Oleh : Nafsiah Jani
KEMUNCULAN artis dan komposer baru nampaknya tidak sedikit pun menggugat kreadibiliti dan pencapaian penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M.Nasir. Perjalanan seninya, selama 40 tahun dalam industri seni tanahair membuktikan kehebatan
M. Nasir dalam menghasilkan karya yang hidup, tanpa ditelan waktu dan zaman.
Jadi tidak hairanlah baru-baru ini beliau sekali lagi diumumkan Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada majlis Anugerah Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP – Music Authors Copyright Protection). Manakala syarikatnya, Luncai Emas Sdn. Bhd. turut menerima anugerah Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Terbanyak selain Persembahan Lagu Luar Negara Terbanyak menerusi lagu “Cinta Sampai Mati.”
Selain itu, M.Nasir yang juga anak kelahiran Singapura ini turut membawa pulang trofi Persembahan Lagu Melayu Terbanyak hasil populariti “Tiara” yang dirakam semula penyanyi Indonesia, Raffa Affar.
Anugerah MACP adalah platform mengiktiraf komposer dan penulis lirik yang dinilai berdasarkan hasil royalti daripada persembahan muzik di stesen televisyen serta radio, konsert, acara makan malam dan lain-lain organisasi dilesenkan badan terbabit.
“Saya bukan cipta lagu baharu, tetapi ‘Tiara’ pernah dipopularkan kumpulan Kris dan ia adalah lagu lama ciptaan saya. Waktu kemunculan lagu ‘Tiara,’ banyak lagi lagu-lagu popular ciptaan saya dan ini membuatkan lagu ini `tenggelam’ sedikit.
“Ini juga bukan disengajakan (sambil ketawa)…lagu Tiara yang dirakamkan semula oleh penyanyi Indonesia ini mula disukai ramai. Bila lagu tersebut `meletup’ di Indonesia, ia juga turut `menjangkit’ para peminat di Malaysia pula. Saya difahamkan lebih kurang ratusan juta orang telah menonton youtube lagu tersebut,” kata M.Nasir atau nama sebenarnya, Mohamad Nasir Mohamed, 66.
Kehebatan lagu dan melodinya juga turut melayakkan lagu “Tiara” mendapat tempat ketiga di samping Lirik Terbaik dan Persembahan tempat ketiga sewaktu Anugerah Juara Lagu 91.
Berbekalkan lagu berhantu Tiara, Kumpulan Kris tidak mengambil masa yang lama untuk menempa populariti. Album pertama Kris telah terjual melebihi 110,000 unit dalam masa yang singkat hingga berjaya menempatkan mereka sebaris dengan kumpulan-kumpulan rock yang sedia ada.
M. Nasir anak keempat daripada sembilan beradik ini menambah;
“Sewaktu mencipta lagu Tiara, saya hanya fikirkan mengenai kumpulan Kris dan muzik bergenre rock balad. Dari situlah munculnya idea nak buat lagu yang berentak sedemikian. Lagu ini ada tempatnya. Tambahan pula pasaran Indonesia memang sukakan melodi-melodi macam lagu Tiara ini.
“Sebagai komposer kita kena fikirkan pasaran dulu, tiada halangan dari segi kreativiti jadi kita kena sesuaikan sesebuah lagu dengan kehendak pasaran termasuk di negara jiran.
“Dalam situasi dunia tanpa sempadan, pencipta muda juga kena gunakan rangkaian usahasama bagi memudahkan lagu mereka menembusi Indonesia,” kata penghibur yang popular dengan gelaran Sifu ini.
Sebelum itu, dalam Anugerah MACP 2012, M. Nasir dan Luncai Emas Sdn. Bhd. juga menerima anugerah bagi kategori Komposer dengan Pendapatan Terbanyak dan Penerbit dengan Pendapatan Terbanyak. Begitu juga pada Anugerah MACP 2013. M. Nasir dan syarikatnya sekali lagi dipilih untuk anugerah Komposer dengan Pendapatan Terbanyak dan Penerbit Tempatan dengan Pendapatan Terbanyak.
