Oleh Nury Kadir
Sebelum bermula, mari renung sejenak dan fahami kata-kata Imam Al-Ghazali ini: “Adalah seperti memasukkan kanak-kanak ke dalam api neraka di dunia apabila ibu bapa terlalu membiasakan mereka hidup dalam kemewahan dan kecintaan pada harta benda.”
Cabaran mendidik anak pada tahun 70-an, 80-an dan awal 90-an adalah kemiskinan. Sekitar tahun-tahun tersebut ibu bapa diuji dengan kesukaran mendapatkan makanan yang berkhasiat, sukar untuk akses pendidikan yang baik dan kepayahan untuk mendapat taraf kehidupan berkualiti.
Beza dengan abad 21, di mana segala maklumat berada di hujung jari. Anak-anak yang dibesarkan di abad 20 telah menjadi ibu bapa, senang, mewah dan mampu memberi yang terbaik untuk anak-anak. Usia belum mencecah setahun anak-anak sudah dibiasakan hidup dengan gadget, asal menangis sahaja dipujuk dengan diberikan handphone.
Cara orang dulu-dulu mendidik anak jauh berbeza dengan pasangan muda hari ini. Jika orang dulu-dulu, apabila hendak makan anak dipangku sambil menyuap mulut sendiri, mulut anak pun disuap sekali.
Hari ini, pasangan muda mendidik anak lain pula caranya, lihat sahajalah di kedai makan. Emak ayah makan dengan aman sementara anak kecil yang belum pun berusia tujuh tahun dihidangkan dengan gadget agar mereka diam.
Pemandangan seorang ayah memangku anak sambil menyuap makanan ke mulut sudah jarang kelihatan. Mungkin ada tetapi dalam sepuluh pasangan yang sedang menikmati hidangan hanya seorang sahaja yang memangku anak sambil menyuapkan makanan tanpa ada gadget di atas meja.
Seolah-olah kita menyerahkan sebahagian tugas mendidik anak kepada gadget. Memang benar apabila ada gadget tugas mendidik anak menjadi semakin mudah tetapi kesannya tidak mudah ditangani selepas anak berumur tujuh tahun.
Sedangkan menurut Imam Al-Ghazali kanak-kanak mula mempelajari nilai-nilai murni seperti kebijaksanaan, kasih sayang, kebaikan, kesederhanaan, membezakan antara yang baik dengan buruk seawal usia lima hingga enam tahun. Hal berkenaan juga disebut di dalam buku Early Childhood Education oleh Love dan Osborne, “Kanak-kanak berusia enam tahun telah mempelajari 75 peratus daripada apa yang akan dipelajari sepanjang hayatnya.”
Ada satu kata-kata yang dinisbahkan kepada Saidina Umar r.a, maksudnya; “Bermainlah dengan anak kamu pada tujuh tahun pertama. Didiklah mereka adab pada tujuh tahun kedua. Jadilah sahabat mereka pada tujuh tahun ketiga. Kemudian lepaskanlah kekangannya (biarkan dia bebas membuat pilihan sendiri).”
Tujuh tahun pertama (0-7 tahun)
Ini adalah tahap yang penting di mana kanak-kanak belajar, terpengaruh dan meniru semua perkara yang berlaku di sekelilingnya dan belajar melalui pemerhatian. Mereka mempelajari sesuatu melalui permainan dan keseronokan. Jika asas pembentukannya kuat, maka mereka akan mudah menempuh peringkat umur tujuh tahun tahap kedua. Namun, jika asasnya rapuh maka tujuh tahun tahap kedua akan lebih mencabar.
Tujuh tahun kedua (7-14 tahun)
Ketika ini kanak-kanak seperti span, mereka akan menyerap semua yang dilihat, diajar dan dibicarakan. Inilah saat yang paling sesuai mengajar mereka tentang Islam, halal haram dan hal-hal ibadat. Ibu bapa bertanggungjawab mengajar anak bagaimana untuk menjaga tingkahlaku. Bagaimana untuk memilih persekitaran dan sahabat yang betul. Ibu bapa berperanan untuk menetapkan sempadan dalam apa juga keadaan supaya tidak berlaku kekeliruan.
Tahap tujuh tahun ketiga (14-21 tahun)
Umur baligh dan peringkat matang. Pada peringkat ini anak-anak sudah sampai fasa berdikari dan membina personaliti sendiri. Menurut Islam, usia 14 tahun adalah umur dewasa di mana mereka sudah mampu membuat pilihan. Ibu bapa hanya sebagai pemberi nasihat, membimbing dalam membuat keputusan dan sahabat.
Didik Anak Menurut Ajaran Rasulullah
Kajian Muhammad Mahfud dan Muhammad Arifuddin yang dimuatkan di dalam Jurnal Pendidikan Agama Islam (FATAWA) edisi Jun 2022, bertajuk Mendidik Anak Menurut Ajaran Rasulullah, menggariskan lima perkara yang mesti dilakukan oleh ibu bapa.
1. Menanamkan tauhid dan akidah yang benar
Tauhid adalah landasan Islam. Apabila seseorang, benar tauhidnya maka dia akan mendapat keselamatan dunia dan akhirat. Tanpa tauhid, pastinya akan terjerumus dalam kesesatan syirik dan akan mendapat kecelakaan dunia serta azab di akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Luqman ayat 13 yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Luqman memberi nasihat kepada anaknya; “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezalian yang besar.”
