KESIBUKAN menjaga keluarga dan karier sebagai penyanyi membuatkan Ziana Zain sentiasa sibuk hingga selalu terlupa untuk makan pada waktu yang sepatutnya. Tabiat itu membuatkan Ziana sering tidak sedap badan hingga merasakan sesuatu yang tidak enak dengan tubuh badannya.
Ketidakselesaan ini juga membuatkan Siti Roziana Zain atau Ziana Zain, 55, sukar untuk bernafas, sukar untuk tidur malam hingga mengganggu urusan kerja dan aktiviti sehariannya sebagai penyanyi.
Acuh tidak acuh dengan kesihatannya, hinggalah Ziana Zain merasakan `dadanya terasa ketat’ dan menyangka dirinya terkena serangan jantung dan terpaksa menyerah diri ke Institut Jantung Negara (IJN) pada awal tahun 2022.
Bila diperiksa, rupanya bukan serangan jantung sebaliknya kerana gerd dan gastrik. Bila berjumpa doktor pakar, Ziana disarankan untuk menjalani prosedur bariatrik oleh doktor Pakar Bedah Bariatrik iHeal Medical Centre dan KPJ Ampang Puteri iaitu Dr. Mustafa Mohamed Taher.
“Alhamdulillah, doktor berjaya kesan saluran ulu hati saya longgar. Sejak pembedahan pintasan usus (bariatrik) kini hidup saya lebih ceria dan saya tak ada masalah dengan sistem pernafasan lagi. Nak menyanyi pun dah okey kerana suara saya kedengaran `lepas’ berbanding dulu suara tak lepas dan semput bila menyanyi.
“Saya juga semakin selesa nak menyanyi terutamanya lagu-lagu yang bernada tinggi. Ialah saya menyanyi guna kekuatan perut. Dekat setahun buat bariatrik ini dan kini gastrik saya pun dah okey. Nafas pun tak pendek lagi macam dulu… waktu belum buat pembedahan.
“Dulu berat saya 63 kg dan sekarang maintain 50 kg dan saya gembira dengan berat sebegini. Dah berusia macam sekarang, inilah berat yang ideal dengan ketinggian saya,’’ kata Ziana Zain lagi.
Ziana menambah, “Mungkin ramai yang berfikiran bahawa saya buat rawatan bariatrik ini kerana nak kurus. Sedangkan orang luar tidak tahu keadaan kesihatan saya yang sebenarnya. Takkan semuanya saya nak cerita pada peminat atau orang luar.
“Saya buat bariatrik bukan pasal nak kurus tapi kerana masalah kesihatan. Bila dah buat rawatan ini baru saya tahu bahawa banyak penyakit yang berpunca daripada permasalahan perut.
“Selain gastrik, kaedah pembedahan ini juga mampu mengawal kolesterol, darah tinggi dan penyakit kencing manis (diabetes).”
Dalam kesibukannya bercerita mengenai kesihatan, Ziana juga tidak lupa mengucapkan syukur kerana single terbarunya bersama pendatang baru, Hasif Upin, Waktu dapat diterima peminat.
“Tak sangka, muzik video Waktu sudah mencecah lebih sejuta tontonan. Ini yang buat saya tak sabar nak muncul dengan lagu baru. Kalau ada pun nanti single saja kerana nak buat album penuh tidak sesuai diterbitkan buat masa sekarang.
“Saya masih menunggu single baru daripada komposer tempatan. Tapi buat masa ini tidak ada lagi lagu yang dapat menambat hati saya. Bukan lagu mereka tak sedap, tapi saya inginkan lagu yang mempunyai elemen lama dan baru. Kombinasi muzik sebegitu yang saya inginkan,” ujar Ziana tanpa berselindung.
IMPIAN KONSERT SOLO
Walaupun telah meraih kejayaan mengadakan Konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022, namun Ziana Zain tetap mengimpikan untuk tampil dengan konsert solonya sendiri.
“Ramai peminat yang tanya dan minta saya buat konsert solo sendiri. Perancangan itu memang ada tapi masalahnya persiapan nak membuatnya bukan mudah. Untuk konsert besar sebegitu saya kena bersedia daripada segi mental dan fizikal.
“Dalam konsert solo begitu, sekurang-kurangnya saya kena menyanyi lebih 20 buah lagu popular saya. Kalau boleh, saya nak konsert ini, bila sebut nama Ziana Zain mereka terbayangkan konsert solo saya ini nanti yang tidak pasti bila akan menjadi kenyataan.