Dalam usia menjangkau 66 tahun, kehebatan M.Nasir yang popular dengan lagu “Phoenix Bangkit Dari Abu” dan “Tanya Sama Hud-Hud” tidak perlu dipertikaikan lagi. Kemampuannya beraksi di atas pentas dengan gaya dan penampilan bersahaja membuatkan ramai pihak yang tertarik untuk menaja persembahan konsertnya.
Ini terbukti berdasarkan tiket ‘Konsert Gendang Pati Datuk M. Nasir Live In Kuala Lumpur’ habis dijual dalam tempoh hanya tiga minggu. Kini, M. Nasir yang layak digelar penghibur legenda sepanjang zaman sedang sibuk dengan persiapan konsert terbaharunya bersama Datuk Hattan iaitu ‘Konsert Sifu dan Aku’ yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 3 Februari nanti.
Selain aktif dengan bidang nyanyian dan penciptaan lagu, M. Nasir juga turut berlakon. Antara filem lakonannya ialah “Kembara Seniman Jalanan” (1986), “Fenomena” (1990), “Selubung” (1992), “Merah”(1997) dan “Puteri Gunung Ledang”(2004).
Kini, M. Nasir bahagia bersama isterinya, Datin Marlia Musa dan anaknya, Suci Musalmah. Manakala anak-anaknya dari perkahwinan pertamanya, bersama Allahyarham Junainah Johari ialah Mohamed Ilham, Mohamed Yasin, Mohamed Hidayat, Mohamed Syafi’e dan Nur Nilam Sari.
Jadi duta MERCY
Dalam kesibukannya mencipta lagu dan menyanyi, nampaknya, M. Nasir masih berkesempatan menerima pelawaan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY Malaysia) untuk dilantik sebagai Duta Kemanusiaan atau ‘Goodwill Ambassador’.
Pelantikan M Nasir sebagai Duta Kemanusiaan persatuan berkenaan sebagai langkah mempromosikan nilai-nilai serta amalan kemanusiaan secara lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.
M Nasir berkata, beliau terbuka hati atas dasar keprihatinan terhadap situasi yang menimpa dunia ketika ini, selain bersedia turun ke lapangan untuk menghulurkan bantuan.
“Anak saya, Ilham rapat dengan mereka dan setelah melihat penglibatannya…melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, ia membuka hati saya untuk menerima tawaran mereka.
“MERCY Malaysia sememangnya sudah berkembang, saya masuk menjadi duta ketika persatuan ini sudah berada di tahap yang baik. Kalau dari segi duit, mungkin saya tidak boleh bagi, tapi kami boleh cari duit bersama-sama.
“Tanpa saya mereka juga boleh jalan sendiri. Kami juga banyak berbincang perkara yang boleh diberikan kepada masyarakat melalui persatuan. Ini termasuk menjadikan seni muzik sebagai platform komunikasi massa dan strategik bagi penyebaran nilai, prinsip dan maklumat kemanusiaan.”
Kerjasama strategik antara MERCY Malaysia dan M. Nasir antara lain adalah untuk memberi dorongan kuat kepada sektor kemanusiaan di Malaysia dan rantau ini khususnya melalui usaha pembudayaan kemanusiaan dengan cara pengukuhan falsafah dan advokasi kemanusian melalui seni budaya dan muzik.
Sementara itu, Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, pemilihan M. Nasir sebagai duta MERCY selama tiga tahun kerana perwatakan serta keperibadiannya yang mempunyai tarikan yang kuat.
“Tarikan beliau sebagai ‘superstar’ dalam bidang muzik Malaysia dan wajah yang turut dikenali dalam bidang perfileman juga menyebabkan kami rasa M. Nasir boleh membantu kami berjalan seiringan dengan misi kami. Sikap santai M. Nasir dan tarikannya melangkaui batas sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat.”
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.