Image by Freepik
Oleh: Asmat Fikri
Pernahkah anda terjaga di tengah malam dengan peluh yang mencurah-curah tanpa sebab? Atau tiba-tiba terasa panas membara seakan-akan suhu badan naik mendadak? Ramai wanita menganggap itu hanya tanda stres atau keletihan, tetapi sebenarnya ia mungkin petanda tubuh sedang memasuki fasa perimenopaus.
Perimenopaus ialah tempoh peralihan beberapa tahun sebelum menopaus berlaku, di mana hormon wanita terutamanya estrogen mula turun naik secara tidak menentu. Manakala menopaus pula merujuk kepada keadaan apabila kitaran haid berhenti sepenuhnya selama 12 bulan berturut-turut, biasanya pada wanita yang berusia sekitar usia 45 hingga 55 tahun.
Wanita yang berusia 40-an pasti akan perasan mengenai beberapa perubahan yang berlaku pada haid mereka. Pasti ada yang tertanya-tanya, adakah ini ciri-ciri haid menjelang menopause?
Sebelum menopaus, wanita akan alami satu tempoh masa di mana haid mereka menjadi tidak seragam. Tempoh masa ini dikenali sebagai perimenopaus. Pada waktu ini, hormon mereka akan berubah dan haid juga perlahan-lahan berhenti.
Walaupun ia adalah proses semula jadi dalam kehidupan setiap wanita, banyak simptomnya sering disalah anggap atau dipandang remeh. Kerana bagi wanita, menopaus hanyalah haid terhenti semata-mata, sedangkan ia lebih dari itu.
Hakikatnya, perubahan hormon ini bukan sekadar berkaitan dengan haid yang berhenti, tetapi turut memberi kesan besar kepada kesihatan fizikal, mental, dan emosi wanita. Justeru, memahami tanda-tanda sebenar serta cara mengurusnya sangat penting agar wanita dapat melalui fasa ini dengan lebih sihat, tenang, dan penuh keyakinan.
Image by Freepik

Simptom Perimenopaus & Menopaus yang Sering Diabaikan

Seperti yang disebut di atas, ramai wanita berfikir menopaus hanya bermaksud ‘haid berhenti’, sedangkan perubahan yang berlaku jauh lebih kompleks. Dalam tempoh perimenopaus, hormon yang tidak stabil boleh menyebabkan pelbagai simptom yang kadang-kadang mengelirukan kerana ia mirip dengan tanda penyakit lain atau hanya dianggap kesan penuaan biasa.
Antara simptom paling kerap dialami ialah perubahan kitaran haid. Ada yang menjadi lebih pendek, lebih panjang, atau aliran darah lebih banyak daripada kebiasaan. Selain itu, hot flashes dan night sweats sering membuatkan wanita tidak selesa, terutama apabila peluh berlebihan menjejaskan tidur malam.
Bukan itu sahaja, gangguan tidur turut menjadi cabaran utama. Ada wanita yang mudah terjaga di tengah malam, manakala ada yang sukar melelapkan mata langsung. Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada perubahan emosi seperti mudah marah, mood swing, rasa cemas, atau kemurungan ringan.
Dari segi kognitif pula, ramai mengadu tentang masalah ‘brain fog’ iaitu susah fokus, cepat lupa, atau lambat membuat keputusan. Perubahan pada tubuh juga jelas kelihatan seperti kenaikan berat badan, sakit sendi, kulit kering, rambut gugur, dan kekeringan faraj yang boleh menjejaskan hubungan intim.
Walaupun tidak semua wanita mengalami simptom yang sama atau dengan tahap keterukan yang serupa, apa yang penting ialah mengenali tanda-tanda ini sebagai sebahagian daripada proses peralihan hormon. Dengan cara itu, wanita tidak lagi terkejut atau keliru, sebaliknya lebih bersedia untuk menguruskan perubahan ini dengan bijak.
Meskipun ramai wanita mengalami perubahan ketara ketika melalui perimenopaus dan menopaus, simptomnya kerap tidak diendahkan. Malah, ada yang hanya mendapatkan rawatan selepas keadaan menjadi serius. Beberapa faktor utama yang menyebabkan simptom ini terlepas pandang termasuklah:
•Disalah anggap sebagai tanda penuaan biasa
Ramai menganggap sakit sendi, keletihan, atau sukar tidur hanyalah “lumrah umur meningkat”, sedangkan ia mungkin berkait rapat dengan perubahan hormon.
•Stres & gaya hidup moden
Simptom seperti mudah marah, susah tidur, atau peluh berlebihan sering dianggap akibat tekanan kerja, bukannya tanda hormon tidak stabil.
•Tabu & rasa segan
Topik berkaitan haid, kesihatan reproduktif, atau hubungan intim masih dianggap sensitif untuk dibincangkan. Akibatnya, ramai wanita memilih untuk berdiam diri dan tidak mendapatkan nasihat perubatan.
•Kurang pendedahan & pengetahuan
Fokus utama masyarakat hanya pada ‘haid berhenti’ sebagai tanda menopaus. Sedangkan, kesan hormon terhadap tulang, jantung, emosi, dan seksualiti jarang diberi perhatian.
#Ikuti sambungan artikel akan datang berkenaan risiko kesihatan selepas menopaus#

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here