TAHI lalat yang terhias indah di sebelah kiri bibirnya menjadi 'trademark' Seniwati Latifah Omar yang menjadi pujaan para peminat filem Melayu era Cathay Keris pada tahun 1950an - 1960an.

Oleh SYED WAFA

PENUBUHAN dua syarikat perfileman iaitu Malay Film Productions (MPF-1943) dan Cathay-Keris Film (Cathay-1951) di Singapura dengan filem-filem terbitan mereka bukan sahaja mampu menceriakan hidup para peminat filem Melayu ketika itu malah secara tidak langsung memberi ruang mereka yang berbakat dalam bidang lakonan menceburi bidang ini.

MFP yang dimiliki dua beradik Runme Shaw dan Run Run Shaw telah menerbitkan 160 filem dengan filem pertamanya “Singapura di Waktu Malam” (1947) arahan BS Rajhans lakonan Siput Sarawak, Bakhtiar Affendi dan Siti Tanjung Perak. MFP dibubarkan pada November 1967.

GAYA seorang Ratu Cantik Singapura 1953… Latifah Omar.

Sementara Cathay Keris menerbitkan lebih 120 filem dimiliki oleh Loke Wan Tho dan Ho Ah Loke dengan filem pertama terbitannya “Buloh Perindu” (1953) juga diarahkan BS Rajhans dilakonkan Rosini, Sharif Medan, Salleh Ghani, M. Amin, Norsiah Yem, Raden Sudiro dan Momo Lariff. Syarikat penerbitan ini menamatkan operasinya pada tahun 1973.

Kewujudan dua syarikat penerbitan filem ini bukan sahaja telah mewarnai kehidupan masyarakat Melayu ketika itu, malah ia telah melahirkan ramai seniman dan seniwati yang mencipta nama dan kekal di bibir para peminat filem Melayu sejak 1950-an sehingga hari ini.

PANGGILAN Pulau…filem pertama lakonan Latifah Omar bersama kekasih hatinya, P. Ramlee.

Jika MFP ada Seniwati hebat antaranya Allahyarham Primadona Datin Saadiah, Primadona Datuk Dr. Sarimah dan seniwati Zaiton, Cathay juga punya Seniwati berbakat dan jelita seperti Datuk Seri Maria Menado, Salmah Ahmad dan Allahyarham Latifah Omar.

Seniwati Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah Omar dilahirkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 26 Mac 1939 berhijrah ke Singapura bersama ibunya, Rahmah Kassim yang berasal dari Singapura pada tahun 1948.

Dalam usia 15 tahun sudah diberi peluang berlakon sebagai watak utama

Perjalanan seni Latifah Omar yang memiliki seraut wajah cantik menawan dengan tahi lalat menghiasi di bawah bibir kirinya dikatakan antara tarikan para peminat filem ketika itu meminatinya.

Beliau mula menceburi bidang lakonan setelah dimahkotakan sebagai Ratu Cantik Singapura ketika berusia 14 tahun pada tahun 1953.

Di awal kemunculan Latifah Omar sebagai bintang filem Melayu
Pengarah filem Melayu terkenal iaitu B.S. Rajhans serta pembantunya Ibrahim Ali yang bertanggungjawab membawa Latifah Omar ke dunia lakonan sebagai pelakon pembantu dalam filem ‘Dahlia’ (1954)

Dengan gelaran sebagai Ratu Cantik Singapura, ia memberi peluang Latifah Omar muncul sebagai pelakon tambahan dalam filem “Dahlia” (1953) arahan BS Rajhans terbitan Cathay dan ditayangkan pada tahun 1954.

Selepas filem itu, Latifah Omar berhijrah ke Studio Jalan Ampas milik MFP sebagai pelakon tambahan dalam filem “Kerana Kau” (1953) arahan K.R.S Sastry.

P. Ramlee jatuh cinta bila melihat kejelitaan Latifah Omar
LATIFAH Omar dan P. Ramlee dalam satu babak filem “Merana.”

Bagaimanapun lakonannya sebagai ‘Melati’ kekasih Zulkifli (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee) dalam filem “Panggilan Pulau” (1954) yang turut dilakonkan antaranya Normadiah, Nordin Ahmad, Yusof Latiff, A. Rahim dan Salleh Kamil yang diarahkan oleh S. Ramanathan telah mencuri hati para peminat filem ketika itu.

