Oleh Nafsiah Jani

Tarikh 13 November tidak mungkin akan dilupakan Datuk Nora Ariffin buat selama-lamanya kerana tarikh itu beliau dimasukkan ke hospital selepas mengadu demam. Selepas diperiksa, Nora disyaki mengidap demam denggi.

Di hospital itulah bermulanya detik hitam yang nyaris meragut nyawanya gara-gara terlebih air (overdrip) dalam paru-parunya akibat kecuaian petugas hospital. Namun Nora tidak mahu memanjangkan cerita kerana dirinya sudah terbiasa menghadapi dugaan.

Sebelum ini, Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Datuk Haji Wan Ariffin, 50, pernah kehilangan suami tercinta, arwah Johan Nawawi pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. 14 Disember 2019, Nora sekali lagi diuji bila anak keduanya, Muhd Syakir Alif, 20, meninggal dunia secara mengejut.

“Saya dah biasa dengan dugaan sebegini dan inilah yang menjadikan saya semakin kuat hadapi apa saja halangan dalam dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Beberapa tahun sebelum berkahwin semula, kudrat inilah yang membesarkan anak-anak saya.

“Syukur sejak saya pulih dari sakit, anak-anak sudah mula sedar tanggung jawab dan selalu membantu. Ini macam amaran pada anak-anak saya juga. Biasalah budak-budak, apabila tengok mama mereka sentiasa sihat dan kuat, mereka malas nak bantu buat apa-apa yang sepatutnya.

“Sekarang ini, mereka selalu bertanya dan nasihat, mama kena lebih berhati-hati…mama okay tak dan dah ringan tulang membantu buat kerja rumah. Mungkin ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” kata Nora yang kini bahagia bersama suaminya, Dr. Rushdi Ramli, pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Mengulas lebih lanjut mengenai peristiwa hitam tersebut, Nora berkata, waktu itu, beliau ingatkan demam biasa. Bila menjalani pemeriksaan di klinik berdekatan, beliau disyaki mengidap demam denggi dan terpaksa dirujuk ke hospital berdekatan.

“Biasalah di hospital macam-macam prosedur yang mereka buat…cucuk sana dan sini untuk masukkan air. Lapan hari di hospital dan tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU/ Intensive Care Unit) menjadikan 11 hari saya mendapatkan rawatan di hospital. Masa di ICU itu panjang ceritanya… saya sesak nafas dan susah nak bernafas. Doktor kata saya terkena serangan jantung yang ringan.

“Saya tidak ditidurkan tetapi tidak sedarkan diri selama dua hari. Kata doktor, paru-paru dan jantung saya okay. Syukur alhamdulillah kerana Allah memberi saya peluang kedua untuk hidup.

“Semasa ditempatkan di ICU saya ibarat orang lemas kerana air drip terlalu banyak di dalam paru-paru saya. Tangan saya pula lebam-lebam dan biru-biru kena cucuk jarum.

“Sepatutnya saya tak boleh keluar dari hospital kerana masih lagi dalam rawatan. Disebabkan tangan saya dah tidak ada ‘ruang’ lagi untuk dicucuk, itu sebab saya dibenarkan pulang dan dibekalkan dengan ubat antibiotik.

Semasa sesak nafas, saya bayangkan…mungkin sudah sampai masanya untuk saya ‘pergi’. Mana tidaknya, waktu itu saya tak nampak apa-apa… semuanya dah nampak putih. Saya gunakan waktu itu mengucap panjang-panjang…ingat Allah dan minta ampun pada Allah,” cerita Nora, yang popular dengan lagu ‘Di Persimpangan Dilema’ sambil menzahirkan kesyukurab kerana berjaya melalui detik hitam tersebut.

Menurut Nora, sepanjang berada di hospital, otaknya hanya terfikir tentang anak-anak dan suami.

“Selama ini, saya yang menguruskan mereka kerana anak bongsu masih bersekolah dan anak ketiga pula masih belum selesai pengajiannya. Biasalah mak-mak…memang fikir anak dan saya selalu berdoa pada Allah yang baik-baik untuk mereka. Saya bersyukur kerana suami banyak membantu saya menguruskan anak-anak.