“Menyanyi dalam konsert ini bukan mudah. Orang ingat menyanyi ini sekadar menyanyi sahaja. Sedangkan nak menyanyi kena ada stamina, kalau tak ada stamina baru nyanyi tiga buah lagu boleh semput seseorang penyanyi itu. Tak kiralah dia penyanyi profesional atau siapa,’’ kata Ziana lagi.
Ziana penyanyi Putus Terpaksa ini menambah,“Bila netizen cuba bandingkan saya dengan penyanyi lain, saya tak ambil kisah. Cerita negatif saya buang ke tepi kerana tidak mahu ia mengganggu hidup saya dan saya tahu setakat mana kemampuan diri ini. Kalau ada yang tidak sukakan saya, saya tidak boleh paksa mereka untuk menyukai saya.
“Tenaga dan suara seseorang penyanyi itu tidak sama seperti waktu mudanya. Itu sebabnya peminat sering salah faham dan sering mengatakan seseorang penyanyi itu sudah tidak mampu menyanyi lagi bila suaranya tidak sama seperti dahulu.
“Peminat kena faham, suara seseorang penyanyi itu berubah seiring dengan usianya. Bila turun ‘key’ akan adalah perubahan pada nada lagu tersebut. Tanyalah mana-mana penyanyi…di usia `tua’ mampu ke mereka menyanyikan lagu di mana ‘key’ seperti di usia 20an? Boleh ke mereka? Kalau ada pun, mungkin seorang dua…itu memang anugerah buat mereka.
ZIANA ZAIN SEMAKIN MATANG MENGHADAPI HIDUP
Dalam meniti usia 55 tahun, ibaratnya tidak ada sedikit pun cela di wajahnya atau tanda dimamah usia. Kelihatan Ziana Zain masih cantik dan ayu sesuai dengan statusnya sebagai penyanyi. Kegagalan rumah tangga bersama bekas suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang dibina pada 9 Mei 1998 dan bercerai pada 12 Julai 2018 ini tidak dianggap Ziana sebagai berakhir sudah hidupnya.
Hasil perkahwinan pelantun lagu hit, Kemelut Di Muara Kasih ini mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 23, Muhammad Ammar, 19 dan pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh yang kini berusia 14 tahun.
“Bila dah bercerai bukan berakhirnya hidup kita. Sebagai wanita dan ada anak-anak, saya kena kuat dan sememangnya saya kuat sejak dulu lagi. Kalau nak cerita tentang kahwin semula, tunggulah. Saya lebih senang hidup begini bersama anak-anak. Saya juga bersyukur kerana ibu, bapa, adik beradik banyak memberi kekuatan kepada saya.
“Buat masa ini memang saya tak fikir (soal jodoh). Saya selesa (hidup) begini. Kalau ada yang bertanyakan soal itu, tak sunyi ke?…saya jawab nak sunyi apa sebab anak-anak sentiasa ada bersama. Mungkin saya juga selesa dengan hidup sekarang ini, tambahan pula anak-anak sudah besar. Jadi saya tak perlu fikir lagi (pasal jodoh),” kata anak sulung daripada lima beradik ini.
Menurut Ziana, walaupun sudah berpisah dengan bekas suaminya, namun dia tidak pernah menghalang Armin untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
“Saya sering ingatkan anak-anak, apa yang terjadi antara saya dengan ayah mereka, itu masalah kami orang tua. Saya tidak mahu hubungan mereka terputus kerana itu adalah ayah mereka dan mereka perlu menghormatinya.
“Bila ayah mereka nak berjumpa anak-anak, saya pastikan mereka keluar berempat. Saya selalu berpesan tolong update ke mana sahaja mereka pergi bersama ayah mereka.”
Jika tidak sibuk dengan persembahan pentas, Ziana lebih suka menghabiskan masa bersama anak-anaknya. Di waktu inilah, Ziana yang banyak mewarisi bakat memasak ibunya lebih suka masak untuk anak-anaknya.
Antara masakan kegemaran Ziana dan anak-anaknya ialah Chicken Buttermilk, spaghetti carbonara, sambal tumis udang, sambal tumis ikan bilis, asam pedas ikan, daging dan lain-lain lagi
Kini anak sulangnya, Aiman baru sahaja menyambung pengajiannya di peringkat ijazah setelah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Sains Makanan dan Pemakanan di sebuah pusat pengajian tinggi di Shah Alam. Manakala Ammar pula sedang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Perak.
Foto Koleksi Ziana Zain
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.