Realitinya hubungan cinta antara Latifah Omar dengan P. Ramlee bukanlah rahsia kerana ia telah berputik sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki ke Studio MFP. Apalagi ketika itu, P. Ramlee telahpun bercerai dengan isterinya, Junaidah pada tahun 1953. P. Ramlee dan Junaidah berkahwin pada tahun 1947 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Mohamad Nasir (1953-2008) dan Arfan (1954-1998).

LATIFAH Omar bersama Mustapha Maarof dalam satu babak filem “Bawang Putih Bawang Merah.”

Hubungan cinta antara P. Ramlee dengan Latifah Omar hanya diketahui sahabat baiknya iaitu Sasterawan Abdullah Hussain. Sayangnya entah di mana silapnya hubungan cinta mereka berakhir dengan perpisahan.

Setelah lapan filem berlakon di MFP antaranya “Merana” (1954) filem kedua dan terakhir lakonannya dengan P. Ramlee arahan B.N Rao, “Insan” (1955) diarahkan K.M Basker, “Empat Isteri” (1955) arahan BS Rajhans dan yang terakhir “Putera Bertopeng” (1957) diarahkan oleh K.M Basker, Latifah Omar berhijrah ke Cathay.

“LANCANG Kuning” antara filem lakonan Latifah Omar dengan Nordin Ahmad.
Dalam filem ‘Lanchang Kuning’, Latifah Omar hampir digilis oleh replika lanchang kerana tali pengikat lanchang tersebut dikatakan telah terputus
LATIFAH Omar nampak anggun dan bergaya dengan kebaya pendek.

Latifah Omar berhijrah ke Cathay pada akhir tahun 1957 yang merupakan pesaing MFP, setelah beliau menerima notis berhenti kerja dalam tempuh sebulan yang dikatakan berpunca kerana beliau tidak hadir pada majlis yang berkaitan dengan filem. Turut sama meninggalkan MFP ialah Nordin Ahmad, Siti Tanjong Perak dan Mariam.

Bukan itu sahaja, malah disebabkan itu juga nama Latifah Omar tidak tercatat dalam ‘credit title’ filem terakhirnya di MFP iaitu “Putera Bertopeng.”

PADA zaman kegemilangannya sebagai Ratu Cathya Keris, wajah jelita Latifah Omar sering menjadi ‘Cover Girl’ majalah hiburan.
RATU Filem Cathay Keris… Latifah Omar.
LATIFAH Omar sering menjadi duta produk terkenal antaranya SINGER.
DUA bintang dari Cathay Keris – Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof dan Latifah Omar.

Bak kata pepatah ‘Tuah ayam nampak di kaki, Tuah manusia tak siapa yang tahu’ kerana perjalanan seni Latifah Omar semakin menyerlah sejak bersama Cathay.

Jika bersama MFP, percintaan Latifah Omar dan P. Ramlee putus di tengah jalan tetapi bersama Cathay, Latifah Omar dipertemukan dengan ‘Loving Couple on Silver Screen’ iaitu seniman Allahyarham Nordin Ahmad. Mereka berdua dikatakan begitu serasi membawa watak romantik di layar perak dan adalah difahamkan gandingan ‘pasangan sejoli’ ini tidak dapat ditandingi mana-mana pelakon sehingga hari ini.

PASANGAN serasi dalam filem… Latifah Omar bersama Nordin Ahmad.
LATIFAH Omar bersama ‘Loving Couple on Silver Screen’ Allahyarham Seniman Nordin Ahmad.
LATIFAH Omar bersama ‘kekasih hatinya dalam filem,’ Nordin Ahmad.

Ketika itu apa sahaja filem lakonan Latifah Omar dan Nordin Ahmad pasti mendapat sambutan hangat daripada para peminat filem Melayu. Disebabkan itu, pasangan ini menjadi rebutan para pengarah di Cathay untuk menggandingkan pasangan ini dalam filem arahan mereka.

Sebanyak 12 filem yang menggandingkan ‘hero dan heroin’ kesayangan para peminat filem Melayu ketika itu antaranya “Hang Jebat” (1961) arahan Hussain Haniff, Laila Majnun (1962) dan Gul Bakawali (1963) diarahkan B.N Rao dan empat filem arahan M. Amin iaitu “Lancang Kuning (1962), Chuchu Datok Merah (1963) Patong Chendana (1963) dan yang terakhir Gurindam Jiwa” (1966).