“Mungkin silap saya juga kerana tidak menjaga kesihatan sedangkan usia saya sudah mencecah 50 tahun. Dalam meniti usia begini macam-macam penyakit yang datang. Kini saya kena banyak berehat, ubah cara hidup, jaga makan, jaga diet dan saya juga tak boleh ‘stress.’

“Itu sebabnya sekarang saya nekad, apa saja ilmu yang ada, saya nak kongsi dengan orang. Kini saya berazam nak terus buat kebaikan,” kata Nora.

Nora yang juga popular dengan lagu “Hanyalah Satu” dan “Sandiwara,” kini bahagia bersama suami dan anak-anaknya Mohd Syakir Iman, Putri Nor Dahlia dan Putri Nor Fathehah.

Kini bergelar usahawan

Menyedari dirinya tidak akan kekal selamanya dalam bidang seni, membuatkan Nora terpanggil merealisasikan impiannya ketika bersama arwah Johan Nawawi dengan mengeluarkan produk pes masakan menggunakan resepi turun-temurun keluarganya dengan menggunakan namanya sendiri.

‘Secukup Rasa’ by Nora telah diilhamkan arwah Johan pada tahun 2000 selepas menyedari minatnya yang suka memasak.

“Bila usia saya sudah mencecah semakin meningkat, saya mula terfikir sampai bila nak menyanyi? Saya juga beritahu pada diri sendiri, pada usia begini, saya perlu berbuat sesuatu dan ketika itulah munculnya idea nak merealisasikan impian arwah dengan mengeluarkan produk pes masakan ini,” kata Nora ketika ditemui di majlis pelancaran Secukup Rasa By Nora di Glenmarie, Shah Alam.

Pes masakan keluaran syarikatnya, Secukup Rasa Empire yang menggunakan tagline ‘Rasa Sekali Rasa Nak Lagi’ itu menawarkan dua jenis resepi masakan iaitu ‘Pes Kerutuk’ dan ‘Pes Serbaguna’ yang mudah digunakan sama ada mereka yang berkeluarga atau bujang.

“Buat masa ini saya keluarkan dulu dua pes masakan ini. Mungkin tahun depan, saya akan keluarkan dua lagi jenis pes masakan baharu. Saya pilih pes kerutuk sebab saya tahu betapa sukarnya nak memasaknya disebabkan ia menggunakan banyak rempas ratus,” ujar anak kelahiran Kelantan ini.

Keluarga bahagia Nora… (dari kanan) Putri Nur Fathehah, Putri Nor Dahlia, Rusdi (suami), Nora, Eilya Sofea (menantu) dan Mohd Syakir Iman.

Menurut Nora lagi,”Sebagai orang Kelantan, saya sendiri ambil masa nak siapkan bahan-bahannya. Itu sebabnya saya pilih nak keluarkan pes kerutuk ni. Mudah saja nak memasaknya…hanya tambahkan santan dan susu. Kemudian campurkan ayam atau daging. Pes ini sudah cukup serba-serbi, jadi tak perlu tambah garam ataupun gula.

“Manakala Pes Serbaguna ini macam sambal tetapi cara menggunakannya sangat mudah. Boleh masak dengan udang, sotong ataupun ikan bilis dan tidak perlu campur apa-apa. Nak buat sebagai bumbu nasi goreng pun boleh,” kata Nora yang bercita-cita untuk memasarkan jenama produknya hingga ke luar negara.

Jelas Nora, latar belakang keluarga di sebelah ibu bapanya yang mengusahakan bisnes katering secara besar-besaran juga membantu memudahkan usahanya itu.

“Ketika balik Kelantan, saya sempat bertemu dengan sepupu saya. Selepas berbincang, mereka juga mahu meluaskan lagi bisnes mereka dan akhirnya kami setuju keluarkan produk pes masakan ini,” katanya mengenai produknya yang boleh dibeli secara online Shopee dan Instagram dengan harga RM20 satu.

Previous articlePak Nil suka dengan tanggungjawab yang digalas
Next articleUntuk berjaya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here