GAMBAR ATAS:Rosemaria mempunyai suara dan gaya yang tersendiri
Oleh Nafsiah Jani / Foto: Koleksi Syed Wafa/Ehsan Rosemaria
BILA sebut lagu, Nasi Dagang yang popular satu waktu dulu hingga ke hari ini, pasti ramai yang terbayangkan wajah penyanyi, Rosmaria Abdul Hamid, 67, anak kelahiran Kelantan ini.
Namun ramai tidak mengetahui kisah keluarganya kerana Rosmaria cukup berahsia orangnya. Malah kematian suaminya juga tidak diketahui pihak media melainkan keluarga dan rakan terdekat sahaja. Begitulah kuatnya Rosmaria menjaga privacy keluarganya.
32 tahun hidup bersama dan pemergian suami tercinta, Mhd. Shuhaimi Hussin pada Disember 2022 cukup meninggalkan kesan mendalam terhadap Rosmaria.
“Saya bertuah kerana dapat suami yang cukup memahami kerjaya saya. Boleh kata kami ini ibarat pasangan yang tidak boleh dipisahkan berkepit 24 jam. Suami saya jual insuran, bila dia kerja saya akan mengikutnya dan bila saya ada show dimana-mana dia begitu setia menghantar dan menemani saya.
“Itu sebabnya bila kehilangannya saya begitu terasa sekali. Bercerai hidup dan bercerai mati ini tidak sama rasanya. Kerinduan saya tidak boleh nak diluahkan. Suami saya juga tidak akan balik dan tak boleh nak balik lagi (katanya mengalirkan airmata tanda kerinduan yang teramat sangat terhadap suami tercinta). Sebagai isteri saya hanya mampu mendoakan suami sahaja,” kata Rosmaria atau nama sebenarnya, Rosmariah Abdul Hamid.
Bercerita lagi kata Rosmaria, suaminya meninggal dunia dengan begitu cepat sekali.
“Arwah suami saya tak pernah sakit. Lepas ambik booster beberapa minggu lepas itu dia terus sakit. Dah tak boleh nak makan. Bila pergi hospital di Kota Bharu keadaannya begitu teruk sekali. Bila nak buang air keluar bersama darah dan saya difahamkan usus besarnya sudah bocor.
“Saya pun tak tahu suami saya akan meninggal. Tiba-tiba doktor kata suami saya hidap kanser tahap empat. Tak tahu nak cakap kanser apa sebab menurut laporan doktor ia sejenis kanser yang memakan keseluruhan organ dalamannya.
“Dari gambar Xray yang saya tengok, kelihatan jantung arwah suami saya begitu teruk sekali. Paru-parunya pun dah putih hingga menyukarkannya untuk bernafas,” ujar Rosmaria yang bersyukur dapat nenjaga suaminya sepanjang dia sakit.
Ketika suaminya sakit, Rosmaria terpaksa menolak beberapa undangan show yang telah dipersetujui sebelumnya.
Menurut Rosmaria lagi, Bila dah berstatus ibu tunggal ini dia banyak menghindarkan diri daripada keluar rumah.
“Selama ini kalau keluar kemana-mana saya akan bersama suami. Bila suami dah tak ada saya dah tak berani nak memandu seorang diri. Bukan tak boleh memandu, sedangkan masa anak dara dulu setakat memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru tak ada masalah. Cuma sekarang rasa ralat nak memandu seorang diri.
“Oleh kerana saya bekerja, kadang saya pergi naik bas dan kadang tu saya pergi bersama orang RTM yang memanggil saya buat show antaranya menjadi juri pertandingan anjuran RTM.”
Menyentuh mengenai jodoh baru, tambah Rosmaria,“Jodoh pertemuan di tangan Allah. Saya tak berani nak cakap tak nak kahwin lagi…takut kalau Allah nak duga.
