Oleh: Syed Wafa
Foto: Koleksi Syed Wafa
APABILA sebut nama Primadona Datuk Dr. Sarimah Ahmad, para peminatnya bukan sahaja tergambarkan kecantikan asli yang dimiliki malah kehebatannya dalam menghayati setiap watak dalam filem lakonannya.
Siapa sangka bermula dengan watak pembantu rumah bernama, Marjina dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok” arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1961 akhirnya telah melahirkan seorang Primadona hebat yang dihormati dan disayangi para peminatnya.

Bermula dari itu, beliau telah berlakon sebanyak 45 filem antaranya “Ibu Mertuaku” (1962), “Madu Tiga,” “Tiga Abdul,” (1963), “Raja Bersiong” (1967) dan “Dia Ibuku,” (1981). Namun sehingga hari ini kenangan di sebalik filem ke-40 lakonannya “Ranjau Sepanjang Jalan,” (1983) meninggalkan ‘parut’ di hatinya yang tidak mudah dilupakan malah kekal sehingga hari ini.
Walaupun “Ranjau Sepanjang Jalan” arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong dengan terbitan bersama Kay Film Sdn. Bhd. (milik Tan Sri Kamarul Ariffin) dan Sarimah Film Productions telah memenangi kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-4 pada tahun 1983, sayangnya hak beliau sebagai Seniwati Terbaik dinafikan.


Sarimah ketika saya temui di sebuah restoran popular di Petaling Jaya , berkongsi cerita duka di sebalik FFM 4 yang berlangsung di Auditorium RISDA, Kuala Lumpur pada 11 Disember 1983.
Dengan wajah tenang namun terselit rasa sedih apabila beliau yang sepatutnya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik dinafikan haknya sambil bercerita;
“Sebenarnya sebelum berlangsung malam anugerah ada ‘seseorang’ yang merupakan juri FFM4 memberitahu beliau terkilan apabila nama saya yang sepatutnya memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik ditolak oleh seorang juri dengan alasan yang tidak logik.


“Juri berkenaan menolak saya memenangi kategori tersebut dengan alasan lakonan saya sebagai Jeha tidak layak menang kerana Jeha memakai bulu mata palsu, kaki tak ada tokak (penyakit kulit yang teruk). Lojik ke watak saya sebagai Jeha yang bekerja di sawah dan di bawah panas terik mentari mesti cantik.
“Sedangkan dalam filem itu saya tak pakai walau secalit mekap. Disebabkan terlalu banyak terdedah di bawah terik mentari tanpa mekap (bedak) saya kena kanser kulit selepas shooting filem berkenaan. Saya terkilan apabila dituduh begitu. Tetapi saya lupakan sahaja sebab mereka dah tiada lagi.”
Menurut Sarimah, walaupun filem berkenaan terbitan bersama tetapi beliau tidak ‘pegang’ filem tersebut.


“Filem itu dipegang oleh Tan Sri Kamarul dan ia tidak pernah ditayangkan di televisyen,” kata Sarimah.
Pada FFM 4, “Ranjau Sepanjang Jalan” memenangi lima anugerah iaitu Filem Terbaik (Kamarul Ariffin dan Datuk Sarimah), Lakonlayar Terbaik (Jamil Sulong), Jurukamera Terbaik (Johari Ibrahim), Penataan Seni Terbaik (Esa Ahmad dan Noraldin), Anugerah Khas Juri (Ooi Eow Jin – Muzik tema yang berkesan).
Selain itu, “Ranjau Sepanjang Jalan” pada Festival Filem Asia Pasifik ke-28, 1983 (Taipei, Taiwan) memenagi kategori Cerita Luar Bandar Terbaik.


Bagi kategori tersebut “Ranjau Sepanjang Jalan” juga memenangi di Festival Filem Tokyo, Jepun, Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-3, di Korea Utara dan Festival Filem Asia Pasifik ke-44, 1999 di Bangkok.
Menurut Sarimah, kadangkala apabila memikirkan pendapat juri berkenaan beliau bermekap dan memakai bulu mata palsu, beliau tersenyum sendiri.
“Hari pertama shooting babaknya di sawah. Apabila kaki saya masuk ke sawah betis saya penuh dengan lintah.

“Rupanya apabila kena gigit lintah boleh demam. Malam tu saya demam dan berdoa semoga esok sihat. Kami semua menginap di sebuah hotel di Alor Setar.
“Lebih sebulan kami di sana untuk babak di kampung dan sawah padi. Jadi masa bilanya saya pakai bulu mata palsu!
“Bukan itu sahaja, Jeha sentiasa berkemban…tiada mekap dan apabila kaki Jeha masuk ke sawah…punyalah banyak lintah datang menghisap darah di betis saya.
“Walaupun malamnya demam apabila makan ubat paginya sihat, saya ke lokasi sebab itu adalah tanggungjawab saya sebagai pelakon.

“Sebab itu apabila juri berkenaan tidak mahu saya mendapat award melalui filem Ranjau Sepanjang Jalan saya tak pertikaikan langsung. Sebabnya saya berlakon bukan untuk award.
“Kadangkala apabila saya terfikir keluarga saya bukan keturunan pelakon tetapi saya suka berlakon dan ini adalah pengorbanan saya untuk minat saya,” cerita Sarimah mengenai pengalamannya sepanjang penggambaran filem “Ranjau Sepanjang Jalan.”
“Ranjau Sepanjang Jalan” adalah adaptasi novel Allahyarham Sasterawan Negara, Profesor Datuk Dr. Haji Shahnon Ahmad dan ia membawa kisah mengenai penderitaan satu keluarga pesawah tradisional yang menolak arus kemodenan dan berdepan dengan bencana alam dan musuh-musuh perosak hasil tanaman padi mereka.

Berdiri dari kiri: Syed Wafa (Penulis), Muzlina Abu Bakar dan Faezah Yasmin.
Watak utama Lahuma dilakonkan oleh Ahmad Mahmud (Allahyarham) dan watak isterinya, Jeha dilakonkan oleh Sarimah (Datuk).
Selain Sarimah dan Ahmad Mahmud, filem ini turut dibintangi oleh Melissa Saila (Jenab), M. Jamil, Puteri Salbiah (Sanah), Ahmad Marbawi, Marlia Musa (Milah) dan Noraisah Ishak.
Selain Sarimah turut menceburi bidang lakonan adalah M. Jamil anak ketiga daripada perkahwinan pertamanya yang mempunyai empat orang anak iaitu Norhayati Zulkifli, Farawaheeda Zulkifli dan Mohd. Syahray Zulkifli. Melalui perkahwinannya dengan Allahyarham Yusof Majid, beliau mempunyai seorang anak, Yusarima Puteri.


SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.