KEJELITAAN dan senyuman Latifah Omar… membuatkan para peminat tidak jemu memandangnya.
WAJAH ayu… Latifah Omar.
LATIFAH Omar kelihatan ayu dengan berselendang.

Populariti Latifah Omar berada di puncak ketika bersama Cathay kerana kebanyakan filem genre bangsawan lakonannya bersama Nordin Ahmad mendapat sambutan hebat.

Selama 13 tahun bergelar seniwati dengan 23 filem terbitan Cathay Keris, Latifah Omar turut berlakon dalam filem terakhir penerbitan syarikat berkenaan iaitu “Hati Batu” yang dilakonkan S. Azam, Fauziah Ahmad Daud dan M. Shahdan pada tahun 1973.

LATIFAH Omar bersama Allahyarham Seniman Ed. Osmera.
DENGAN tahi lalat menghiasi di bawah bibir kirinya, berilah apa watak kejelitaan Latifah Omar tetap terserlah!
MEMILIKI wajah jelita dengan senyuman menawan…itulah personaliti Latifah Omar.

Sementara itu, dua tahun sebelum P. Ramlee meninggal dunia kerana serangan jantung (29 Mei 1973), Latifah Omar berlakon buat kali terakhir bersama P. Ramlee dalam filem arahannya “Putus Sudah Kasih Sayang” terbitan Merdeka Film Production pada tahun 1971.

Filem ini menemukan semula Latifah Omar dengan P.Ramlee setelah 17 tahun terpisah selepas filem “Merana” (1954). Turut berlakon dalam filem ini ialah Allahyarham Seniwati Mariani, Allahyarham Bob Mustaffa dan Allahyarham Seniwati Noorizan.

FILEM “Putus Sudah Kaseh Sayang” temukan semula Latifah Omar dengan P. Ramlee setelah 17 tahun terpisah.
P. RAMLEE bersama ‘si cantik manis’ Saloma, Latifah Omar dan Mariani yang terlibat dalam filem ‘Putus Sudah Kaseh Sayang’
P. RAMLEE bersama ‘dua bintang’ dari filem “Putus Sudah Kaseh Sayang.’
Latifah Omar sebagai Lisda dan Allahyarham Puan Sri Saloma menyanyi lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan.

Walaupun Latifah Omar merupakan seniwati yang ‘versatile’ dalam filem-filem lakonannya namun tidak seorang pun daripada empat orang anaknya termasuk seorang anak angkat daripada tiga perkahwinan dan sembilan orang cucu yang mengikut jejaknya sebagai pelakon.

Bagaimanapun anak sulungnya, Afendi Rahmat,65, anak daripada perkahwinannya dengan Rahmat Ali (bapa kepada Seniwati Rahmah Rahmat yang merupakan anak tiri beliau) mewarisi tahi lalat yang terletak di pipi kirinya.

AFENDI Rahmat mewarisi tahi lalat ibunya, Seniwati Latifah Omar.

Pengalaman saya bersama seniwati hebat ini pasti tidak dapat saya lupakan. Banyak rahsia petua kecantikan yang beliau kongsikan dengan saya antaranya untuk kurangkan uban di kepala dan kurangkan kedut di wajah. Biarlah petua ini menjadi rahsia saya bersama beliau.

Beliau di dalam filem dan luar filem mempunyai banyak persamaan. Tutur katanya sungguh lembut dan bersopan serta sentiasa kelihatan cantik dengan solekan yang sederhana. Itulah seniwati legenda Latifah Omar yang sentiasa dirindui.

SENYUMAN manis sentiasa menghiasi wajah jelita Seniwati Latifah Omar.
SYED Wafa (Penulis) bersama wartawan dan penulis lirik tersohor, Allahyarham Haji Abdul Jalil Salleh atau lebih dikenali sebagai Juwie, Allahyarham Latifah Omar dan Allahyarham Mariani Ismail.

Seniwati Latifah Omar meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) kerana kanser usus pada 9 Jun 2013.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang yang beriman… Amin.

DALAM kenangan…9 Jun 2013, Afendi Rahmat menyiram air mawar di pusara ibunya, Latifah Omar.
Previous article`Tanggunglah dosa mereka yang mengata saya’ Sophia Albarakbah
Next articlePotongan 10 peratus hadiah istimewa sempena pembukaan Restoran Rasa Rosz di AEON Big,Wangsa Maju!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here