Rasulullah SAW telah menitipkan contoh terbaik betapa pentingnya akidah yang benar kepada anak-anak sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadis riwayat al-Tirmizi, maksudnya: Ibnu Abbas bercerita:“Pada suatu hari aku pernah berboncengan di belakang Nabi (di atas kenderaan), beliau berkata kepadaku: “Wahai anak, aku akan mengajari engkau beberapa kalimat: Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan dapati Allah dihadapanmu. Jika engkau memohon, mohonlah kepada Allah. Jika engkau meminta tolong, minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah! Kalaupun seluruh umat (jin dan manusia) berkumpul untuk memberikan satu pemberian yang bermanfaat kepadamu, tidak akan bermanfaat hal itu bagimu, kecuali jika itu telah ditetapkan Allah (akan bermanfaat bagimu). Ketahuilah. Kalaupun seluruh umat (jin dan manusia) berkumpul untuk mencelakakan kamu, tidak akan mampu mencelakakanmu sedikitpun, kecuali jika itu telah ditetapkan Allah (akan sampai dan mencelakakanmu). Pena telah diangkat, dan telah kering lembaran-lembaran.”
Perkara-perkara yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu ‘Abbas di atas adalah perkara tauhid. Penekanan ilmu tauhid sejak awal usia kanak-kanak menjadi landasan keteguhan iman seseorang. Tauhid adalah asas awal membentuk peribadi anak yang teguh dalam segala rintangan mendatang. Khususnya, pada era digital atau era Industri 4.0 atau bahkan di era society 5.0 dengan asas keimanan yang kuat seseorang tidak akan mudah dihancurkan oleh zaman.
2. Ajar anak melaksanakan ibadat
Ajarlah anak-anak bagaimana beribadat dengan benar sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW sejak usianya masih muda. Mulai dari tatacara bersuci, solat, puasa serta beragam ibadah lainnya. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:”Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika berumur sepuluh tahun. Dan pisahkanlah tempat tidur di antara mereka.” (riwayat Abu Daud)
Usia tujuh tahun sebagaimana dalam hadis tersebut, adalah usia yang ideal dalam menganjurkan ibadat wajib kepada anak, agar mereka terbiasa dan tertib dalam melaksanakan ibadat-ibadat wajib tersebut. Lakukan secara berperingkat-peringkat hingga semua amalan tersebut kukuh dalam jiwa.
3. Mencintai Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya
Sebagaimana Sabda Nabi SAW, maksudnya:”Didiklah anak-anakmu atas tiga hal; mencintai nabimu, mencinti ahli baitnya dan membaca al-Quran. Orang yang mengamalkan al-Quran nanti akan mendapatkan naungan Allah pada hari ketika tiada naungan kecuali dari-Nya bersama para nabi dan orang-orang yang suci.” (Riwayat At-Tabrani)
Hadis di atas sangat jelas, bahwasanya setelah tauhid dipasak di dalam diri anak dan memperkenalkan berbagai-bagai kewajiban seorang hamba kepada Tuhannya, ibu bapa harus mengajarkan kepada anak agar sentiasa mencintai Nabinya (Nabi Muhammad SAW). Lalu mencintai ahlul bait (keluarga Nabi) dan mencintai al-Quran dengan cara istiqamah membacanya, memahami maknanya, dan bahkan menghafalnya.
4. Mendidik tentang adab dan akhlak mulia
Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak dan antara sebab Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Contoh terbaik adab dan teladan akhlak adalah Rasulullah SAW. Setiap ibu bapa kena membaca sirah Rasulullah SAW untuk membimbing anak tentang adab dan akhlak mulia.
Dari Abu Hurairah ra. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)
Di dalam Al-Quran juga, Allah SWT telah mengakui bahawa kekasih-Nya Rasulullah SAW adalah contoh teladan terbaik. Ini disebut dalam surah al-Ahzab ayat 21 maksudnya, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan terbaik.”
5. Mendidik anak agar berperibadi kuat, berani, teguh, pejuang dan mandiri
Peribadi yang kuat tidak terwujud dalam sekelip mata. Membentuk anak agar memiliki peribadi yang kuat perlu menempuh proses yang panjang. Rasulullah SAW jelas-jelas menyebut bahawa muslim yang kuat zahir dan batin lebih baik daripada muslim yang lemah.
Daripada Abu Hurairah r.a dia berkata, maksudnya: “Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat, lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; ‘Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu’. Tetapi katakanlah; ‘lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan ‘Seandainya’ (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan ‘Seandainya’ (kalau) membuka peluang masuknya syaitan.” (HR Muslim)
Selain membentuk peribadi yang kuat, ibu bapa juga kena sentiasa berusaha membentuk peribadii anak menjadi berani dan teguh. Daripada Uqbah bin Amir berkata, “Aku mendengar Nabi SAW bersabda ketika di atas mimbar, Maksudnya:”Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melemparkan (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah), ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah).” (riwayat Muslim)
Hadis di atas sangat jelas memberikan petunjuk bagi para pendidik khususnya ibu bapa agar sentiasa membentuk peribadi anak menjadi kuat. Untuk mencipta peribadi yang kuat, teguh, gagah dan pejuang maka makanan yang diambil oleh anak mestilah daripada hasil yang halal lagi baik.
Akhir sekali ditinggalkan artikel ini dengan doa kepada Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.