Oleh: Asmat

Gout ialah sejenis penyakit artritis (radang sendi) yang berlaku kerana pengumpulan kristal asid urik di dalam sendi. Bila paras asid urik dalam darah terlalu tinggi (hyperuricemia), ia boleh membentuk kristal keras berbentuk jarum. Kristal ini mendap dalam sendi, kulit, atau tisu sekeliling hingga boleh menyebabkan keradangan, sakit yang teramat sangat, bengkak, dan kemerahan.

Kenapa asik urik boleh tinggi? Asid urik ini terbentuk bila badan memecah purin (bahan semula jadi dalam makanan & dalam sel badan).
Biasanya buah pinggang buang asid urik melalui air kencing, tapi kalau badan hasilkan terlalu banyak, atau buah pinggang tak buang cukup, maka asid urik terkumpul dan terjadinya gout.

Gejala Utama Gout

Antara gejala utama Gout adalah sakit sendi yang tiba-tiba dan sangat kuat. Selalunya di ibu jari kaki, tapi boleh juga lutut, pergelangan kaki, siku, pergelangan tangan dan jari.

Antara gejala yang lain adalah sendi bengkak, merah, panas, & sangat sensitif walaupun disentuh perlahan. Serangan itu biasanya berlaku tiba-tiba waktu malam atau awal pagi. Serangan ini boleh reda dalam 3–10 hari, tapi risiko untuk berulang adalah tinggi.

Dalam jangka panjang (kalau tak dirawat), boleh terbentuk tophi iaitu ketulan keras berisi kristal urik di bawah kulit. Malah boleh menyebabkan juga kerosakan sendi kekal dan berkait dengan penyakit buah pinggang seperti contoh: batu karang.

Fakta Penting Tentang Gout

Di sini kami kongsikan juga beberapa info penting berkaitan gout. Mungkin info dan fakta ini boleh membantu anda untuk mengawal risiko gout agar tak jadi lebih teruk.

Berikut adalah beberapa fakta penting berkaitan gout:

* Gout adalah jenis artritis yang paling biasa di kalangan lelaki dewasa.
* 3 kali lebih banyak pada lelaki berbanding wanita.
* Pada wanita, risiko meningkat selepas menopaus sebab hormon estrogen sebelum itu membantu mengawal paras asid urik.
* Ada kaitan rapat dengan gaya hidup moden: diet tinggi daging merah, alkohol, minuman manis, obesiti, dan stres.

Lelaki lebih ramai gout?

Betul ke fakta ni bahawa lelaki lebih ramai ada gout berbanding perempuan? Ya jawapannya adalah betul. Secara global, gout lebih biasa dialami oleh lelaki berbanding wanita; nisbahnya sekitar 3 lelaki : 1 wanita .

Menurut kajian Prevalens pada tahun 2020: Lelaki 3.26 kali lebih tinggi daripada wanita. Malah ada juga kajian di Asia mencatat kadar kejadian (ASIR per 100,000) untuk lelaki meningkat dari ~155 (1990) ke ~181 (2021), manakala wanita dari ~52 ke ~60 .

Antara faktornya adalah perubahan hormon seperti peranan estrogen itu memberi perlindungan kepada wanita muda, tapi risiko meningkat selepas menopause. Walaupun kurang, wanita gout biasanya lebih tua dan mempunyai risiko lebih tinggi terhadap komplikasi serta mortaliti yang lebih tinggi bacaanya malah kesannya juga lebih teruk.

#Ikuti sambungan bahagian kedua mengenai penyakit gout ini. #

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here