Oleh SYED WAFA

PEPATAH Melayu ada berkata ‘Patah tumbuh hilang berganti’ tetapi hakikatnya yang tumbuh tidak sama dengan yang patah dan pastinya yang berganti mana mungkin sama dengan yang hilang.

Begitu jugalah apabila kita bercakap mengenai Primadona yang seorang ini. Meskipun tahun silih berganti dan kehadiran para pelakon hari ini bagaikan cendawan tumbuh di musim hujan namun beliau adalah ‘sebutir bintang’ dalam dunia filem Melayu yang masih dikagumi sehingga hari ini.

POSTER filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’ (1965)
SAADIAH gaya seorang ejen wanita dalam filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’

Sebabnya, beliau bukan sahaja dilahirkan dengan kecantikan asli dengan tahi lalat penyeri wajah di bawah bibir kanannya malah suara manja dan bakat anugerah-Nya membuatkan apa juga watak yang diberi dapat disantuni dengan begitu berkesan dan mampu membuat penonton larut dengan lakonannya.

Itulah Allahyarham Primadona Datin Saadiah Baharom yang lebih dikenali Saadiah dan menjadi pujaan ramai peminat filem Melayu pada era kegemilangan Studio Jalan Ampas.

Ejen perisik wanita paling bergaya… Saadiah dalam ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’
SAADIAH tampak sungguh bergaya dan elegan dalam filem ‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’

Saadiah mula berlakon apabila sering menemani kakaknya, Allahyarham seniwati Mariam Baharom menjalani penggambaran di Studio Jalan Ampas apabila pengarah B.S Rajhans menawarkan beliau watak kecil dalam filem “Rachun Dunia.” Filem tersebut dibintangi Osman Gumanti, Kasma Booty, P. Ramlee dan diterbitkan pada tahun 1950.

Sejak itu, satu demi satu filem dilakonkan dan akhirnya filem kedua belas menemukan Saadiah dengan seniman hebat, P. Ramlee dalam filem “Penarek Becha (1955).”

DARI kiri: Ahmad Daud, Saadiah,Mariam (Kakak Saadiah) dan Ahmad Mahmud dalam filem ‘Pusaka Pontianak'(1965)

Filem pertama arahan P. Ramlee ini membawa kisah percintaan seorang penarik beca, Amran (P. Ramlee) dengan Azizah (Saadiah) anak Orang Kaya Marzuki (Udo Umar). Percintaan mereka bukan sahaja dihalang oleh bapa Azizah malah Ghazali (Salleh Kamil) yang mempunyai niat jahat untuk membolot harta Marzuki turut memainkan peranan memisahkan Amran dan Azizah.

Filem “Penarik Beca” bukan sahaja telah memberi kejayaan cemerlang kepada Saadiah apabila beliau dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Majalah pada tahu 1956. Malah ia juga membuka ruang untuknya membilang satu demi satu filem lakonannya.

SAADIAH dalam satu babak filem ‘Penarik Becha’ yang turut dilakonkan P. Ramlee, Habsah Buang dan Udo Omar

Sepanjang 34 tahun menceburi bidang lakonan, Saadiah telah membintangi 45 buah filem dengan 10 daripadanya beliau berlakon bersama P. Ramlee.

Antara filem lakonannya bersama P. Ramlee ialah ‘Juwita'(1951), ‘Anjoran Nasib'(1952), ‘Sedarah’ (1952), ‘Penarik Beca'(1955), ‘Hang Tuah’ (1956), ‘Semerah Padi’ (1956), ‘Sarjan Hassan’ (1958), ‘Musang Berjanggut’ (1959) dan ‘Antara Dua Darjat’ (1960).

