DIA seorang Primadona yang tak perlu diperkenalkan lagi. Wajah beliau yang jelita serta tutur bahasa lembut menyerlahkan lagi aura kecantikan tersendiri. Pastinya Kejelitaan dan lakonan mantap Primadona Datuk Dr. Sarimah Ahmad sentiasa dirindukan oleh jutaan peminat beliau.
Kita tertawa, terhibur dan tidak jemu menonton lakonan beliau dalam filem Ali Baba Bujang Lapok (1961) atau Madu Tiga (1964). Kita menangis melihat lakonannya dalam Ibu Mertuaku (1962) atau Dayang Senandung (1965). Kita kagum melihat kegigihan seorang wanita dalam filem Dia Ibuku ( 1981) dan Ranjau Sepanjang Jalan (1983).
Lakonan hebatnya yang bersahaja pasti membuatkan kita sentiasa merindui lakonannya. Kemantapan lakonan membolehkan beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-2 pada 1991 melalui lakonan dalam filem ‘Dia Ibuku’.
Bagi mengatur temu janji bersama insan hebat ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Beliau seolah-olah mahu menyepi terus dari dunia yang pernah menyinari hidup dan kerjaya seninya. Setelah puas dipujuk barulah beliau bersetuju untuk ditemu bual khas buat pembaca ruangan Legenda Ladybosz.
Inilah saat paling gembira buat saya dapat bertemu dan bertentang mata serta bertanya khabar dengan insan seni yang saya sayangi dan hormati ini untuk anda semua.
Pertemuan kami diatur oleh anak beliau, Norhayati Zulkifli di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya. Saya disambut dengan senyuman penuh keikhlasan oleh primadona yang amat saya rindui ini.
‘Ada lagi ke orang nak dengar cerita Kak Mah?’ tanya beliau dengan membahasakan dirinya Kak Mah.
“Ramai peminat yang merindui Kak Mah termasuk Wafa,” jawab saya bersungguh-sungguh.
Kak Mah nak berlakon lagi ke ? Kalau ada pihak yang nak tawarkan bayaran mahal untuk berlakon adakah Kak Mah akan terima?
“Kak Mah tak nak dah. Cukup-cukuplah. Nak ikut ramai juga yang nak Kak Mah berlakon dan ada juga untuk penampilan istimewa dengan bayaran cukup mahal. Tapi, hati Kak Mah dah tidak ada dalam lakonan dan Kak Mah tolak secara baik. Kak Mah nak bersara dan biarlah semua itu sebagai kenangan indah dalam hidup Kak Mah,” jelas Kak Mah.
Sarimah baharu saja kembali daripada menziarahi bumi Anbiya serta melawat Masjid Al Aqsa yang terkenal sebagai kiblat pertama umat Islam.
DI depan Dome of the Rock di Jerusalem (Baitulmuqqadis) bersama anak, Norhayati.
“Alhamdulillah, tercapai juga impian Kak Mah nak menziarahi Masjid Al Aqsa. Balik semula Malaysia, Kak Mah dah rindu nak berkunjung ke sana semula. Doa-doakan Kak Mah panjang umur dan dimurahkan rezeki agar dapat ke sana lagi,” kata Kak Mah.
“Kak Mah gembira dapat mengerjakan solat di dalam masjid Al-Aqsa, sungguh tenang dan air mata Kak Mah mengalir,” tambah beliau lagi.
KAK Mah menitis air mata kerana berkesempatan solat di Masjid Al-Aqsa.
“Kak Mah gembira dapat mengerjakan solat di dalam masjid Al-Aqsa, sungguh tenang dan air mata Kak Mah mengalir,” tambah beliau lagi.
“Wafa.. Biarlah Kak Mah miskin di dunia…tapi Kak Mah tak menyesal. Biarlah, tapi Kak Mah tak nak muflis di akhirat kerana itu kekal abadi bagi kita umat Islam,” kata Kak Mah dengan nada tegas
Mengenai kesihatannya pula, Tambah Sarimah lagi, “Alhamdulillah dan syukur pada Allah, kanser hidung dan otak tahap 4 yang pernah Kak Mah alami dah hilang. Namun Kak Mah tetap pantau dan berjaga-jaga dengan penyakit tersebut.
ANAK, Norhayati menemani Kak Mah ketika lawatan ke Palestine.
“Kak Mah bersyukur kerana Allah masih bagi ruang dan masa untuk terus beribadat, baca Al Quran dan mengabadikan diri kepadaNYA,’’ ujar Kak Mah.
Kak Mah turut menyampaikan salam buat peminat yang masih setia mengingatinya.
WAJAH terkini Kak Mah – masih jelita.
“Doakan Kak Mah diberi kesihatan yang baik di hujung usia ini dalam mengerjakan ibadat kepada Allah SWT,” kata Kak Mah di akhir pertemuan.”
DOAKAN Kak Mah diberi kesihatan yang baik dalam mengerjakan ibadat kepada Allah SWT.
PENULIS bergambar kenangan bersama primadona legenda filem Melayu Datuk Dr.Sarimah Ahmad.
Saya begitu sebak dan sentiasa mendoakan primadona hebat ini dirahmati Allah SWT…Amin.
Saya peminat Sarimah. Sangat hebat lakonan dan bersopan santun. Semoga Seniwati Sarimah sentiasa di bawah lindungan Allah SWT
Amin…