Wajah jelita Sophia Albarakbah yang menjadi rebutan penerbit drama dan filem kini

Oleh Nafsiah Jani

Industri hiburan ini memang kuat cabarannya. Bila seseorang artis itu sudah popular semua mata bakal tertumpu kepada mereka. Apa saja yang dilakukan akan menjadi buah mulut netizen diluar sana yang lebih hebat dan dahsyat komen mereka mengalahkan wartawan bertauliah.

Begitu juga dengan pelakon dan model, Sophia Albarakbah yang tidak dapat lari daripada pelbagai gosip dan kontroversi. Lepas satu kontroversi, timbul pula kontroversi lain antaranya melibatkan pelakon Aliff Aziz dan isteri, Bella Astilah.

Sophia mula dikenali selepas membawa watak Cahaya Malaika dalam drama, Suamiku Lelaki Pendosa gandingan bersama Datuk Aaron Aziz. Graduan bidang bioteknologi di Technology Park Malaysia dan Dietetik di Universiti Perubatan Antarabangsa ini memandang semua perkara yang dihadapinya sebagai asam garam dunia artis.

“Sebelum `masuk’ dalam industri hiburan, Sophia dah tahu dunia artis ini memang penuh pancaroba dan Sophia dah bersedia menghadapinya. Sebagai orang seni Sophia memang tak dapat lari dari gossip. Buat benda betul pun salah, benda yang salah lagilah salah.

“Sophia sedih bila baca komen-komen melampau netizen. Bila baca komen mereka, Sophia terfikir mereka ni kenal rapat ke dengan Sophia atau sekadar nak bagi komen untuk suka-suka. Kadang-kadang Sophia tertanya-tanya juga…kau tak kenal aku tapi kenapa kau nak mengata aku.

“Tak apalah, mereka yang suka mengata perkara yang Sophia tak lakukan, dosa itu mereka tanggunglah sendiri. Sophia tahu, memang Sophia tak buat salah apa-apa. Untuk kebaikan mental dan tidak stres, Sophia kurang membaca komen yang tidak membina ini. Tapi kadang tu terbaca juga, Sophia reda,’’ kata Sophia sedih.

Bersama barisan pelakon serta pengarah filem ‘Harimau Malaya: The Untold Journey’

Menurut Sophia,30, lagi, dia tidak perlu buktikan pada sesiapa setiap perkara yang ingin dilakukannya.

“Ini antara Sophia dengan Tuhan. Antara Sophia dengan keluarga. Bagaimana perasaan netizen bila orang mengata dan bercakap perkara yang tidak elok mengenai adik, emak atau saudara perempuan anda. Mesti netizen marah dan sedih. Begitu juga perasaan Sophia sekarang ini. Tapi takkan Sophia nak tunjukkan kesedihan, marah atau ‘melatah’.

“Peminat kena bijak berfikir. Jangan sekadar nak mengata atau sakit hati pada Sophia…ini tidak elok. Sophia bertuah kerana keluarga memahami dan banyak memberi sokongan.”

Sophia yang berdarah campuran Arab, Melayu dan Cina menambah, untuk tidak memikirkan benda-benda yang mengarut, dia banyak buat habiskan masa mencari ketenangan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Memang sakit hati dan rasa down kerana tuduhan liar akan membuatkan imej Sophia buruk. Sophia bersyukur kerana ia sedikit pun tidak menjejaskan nama Sophia. Malah banyak pula tawaran berlakon yang Sophia dapat sekarang. Sebenarnya, kontroversi demi kontroversi ini buat Sophia jadi lebih kuat.

“Dari fikir perkara yang tidak berfaedah dan menyakitkan hati lebih baik Sophia isi masa terluang untuk menggembirakan diri sendiri. Sophia suka buat aktiviti berkuda, masak, buat kek dan mencuba resepi-resepi baru lain-lain lagi,” kata anak kedua daripada empat adik-beradik ini.

Rezeki filem menanti Sophia

Dalam sibuk netizen mengata dan mencari setiap kesalahan Sophia namun rezekinya tidak berhenti-henti mencurah. Sehingga hujung tahun ini empat filem sudah menantinya.

“Alhamdulillah. Tak sangka Sophia dapat tawaran buat empat buah filem sebelum hujung tahun ini. Antaranya Abu Si Raksaksa, Harimau Malaya: The Untold Journey dan Saka Perawan.

“Rezeki inilah yang dapat mengalihkan perhatian Sophia daripada memikirkan mulut-mulut netizen. Sekarang ini penat berlakon tu tak berapa sangat Sophia rasa, tapi penat nak menangkis mulut-mulut netizen tu yang Sophia tak larat,” ujar Sophia yang kini kembali single.

Sebelum ini Sophia pernah membintangi drama dan filem seperti Ada Hantu, Jerangkung Dalam Almari dan Mimaland (2020).

Previous articleGaza Sentiasa Di Hati!
Next articleDi sebalik tahi lalat Latifah Omar!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here