Image by master1305 on Freepik

Oleh Asmat Fikri

Gejala Cyst

Macam mana saya nak tahu saya mungkin ada cyst?
Bagi menjawab persoalan itu, terdapat banyak gejala atau faktor yang terjadi pada diri kita memungkinkan kita ada cyst. Justeru, ayuh kita tengok apakah gejalanya dan jika mengalami seperti yang disebutkan, cepat-cepat pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

1. Sakit pada bahagian bawah perut

Biasanya orang yang ada cyst akan mengalami sakit di bawah perut atau di kawasan pelvis. Sakit ini akan kerap berlaku tanpa diketahui jelas apakah punca dan sebabnya. Paling utama kesakitan ini bukan seperti sengugut yang kita dapat agak kehadirannya iaitu sewaktu dekat atau di awal datang bulan.

2. Kitaran haid tak normal atau tidak sekata

Cyst ini juga akan menganggu kitaran haid setiap bulan. Jika sebelum ini kitaran haid kita ‘cantik’ sekata setiap bulan tetapi telah terjejas. Mungkin boleh membuat pemeriksaan di klinik, dikhuatiri terdapat cyst.

Image by Freepik

3. Pendarahan tidak normal atau luar biasa

Kadangkala, sista ovari boleh menyebabkan pendarahan yang abnormal sewaktu haid. Ada wanita yang mengalami pendarahan yang lebih serius, namun ada juga yang tidak datang period. Dan ada kalanya pendarahan itu berlaku walaupun bukan di waktu haid datang.

4. Sukar membuang air kecil

Satu lagi tanda ada cyst ialah kesukaran untuk membuang air. Sista yang bersaiz besar boleh menyebabkan anda sukar untuk mengosongkan pundi kencing. Bukan itu sahaja, anda juga akan rasa sukar untuk membuang air besar.

5. Rasa sakit ketika melakukan hubungan seksual

Salah satu tanda wanita ada cyst ialah rasa sakit ketika bersenggama dengan suami. Walau bagaimanapun, ada banyak lagi sebab lain yang boleh menjadi punca kesakitan ketika melakukan hubungan seks. Selalunya, wanita yang menghidap cyst akan rasa sakit pada kawasan perut sejurus selepas melakukan hubungan seks.

6. Perut buncit

Pernah tak jumpa orang yang mengadu perutnya buncit hinggakan ramai beranggapan dia sedang hamil? Tahukah anda, cyst ovari boleh menyebabkan perut anda buncit atau kembung terutamanya pada sebelah sisi yang terkesan dengan pertumbuhan sista. Bukan itu sahaja, anda juga mungkin akan rasa ‘berat’ atau ditekan di kawasan yang membengkak.

7. Berlaku keguguran berulang kali

Jika mengalami keguguran kerap kali atau kandungan tidak dapat disebabkan di awal kehamilan, pastikan berjumpa doktor kerana besar kemungkinan anda ada cyst di tempat tertentu.

Namun sekiranya cyst tersebut bersifat luaran seperti pada kulit. maka ianya bersifat seperti berikut:

  • Terdapat ketumbuhan atau benjol pada kulit
  • Berasa panas pada kawasan tersebut
  • Sekiranya benjolan ditekan akan meninggalkan cap
  • Di bahagian tengah benjolan tersebut akan ada titik hitam
  • Demam
Image by brgfx on Freepik

Rawatan Cyst Ovari

Kalau ada cyst ape nak buat? Menurut Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak iaitu Pegawai Perubatan Obstetrik & Ginekologi dari Kementerian Kesihatan Malaysia seperti yang dikongsi menerusi laman sesawang Medical Mythbusters Malaysia, rawatan ovarian cyst bergantung kepada jenis cyst yang anda alami. Bagi cyst folikular atau corpus luteal cyst, rawatan yang biasa ialah dengan ‘tunggu dan lihat’. Lazimnya, doktor sakit puan akan memantau samada ia semakin membesar atau sudah bertukar bentuk.

