Dalam kerjaya Fasha Sandha mengutamakan disiplin dan komitmen.

Oleh Wawa Najwa

Baru-baru ini sebelum tahun 2023 melabuh tirai, pelakon Fasha Sandha bersama suami Aidil Aziz dan adik, Elisya Sandha mengadakan majlis kesyukuran, penghargaan dan doa selamat di Bizmilla Ariz Hall Shafsbury, Putrajaya.

Fasha berkata, majlis yang dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu dari kalangan keluarga, sanak saudara, kenalan rapat, rakan industri termasuk ahli kelab peminatnya adalah bagi meraikan pelbagai kejayaan yang diraihnya sepanjang 2023.

Tidak dinafikan Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, dilihat antara artis wanita yang laris dan tawaran untuknya berlakon tak pernah putus sejak bergelar pelakon pada 2002.

Karakter Fasha Sandha untuk drama Malang Si Puteri.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Allah kerana memberikan rezeki yang tak putus. Bukan mudah untuk terus kekal dalam bidang ini kerana setiap masa ada saja wajah baharu yang muncul.

“Saya tak sangka sudah sejauh ini saya mengatur langkah sebagai anak seni dan yang palig penting, di belakang saya ada penyokong yang sentiasa memberi semangat. Sudah 16 tahun mereka (Kelab Peminat We Love Fasha Sandha) bersama saya.

“Jadi majlis ini adalah tanda ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua ahli kelab peminat saya yang baik-baik, sering menyokong dan selalu memberi kata-kata semangat. Tak sangka sudah 16 tahun kami bersama-sama.

“Saya memang dah berniat lama untuk anjurkan majlis kesyukuran ini. Jadi, dengan segala perancangan yang saya buat sendiri termasuk menyediakan hadiah-hadiah bagi cabutan bertuah, makanan enak untuk semua tetamu membuatkan saya berasa amat gembira,” katanya sambil tersenyum.

Selain mendapat sokongan kukuh daripada peminat, faktor lain yang menyebabkan nama beliau sering menjadi pilihan pengarah atau penerbit adalah kerana sikapnya sendiri yang mengutamakan disiplin.

Meskipun Fasha menggalas tanggungjawab sebagai ibu kepada Putra Rayfal Ramli, Putri Raysha Jemaima dan Aisha Amaira, beliau tidak pernah lewat ke lokasi.

Sikapnya yang mengutamakan waktu, disiplin dan memberi komitmen yang jitu pada kerja membuatkan beliau disegani oleh bakat-bakat baharu.

Malang Si Puteri lakonan Fasha Sandha merupakan drama terbitan Radius One Sdn. Bhd.

“Siapa saja boleh berlakon, kalau ada minat kerana bakat lakonan itu boleh diasah dengan bertanya dan melihat lakonan orang lain. Apa yang penting ada usaha untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Kalau seseorang itu ada rasa tanggungjawab dan sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik, insya-Allah daripada kosong boleh menjadi yang terbaik. Apapun, disiplin dan komitmen penting kerana itu yang akan bawa kita pergi jauh dalam industri.

“Jadi, atas sebab itulah (komitmen dan disiplin) agaknya saya masih lagi dipanggil untuk menerima pelbagai tawaran berlakon sampai sekarang,” katanya yang bakal muncul dalam drama 50 episod, Malang Si Puteri terbitan Radius One Sdn. Bhd., yang akan disiarkan di Astro Ria, Februari ini.

Bersama suami dan anak-anak.

Idam watak lasak

Melakonkan watak sebagai wanita malang sering diberikan kepada Fasha dan tidak dinafikan beliau dapat menjiwa karakternya dengan begitu baik.

Namun jauh di sudut hati, seperti pelakon lain Fasha juga ingin mencabar kebolehannya dari segi lakonan untuk melakonkan watak yang jarang ditawarkan kepadanya. Fasha akui, sudah lama beliau idam untuk melakonkan watak lasak.

“Kalau ada peluang saya mahu lakonkan watak yang tak pernah saya bawa sebelum ini. Saya tak kisah kalau diberi watak baik atau jahat, asalkan ia sesuai. Cuma kalau ada yang tanya nak tak berlakon filem aksi, sah-sah saya tak akan tolak.

“Itulah watak yang diidam-idamkan kerana saya mahu beraksi macam Lara Croft dalam filem Tomb Raider tu, insya-Allah. Harap masanya akan tiba untuk saya mencuba watak sebegitu, rasanya saya sudah bersedia untuk melakukan kelainan,” katanya yang popular menerusi drama Natasha.

Mahu tambah anak

Fasha Sandha dan Aidil Aziz idam anak lelaki.

Meskipun sudah memiliki tiga orang anak, dua daripada hasil perkahwinan sebelum ini dan seorang bersama Aidil, Fasha berharap beliau dapat melahirkan seorang lagi zuriat. Fasha berharap dikurniakan waris lelaki untuk anak keempatnya.

“Saya dan suami masih mahukan anak lagi. Ikut perancangan, kami inginkan anak lelaki, kalau ada rezeki. Tapi, belum tahu lagilah, itu semua kerja Tuhan. Kita hanya mampu merancang dan kalau ada rezeki, insya-Allah.

“Buat masa ini kami belum lagi pergi berjumpa dengan doktor pakar. Semuanya kena tunggu habis penggambaran dan baru boleh berjumpa untuk dapatkan nasihat. Tak kisahlah kalau saya perlu melakukan rawatan IVF (in vitro fertilization),” katanya yang bersedia melalui proses persenyawaan in vitro (IVF).

Tambahnya, andai perlu melakukan IVF beliau terpaksa mengehadkan kerja kerana proses itu perlu banyak rehat dan jagaan.

“Mungkin selepas saya selesai dengan kerja-kerja yang telah diambil sebelum ini, barulah saya boleh pergi berjumpa doktor. Harap-harap apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Apapun semua bergantung kepada jadual kerjaya saya,” jelas Fasha.

Previous articleCara menghilangkan serta memudarkan jeragat
Next articleAnugerah Karyawan Sepanjang Zaman lebih berharga dari gelaran lain…A.R. Badul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here