Oleh Asmat Fikri
Risiko Pada Ibu Hamil
Walaupun sering dinasihatkan, namun sudah namanya wanita, ingin cantik sentiasa tetap juga mengenakan kasut tumit tinggi walaupun berbadan dua. Jika wanita tidak hamil, mungkin risikonya tidak seteruk wanita berbadan dua. Masalah ini menjadi berganda kerana anda juga memikul berat bayi di dalam perut yang membuatkan beban untuk kaki semakin bertambah. Di sini kami jelaskan juga risiko memakai kasut tumit tinggi kepada bakal ibu.
Pengaruhi perkembangan bayi
Ibu hamil emosinya kena sentiasa terjaga. Tidak boleh negatif dan tidak boleh terganggu. Penggunaan kasut tumit tinggi membuatkan anda berasa sukar untuk bergerak dengan keadaan bayi yang semakin membesar di dalam perut. Hal ini turut menyebabkan keadaan yang kurang seimbang dan ditambah pula dengan pemakaian kasut wanita yang tinggi dan tidak selesa. Anda juga perlu lebih berhati-hati ketika melangkah kerana khuatir akan menyebabkan anda tergelincir dan jatuh. Ia menyebabkan perkembangan bayi dalam kandungan terjejas.
Sakit bahagian punggung
Pemakaian kasut tumit tinggi boleh membuatkan tulang pinggul anda perlu bekerja lebih keras bagi menampung berat anda dan bayi. Ia secara tidak langsung membuatkan punggung anda berasa sakit yang sekaligus menjejaskan kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.
Mengalami tekanan
Apabila sedang hamil, sangat normal bakal ibu akan mengalami sedikit tekanan berbanding keadaan biasa disebabkan faktor hormon atau keadaan badan yang membawa bayi. Justeru, memakai kasut tumit tinggi menyebabkan sakit kaki, sakit lutut, sakit pinggang dan sebagainya akan menambahkan lagi tekanan pada si ibu. Tekanan ini sedikit sebanyak akan menganggu emosi si ibu juga perkembangan si bayi dalam kandungan yang mungkin akan terjejas.
Sakit di bahagian perut
Beban dan tekanan yang diberikan pada bahagian perut akan membuatkan anda berasa sakit kerana segala tumpuan diletakkan di perut sebagai kantung tempat berkembangnya janin. Perut yang semakin membesar pastinya memiliki berat yang lebih. Ketika anda mengenakan kasut tumit tinggi, bahagian ini akan berisiko tinggi untuk memberikan masalah terhadap kesihatan anda sebagai ibu hamil.
Keletihan melampau
Penggunakan kasut yang tidak selesa boleh menyebabkan anda berasa letih kerana tekanan tertumpu pada bahagian bawah badan. Tidak hanya membuatkan anda sukar untuk melangkah, tetapi juga anda perlu berjalan secara perlahan dengan kandungan yang semakin membesar. Hal ini pastinya membuatkan diri anda sedikit tercungap-cungap kerana perlu meluangkan lebih masa untuk sampai ke destinasi yang anda tuju.
Penutup
Lihatlah wanita, kesan yang bukan biasa tapi boleh jadi teruk hingga mengakibatkan pembedahan jika ianya berterusan. Jadi, setiap wanita perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih apa yang ingin dipakai. Biarlah nampak sedikit rendah asal kesihatan terjaga. Tapi tidak juga salahnya sesekali mengenakan kasut tumit tinggi seperti di acara rasmi dan sebagainya, tapi janganlah terlalu kerap.
Sedikit panduan untuk wanita meminimakan kecederaan atau risiko kasut tumit tinggi sebagai panduan. Apabila ingin mengenakan kasut tumit tinggi, ingatkan kembali panduan ini agar ianya tidak memudaratkan diri.
-
- Sentiasa lakukan senaman regangan kaki.
- Lakukan senaman untuk menguatkan otot bahagian hadapan kaki. Contohnya, mengutip barang menggunakan jari kaki.
- Lakukan latihan untuk keseimbagan badan. Contohnya berdiri sebelah kaki untuk tempoh 30 saat.
- Berehat setiap kali berjalan menggunakan kasut tumit tinggi.
- Elakkan memakai kasut tumit tinggi dengan kerap.
- Pastikan saiz kasut sesuai dan tidak terlalu kecil.
- Pilih kasut yang memiliki tapak yang lebih tebal.
- ‘Listen’ dengar apa yang badan anda katakan, jika berasa sakit, elakkan membeli dan memakai kasut tersebut walaupun betapa GOJES-nya kasut itu!
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.