan faraj pasti akan berlaku selama seminggu, dua hingga empat hari selepas bersalin, pendarahan akan menjadi lebih ringan, berair, dan berwarna merah jambu. Sepuluh hari selepas bersalin, pendarahan lebih menjadi berair dan warna akan menjadi merah jambu sedikit. Gunakan hanya tuala wanita yang bersih dan elakkan menggunakan tampon.
- Merawat perineum. Beberapa prosedur C-Sec dilakukan secara berjadual. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita melalui prosedur kelahiran faraj selama berjam-jam dan menghadapi proses meneran sebelum bersalin. Dalam kes ini, dua bahagian yang menyakitkan perlu dirawat: potongan pada perineum dan perut. Selain pembedahan C-sec, sesetengah wanita mengalami koyakan faraj dan jahitan. Pastikan menggunakan pelembut najis/julap. Meneran boleh menyebabkan rasa sakit pada perut dan trauma perineum.
- Senaman. Selepas 6 minggu, anda boleh tingkatkan intensiti senaman secara perlahan-lahan. Selepas 6 hingga 8 minggu, anda mungkin boleh meneruskan aktiviti biasa seperti sebelum bersalin ini. Jika mengalami kesakitan atau pendarahan semasa senaman, hentikan serta-merta.
- Pemakanan. Pesakit perlu pastikan ambil makanan yang bernutrisi tinggi. Ambil kecil yang sihat dengan kerap. Makan makanan yang kaya dengan serat makanan untuk memudahkan pergerakan usus. Perlu diingatkan juga minum banyak air supaya badan kekal hidrasi.
- Kesejahteraan emosi & mental. Naik turunnya emosi adalah normal dan tidak teratur semasa tempoh pemulihan selepas bersalin. Penjagaan emosi bergantung kepada diri sendiri, pasangkan ayat-ayat al-Quran, zikir dan pastikan diri sentiasa ceria meskipun tertekan dengan keadaan yang sakit. Jika perlu, luahkan kepada suami atau ibu apa yang sedang menganggu di fikiran.

Perkara yang perlu dielakkan selepas bersalin secara pembedahan.
Elakkan melakukan hubungan seks atau memasukkan apa-apa ke dalam faraj sekurang-kurangnya 6 minggu selepas bersalin seperti tampon atau meruang. Melakukan hubungan seksual bersama suami dalam tempoh masa yang amat singkat boleh menyebabkan luka tidak baik dengan cepat kerana dikhuatiri terkena pada kesan luka.
Malah pesakit juga diingatkan untuk menjaga kesihatan diri seperti kena sentiasa dalam keadaan yang sihat. Jika menggigil atau terasa ingin demam, cepat-cepat ambil ubat atau dapatkan nasihat doktor. Elakkan juga berendam dalam tab mandian kerana boleh meningkatkan risiko jangkitan.
Antara ramai wanita tidak lakukan adalah berehat dengan secukupnya. Tidur yang cukup penting. Jangan terlampau menjaga bayi hingga lupakan kesihatan diri sendiri. Ibu juga perlu elakkan dulu mengurut selepas bersalin kerana dikhuatiri jahitan akan terbuka semula. Ambil masa untuk sembuh terlebih dahulu kemudian baru melakukan urutan.
Kesimpulan
Secara umumnya, tidak kira bersalin secara normal atau secara pembedahan, kedua-duanya ada risiko tersendiri. Apa yang kita perlu lakukan adalah menghargai sepenuhnya pengorbanan ibu yang melahirkan kerana tiada yang dapat membalasnya dengan harta walau seisi dunia. Jadi ibu, jom kita jaga diri kita agar sentiasa sihat, ceria, cantik dan memberi aura yang positif sepanjang masa kepada orang sekeliling. Semoga syurga buat semua ibu-ibu yang tak pernah putus berjuang untuk anak-anaknya.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.