“Berserah pada Allah…jodoh tak boleh nak cakap. Kalau ada jodoh lagi, saya hanya minta lelaki yang terbaik. Lelaki yang kaya hati dan kaya agamanya… kerana saya ingin menumpangnya disana nanti
Balik kampung kerana menjaga ibu tercinta?
Mungkin ramai yang perasan disaat kegemilangannya, pada tahun 1988, Rosmaria terus mengambil langkah mengejut dengan balik Kelantan.
“Saya bawa diri bukannya merajuk dengan industri… tak ada merajuknya. Tapi ada masalah keluarga yang memaksa saya balik untuk menjaga emak saya.
“Ayah saya meninggal masa umur saya 10 tahun dan adik-adik pula kecik-kecik masa tu. Saya faham kesukaran emak nak besarkan kami enam beradik dengan meniaga jual nasi berlauk.
“Masa tak kerja saya yang banyak bantu emak potong bawang dan macam-macam lagi. Bila saya dah tak ada di kampung, emak pun berhenti meniaga kerana menemani saya menyanyi kesana sini,” kata Rosmaria yang kehilangan ibu tercinta, Rabiatul Adawiyah pada 2011 akibat kanser.
Walaupun sudah balik Kelantan, namun Rosmaria masih bekerja dikelab-kelab sekitar Kuala Lumpur. Kalau ada kerja, dia akan balik ke Kuala Lumpur ataupun show dimana-mana, dia akan tetap pergi kerana itu kerja yang disukai iaitu menyanyi.
“Bukan senang nak jadi penyanyi seperti sekarang ini. Pasal minat saya sanggup berkali-kali menyertai Bintang RTM. Masa tu saya budak lagi sekitar umur 17 tahun, masa masuk pertandingan nama saya terkeluar terus dari senarai seterusnya.
“Walaupun tidak terpilih, saya okey sahaja. Selepas itu saya mencuba lagi ketika Sudirman bergelar juara dan saya hanya layak hingga ke semi final sahaja. Penyertaan kali ketiga, barulah rezeki berpihak pada saya membawa lagu Bunga Tanjung nyanyian Datuk Sharifah Aini ketika berusia 21 tahun 1977 saya bergelar juara Bintang RTM.
“Walaupun berkali-kali masuk Bintang RTM namun saya tak sedih walaupun kalah kerana saya memang suka menyanyi. Saya memang `gila’ menyanyi masa sekolah dulu lagi. Apa saja pertandingan menyanyi yang diadakan saya pasti menyertainya. Saya tak kisah menang atau kalah, yang penting saya dapat menyanyi bersama live band,” kata ibu kepada lima orang anak dan dua orang cucu ini.
Selain memenuhi undangan menyanyi, kini Rosmaria juga sibuk dengan mengambil tempahan baju di Kelantan. Itulah cara Rosmaria menghabiskan masanya sehari-hari.
Sepanjang kariernya, Rosmaria juga bertuah kerana dapat menimba pengalaman menyanyi diluar negara mengikut penyanyi Anita Sarawak selama setahun. Sementara menunggu kemunculan album pertamanya, Rosamaria menjadi penyanyi dan penari latar untuk Anita Sarawak.
“Bersama Anita, saya banyak kutip pengalaman dan pengalaman itu digunakannya bila saya buat persembahan saya sendiri. Persembahan terakhir kami ketika di Australia dan selepas itu kesemua anggota membawa haluan masing-masing,” katanya yang tampil dengan album pertamanya, Kisah Kasih pada tahun 1979.
Sepanjang penglibatannya dalam bidang nyanyian, Rosmaria pernah menghasilkan tiga buah album solo dan dua buah album kompilasi bersama ramai artis.
Daripada 45 buah lagu, Rosmaria cukup popular dengan lagu Joget Berhutang Budi, Cinta Yang Menyayat Hati, Kisah-Kisah Masa Lalu, Cintamu Yang Menyayat Hati, Nasi Dagang dan Dalam Mengenangmu.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.