SAADIAH dan S. Kadarisman dalam satu babak dari filem ‘Antara Dua Darjat’ terbitan tahun 1960.
Filem ‘Antara Dua Darjat’ pada tahun 1960
Bersama P. Ramlee dalam filem ‘Antara Dua Darjat’

Diantara 10 filem lakonannya bersama P. Ramlee, tiga daripadanya dikatakan paling berkesan di hati para penonton dan disantuni dengan baik oleh Saadiah iaitu “Semerah Padi, Musang Berjanggut dan Antara Dua Darjat.”

Filem berkenaan dikatakan mampu menjentik minda kita untuk mendasari makna di sebalik rasa cinta, hukum agama, pangkat serta darjat yang sering menjadi sempadan dalam kehidupan masyarakat.

POSTER filem ‘Musang Berjanggut’ lakonan P. Ramlee, Saadiah, Ahmad Nisfu, Habsah Buang dan Raden Sudiro.
SENIMAN Ahmad Nisfu dan Saadiah dalam satu babak filem ‘Musang Berjanggut’ yang diterbitkan pada tahun 1959.
SAADIAH sebagai Tengku Mayang Mas dalam filem ‘Anak Buloh Betong’ (1966)

Bagaimanapun dalam menelusuri kejayaan Primadona ini, beliau bukan sahaja mencipta nama dalam industri filem Melayu malah mencatatkan sejarah tersendiri apabila diberi peranan yang luar dari kotak.

Siapa sangka, Saadiah yang mula berlakon sebagai pelakon tambahan kerana sering menemani kakaknya akhirnya telah mencipta sejarah dalam dunia perfileman Melayu apabila menjadi seniwati pertama melakonkan watak ejen perisik (Gadis Bond) dalam filem ‘Nora Zain-Ajen Wanita 001’ (1965).

DI ZAMAN kegemilangannya Saadiah sering menjadi model produk kecantikan antaranya Sabun LUX.

Filem Melayu pertama genre penyiasatan ala James Bond arahan Lo Wei menjalani penggambaran di Hong Kong diterbitkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1965.

‘Nora Zain – Ajen Wanita 001’ memaparkan kehebatan Nora Zain sebagai ejen perisik untuk menumpaskan sindiket berlian di Asia.

POSTER filem ‘Dupa Chendana’ lakonan Ahmad Mahmud Mahmud, Saadiah, Aziz Jaafar dan Mariani. Filem ini diterbitkan pada tahun 1964.

Jika sebelum ini, Saadiah membuatkan penonton menangis sayu melihat kisah cinta terhalang, tetapi Nora Zain menunjukkan sisi lain Saadiah sebagai Primadona filem Melayu.

Dalam filem yang turut dibintangi Allahyarham Aziz Jaafar, Nordin Arshad dan pelakon Hong Kong iaitu Fanny Fan Lai dan Tina Chin Fei, Saadiah menunjukkan kehebatannya dan ketangkasannya dalam babak ‘fighting’ yang belum pernah dilakukan dalam filem-filem lakonannya sebelum ini.

GAYA menawan seorang Primadona…Saadiah kelihatan ayu berkebaya pendek.

Kejayaan filem ini telah membuatkan Shaw Brothers menerbitkannya dalam versi cina dengan judul ‘Angel With The Iron Fists’ diarah dan dilakonkan Lo Wei, Lily Ho, Fanny Fan Lai, Tan Ching, Tina Chen Fei dan Fan Mei-Sheng.

Selain melakonkan watak ejen perisik pertama, Saadiah juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Pengarah filem wanita pertama dengan filem ‘Ceritaku Ceritamu’ yang diterbitkan pada tahun 1979. Filem ini dibintangi Zainurdin Ismail, Mior Hashim Manap, Allahyarham Sharifah Aminah, Noor Azizah dan anak tercinta, Ogy Ahmad Daud.

SAADIAH… wajah ayu seorang Primadona.

Sepanjang kariernya dalam dunia filem, Saadiah yang telah menunjukkan lakonan terbaik sebagai Engku Zaleha dalam filem ‘Antara Dua Darjat’ arahan P. Ramlee pernah digelar ‘Ratu Box Office’ kerana kejayaan cemerlang filem-filem lakonannya bersama ‘hero-hero’ hebat seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Ahmad Mahmud, Allahyarham Tan Sri Jins Samsuddin, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham S. Kadarisman.

