Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi Syed Wafa
SENIWATI Zaiton bukanlah asing bagi para peminat filem Melayu sejak era 1950-an sehingga 1960-an. Sebabnya sepanjang 14 tahun bergelar seniwati, Zaiton telah membintangi 28 filem dengan yang pertama “Kipas Hikmat” (1955) arahan S. Ramanathan dan yang terakhir lakonannya juga terbitan Malay Film Production “Raja Bersiong”arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong pada tahun 1968.
Walaupun beliau hanya berpeluang berlakon empat filem arahan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu “Bujang Lapok” (1957), “Ali Baba Bujang Lapok” dan “Seniman Bujang Lapok” (1961) namun “Ibu Mertuaku” (1962) filem terakhir arahan dan lakonannya bersama P. Ramlee meninggalkan kenangan sehingga hari ini.
Walaupun ia telah lebih empat dekad berlalu, namun apabila mengingatkan pengalaman menjalani penggambaran dan membintangi filem tersebut ia memang sukar dilupakan.

“Sampai hari ini apabila Umi ingat penggambaran satu babak dari filem “Ibu Mertuaku” kadangkala membuatkan Umi tersenyum sendiri.
“Namun pada waktu yang sama Umi menghormati pendirian dan sifat mulia Arwah Abang Ramlee demi menjaga hati dan kasihnya kepada seorang isteri,” cerita Seniwati Zaiton yang lebih mesra disapa ‘Umi’ ketika saya interbiu beliau pada September tahun 2022 di Singapura.
Saya bersama Wartawan Hiburan Portal BebasNews, Muzlina Abu Bakar diundang oleh Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) FINAS ketika itu, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim ke Singapura untuk mengundang Seniman Veteran, Wahid Satay (meninggal dunia pada 20 Mei 2023) dan Seniwati Zaiton untuk menghadiri Festival Filem Malaysia ke-32 yang berlangsung pada 2 Disember 2022 di Encore Theatre, Melaka.

Alhamdulillah undangan tersebut diterima oleh Seniwati dan Seniman legenda berkenaan.
Menurut Zaiton, para peminat filem arahan Allahyarham mesti perasan satu babak dari filem “Ibu Mertuaku” apabila Kalsum Bee atau mesra dipanggil Chombi (babak Zaiton dalam filem berkenaan) ketika menziarah Kassim Selamat di hospital yang dapat melihat semula selepas menjalani pembedahan mata.
Dalam babak tersebut menggambarkan Chombi bersama emaknya, Mami (Zainon Fiji) dan Mamak Mahyudin Jailani (Seniman Ahmad Nisfu) sampai di wad Kassim Selamat yang sudah boleh melihat.

Chombi yang terkejut dan terlalu gembira apabila Kassim Selamat dapat melihat dan mengenalinya serta menyapanya dengan nama Chombi terus menerpa Kassim Selamat dengan meletakkan kepalanya arah ke kiri.
“Sebenarnya sebelum penggambaran babak tersebut, Abang Ramlee dah pesan jangan rapatkan muka Umi ke dada Kassim Selamat.
“Sebab Abang Ramlee bimbang nanti lipstik Umi melekat kat baju Abang Ramlee dan bila sampai rumah nanti isterinya, Noorizan nampak…’perang besar’… sebab beliau terlalu cemburu,” cerita Zaiton sambil tersenyum.

Selain “Ibu Mertuaku” filem keempat arahan P. Ramlee Zaiton turut berlakon filem arahan Seniman itu dengan yang pertama “Bujang Lapok” sebagai Zaiton (1957), “Ali Baba Bujang Lapok” (sebagai Penghibur) dan “Seniman Bujang Lapok” sebagai Zaiton (1961).
Bagaimanapun sebelum itu, Zaiton pernah berlakon dengan P. Ramlee dalam filem “Hang Tuah” (1956) arahan Phani Majumdar. Dalam filem berkenaan Zaiton sebagai Tun Teja yang ‘tertipu’ dan lari mengikut Hang Tuah dengan janji akan mengahwininya. Tetapi akhirnya terbongkar rahsia, Tun Teja akan menjadi Permaisuri Sultan Melaka.
Kemudian Zaiton sebagai Mahani dan P. Ramlee sebagai Hassan dalam “Anakku Sazali” (1956) arahan Phani Majumdar.

Menurut Zaiton, pengalaman berlakon disamping P. Ramlee meninggalkan kenangan yang tidak mudah untuk dilupakan.
“Abang Ramlee bukan sahaja terkenal seorang yang pemurah dan suka membantu orang bilamana beliau tahu pelakon yang diambil sebagai ekstra boleh berlakon dan beliau akan mengambil orang berkenaan untuk berlakon lagi dalam filem arahannya.
Malah beliau adalah pengarah yang tidak suka marah pelakon.

“Umi pernah tengok Abang Ramlee marah ketika sedang mengarah tetapi Umi tak tahu siapa yang buat beliau marah. Dalam diam untuk meredakan kemarahannya, Abang Ramlee letak skrip ke tepi kemudian beliau keluar. Setelah sejam dan perasaan marahnya hilang, Abang Ramlee sampai ke studio dan sambung shooting,” cerita Zaiton mengenai Seniman hebat yang dikenali itu.
Bagaimanapun kata Zaiton, sampai hari ini beliau terkilan kerana kenangannya bersama Seniman Agong itu terlalu singkat dan tidak dapat bertemu sehingga akhir hayat Seniman itu yang menghembuskan nafas terakhir kerana serangan jantung pada usia 44 tahun pada 29 May 1973.
“Umi mula berlakon pada usia 17 tahun dalam filem “Kipas Hikmat” (1955). Kemudian dapat berjumpa dengannya dan berlakon empat filem arahannya. Sayangnya selepas itu, Abang Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur.

“Sejak berpindah ke KL, Umi tak pernah berjumpanya, cuma sesekali bila datang ke KL Umi hanya berpeluang berjumpa Biduanita Negara, Saloma.
“Ketika Abang Ramlee meninggal dunia, Umi hanya dapat khabar dari jauh,” cerita Seniwati Zaiton.
Seniwati Zaiton, yang begitu terkenal dengan filem “Hang Tuah”, “Anakku Sazali,” “ Bujang Lapok” dan “Ibu Mertuaku” kini hidup bahagia disamping lima orang anaknya melalui dua perkahwinannya iaitu dengan Allahyarham Sasterawan Abdullah Hussein dan Ahli Perniagaan, Allahyarham Syed Abdullah Alkaff.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