Menurutnya lagi, rawatan pembedahan untuk membuang cyst akan dicadangkan jika didapati cyst menjadi semakin besar. Walau bagaimanapun pilihan akan diberikan bergantung kepada gejala yang anda hadapi, bentuk cyst, dan keputusan ujian darah.

  • Simple cyst berukuran diameter < 5 cm :
    Rawatan tidak diperlukan. Cyst jenis ini akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa bulan. Anda juga mungkin tidak memerlukan rawatan susulan.
  • Simple cyst berukuran diameter 5 – 7 cm :
    Anda seharusnya diberikan rawatan susulan, sekurang-kurangnya ultrasound selepas setahun kemudiannya.
  • Simple cyst berukuran diameter > 7cm:
    Anda perlu menjalani ujian dan pemeriksaan lanjut, seperti MRI atau pembedahan. Jika memerlukan kepada pembedahan, anda akan diberikan pilihan untuk menjalani pembedahan laparoskopi (pembedahan melibatkan potongan kecil dan penggunaan kamera), ianya kurang menyakitkan berbanding laparotomi. Dengan pembedahan laparoskopi, anda akan dapat pulang awal ke rumah selepas pembedahan dan sembuh dengan kadar yang segera.
    Pembedahan laparotomi (pembedahan melibatkan potongan besar) dicadangkan sekiranya sista didapati terlalu besar ataupun cyst menunjukkan tanda-tanda berkaitan dengan kanser.
    Doktor sakit puan akan berbincang tentang kebaikan dan keburukan kedua-dua jenis pembedahan ini, seterusnya menentukan jenis pembedahan yang bersesuaian dengan keadaan cyst itu.

Apakah ovari akan dibuang semasa pembedahan?

Jelas Dr. Muhammad Izzat lagi, lazimnya kedua-dua ovari tidak dibuang ketika pembedahan. Ini adalah kerana ovari penting untuk menghasilkan hormon wanita yang diperlukan sebelum menopos dan dalam kebanyakan kes, hanya cyst sahaja dibuang. Walaupun begitu, ada sesetengah keadaan yang memerlukan ovari perlu dibuang juga, misalnya jika keadaan cyst terlalu besar sehingga menggantikan semua ruang ovari.

Selain itu, ovari juga perlu dibuang sekiranya cyst sudah terpusing hingga menyebabkan peredaran darah pada ovari terputus atau merasakan cyst itu mungkin menular menjadi kanser. Dr Muhammad Izzat juga turut mengingatkan ramai wanita untuk tidak terpedaya dengan janji manis usahawan produk yang memancing untuk baik pulih cysts. Saranannya terus ke klinik atau hospital untuk dapatkan penerangan, pemeriksaan dan juga rawatan susulan.

Pencegahan Cyst Ovari

Sebenarnya tiada cara yang tepat untuk menghalang atau mencegah cyst ovari daripada berlaku. Namun, pemeriksaan pelvik secara berkala mampu mengesan sebarang perubahan yang berlaku pada ovari anda. Pemeriksaan yang kerap boleh menjadi sangat penting dalam menangkap potensi berulang semula. Ia juga membantu sama ada pembedahan diperlukan atau tidak.

Anda juga perlu peka jika mengalami sebarang perubahan kepada kitaran haid, sakit dibahagian pelvis, ketidakselesaan atau pengulangan sebarang gejala lain cyst ovari.

Perubahan gaya hidup mungkin ya atau mungkin tidak, dapat membantu mencegah cyst ini berulang. Ini termasuk berhenti merokok, makan makanan yang lebih sihat dan senaman yang kerap.

Untuk sihat sama-samalah kita menjaga kesihatan diri. Harga sebuah kesihatan itu tiada nilainya, walaupun kita mempunyai duit berkepok-kepok. Sayangi diri anda kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Previous articleKhasiat dan kebaikan serai
Next articleNam Ron lebih senang untuk tenang!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here