Sepanjang kariernya dalam bidang lakonan, dua kali Saadiah dianugerahkan Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia 1956 kerana lakonanya dalam filem ‘Semerah Padi’ diikuti pada tahun 1959 pada festival filem yang sama beliau dianugerahkan Aktres Terbaik melalui filem ‘Musang Berjanggut’.

S.MARIAM (kiri) bersama P. Ramlee dan Saadiah serta kenalan

Pada Festival Filem Malaysia ke-12 (FFM12) 1995, Saadiah menerima Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman. Sementara itu, sempena menyambut 23 tahun Persatuan Seniman pada Ogos 1997, beliau yang merupakan calon tunggal dipilih untuk menerima Anugerah Seniman.

Saadiah juga dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik Pilihan Majalah Filem selama tiga tahun iaitu pada tahun 1956 kerana lakonannya dalam filem ‘Penarik Becha’ diikuti pada tahun 1957 kerana filem ‘Hang Tuah’ dan pada tahun 1961 kerana lakonan dalam filem ‘Antara Dua Darjat’.

KELUARGA bahagia…Saadiah, Noraini dan Ahmad Daud mendukung Fauziah.
Wajah primadona yang sentiasa dirindui

Saadiah yang mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Seniman Datuk Ahmad Daud dikurniakan tiga orang anak dengan dua daripadanya menceburi bidang lakonan iaitu Fauziah yang lebih mesra disapa Ogy dan anak bungsunya, Fazlina. Sementara anak kedua, Fazal tidak berminat dalam bidang lakonan.

SAADIAH bersama anaknya, Fauziah Ahmad Daud dalam
filem pertama arahannya, ‘Ceritaku Ceritamu’ yang diterbitkan dan ditayangkan pada tahun 1979.
KENANGAN manis… Fauziah Ahmad Daud bersama ibunya, Saadiah. Fauziah
menerima Anugerah Pelakon Harapan Berbakat kerana lakonannya dalam filem ‘Abang’ pada Festival Filem Asia Pasifik ke-27 pada tahun 1982.

Melalui perkahwinan pertamanya Saadiah mempunyai tiga orang anak iaitu Azizah, Noraini dan Rohaya.

KELUARGA bahagia …Fauziah, Saadiah, Ahmad Daud dan Noraini.
DEPAN: Fazal dan Fazlina (duduk).
DALAM kenangan… pasangan bahagia Saadiah dan Ahmad Daud.

Saya amat berbangga mempunyai pengalaman bertemu dengan primadona hebat ini. Ketika itu saya menjadi editor majalah Oh!GEE yang diterbitkan oleh Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ogy dan adik beliau, Fazal.

Kak Ogy selalu bawa saya bertemu dengan bonda tercinta dan beliau begitu rapat dengan ibunya dan menjaga arwah penuh kasih sayang sehingga akhir hayat.

Majalah Oh!GEE yang diterbitkan oleh Kak Ogy dan adik beliau Fazal di mana Syed Wafa sebagai editor majalah ini
Kenangan indah Syed Wafa (Penulis) bersama Primadona filem Melayu,Saadiah

Saadiah meninggal dunia di rumahnya kerana penyakit kencing manis pada 26 Februari 2005.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman…Amin.

Satu kehilangan besar buat negara…WAJAH sayu seorang anak…Fauziah Ahmad Daud di sisi jenazah ibunya, Allahyarham Saadiah yang meninggal dunia pada 26 Februari 2005.
FAUZIAH Ahmad Daud dan adik bungsunya, Fazlina yang mengikuti jejak bonda dan ayah tercinta
Previous article`Suami hanya pinjaman tak perlu nak rebut-rebut’ Zarina Zainuddin
Next articleAEYDAN gandingan anak-anak Rabbani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here