Oleh Syed Wafa
Foto Koleksi Syed Wafa

Di tengah panas terik mentari, seorang remaja kacak, berusia belasan tahun gigih berniaga pisang goreng, kayu api dan pelbagai jualan di Pekan Rabu, di Alor Star, Kedah. Walaupun dalam kepenatan, remaja tabah ini tetap mengukir senyuman untuk menarik pelanggan membeli jualannya.

Dan siapa sangka remaja yang tidak kenal erti penat demi kelangsungan hidup membantu keluarga yang susah di zaman penjajahan Jepun kini merupakan seorang ‘Tokoh Negarawan’ yang begitu dikagumi bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Beliau adalah negarawan yang amat disayangi dan disanjungi iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir duduk paling kanan semasa zaman persekolahan bersama teman rapat.

Sesunguhnya, kami di Ladybosz amat kagum insan hebat ini. Jasa beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia tidak dapat dibalas dengan anugerah atau gelaran kerana sehingga kini pada usia mencecah 98 tahun, beliau masih bersemangat untuk terus berbakti untuk agama, bangsa dan negara.

Kelantangan Dr. Mahathir bersuara membela rakyat Palestin terutamanya di Gaza tidak pernah berhenti dan suara beliau masih di dengar oleh dunia. Itulah Dr. Mahathir yang tidak pernah kenal erti penat atau ‘bersara’ dan terus bangkit demi membela saudara kita di Palestin.

Sehingga akhir hayat, Presiden Palestin dan Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO), Yasser Arafat terhutang budi kepada Dr. Mahathir kerana langtang bersuara membantu rakyat Palestin.

Sehingga saat ini beliau masih berani bersuara menegur kepimpinan tertinggi negara demi kebaikan untuk bumi tercinta ini serta terus membela nasib orang Melayu di bumi sendiri.

Suatu pencapaian yang luar biasa dan sungguh membanggakan Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia pada 16 Julai 1981, menyandang jawatan itu untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.

Jasa Dr. Mahathir tidak ternilai dan ini satu penghargaan dari kami di Ladybosz kepada insan yang begitu berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

Buat pertama kali saya berpeluang bertemu tokoh hebat ini ketika menjadi wakil pelajar dan berpeluang mengiringi beliau di sebuah majlis di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Inilah saat paling bermakna bagi saya sebagai rakyat Malaysia dapat bertemu dengan pemimpin yang berjiwa rakyat.

Kenangan paling saya tidak dapat lupakan bila berpeluang mengajar anak beliau iaitu Mazhar dan Maizura di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Walaupun ketika itu beliau Perdana Menteri tetapi Dr. Mahathir dan isteri begitu menghormati kami sebagai guru yang mendidik anak mereka.

Kenangan Syed Wafa (penulis) sebagai wakil pelajar mengiringi Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr. Mahathir dalam sebuah majlis di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Insan hebat ini, Dr. Mahathir dilahirkan pada 10 Julai 1925 (tarikh kelahiran rasminya direkodkan pada 20 Disember 1925) di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

Menurut Dr. Mahathir, tempat kelahirannya satu kawasan yang agak miskin dan dari situlah beliau bercita-cita untuk mengubah nasib keluarga beliau.

Syed Wafa (penulis berdiri paling kiri) ketika bergelar guru bersama Dr. Siti Hasmah dan anak beliau, Mazhar (berdiri paling kanan) dalam sebuah majlis di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Bapa beliau ialah Mohamad Iskandar dan ibunya bernama Wan Tempawan Wan Hanafi. Dr. Mahathir adalah anak bongsu daripada sembilan beradik.

Sebenaranya, Dr. Mahathir mempunyai darah pemimpin di mana salasilah di sebelah ibunya mempunyai darah pemimpin yang terkenal dan merupakan warisan dari keturunan Wan Su iaitu Dato’ Temenggong Kulut, Bukit Lada antaranya ialah Wan Mohamad Saman yang merupakan orang yang memperkenalkan sistem terusan di Kedah yang namanya telah diabadikan sebagai Terusan Wan Mohamad Saman.

Selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1946, Dr. Mahathir sambung belajar semula untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki, Seberang Perak selama dua tahun sebelum memasuki sekolah Inggeris kerajaan yang kemudian bertukar nama kepada Kolej Sultan Abdul Hamid dan ayahnya, seorang guru besar.

Sebagai pelajar, Dr. Mahathir begitu aktif berdebat terutamanya dalam bahasa Inggeris. Beliau dilantik sebagai editor majalah sekolah dan aktif dalam bidang sukan terutamanya pasukan ragbi sekolah.

Cinta berputik bersama isteri tercinta, Dr. Siti Hasmah sejak di kolej lagi.

Pendidikannya terganggu apabila Jepun melancarkan serangan ke atas Asia Tenggara melalui Thailand, Pulau Pinang dan Kelantan pada 8 Disember 1941, sehari selepas Dr. Mahathir menduduki Peperiksaan Junior Cambridge.

Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Dr. Mahathir menghadiri sekolah Jepun untuk beberapa bulan sahaja dan kemudiannya berhenti. Sejak itu, beliau menjual makanan di Pekan Rabu untuk membantu keluarganya yang susah kerana tidak ada pendapatan tetap.

Saat bahagia Dr. Mahathir bersama isteri tercinta Dr. Siti Hasmah disatukan pada tahun 1956.

Selepas Jepun menyerah diri dan Perang Dunia Kedua berakhir, Dr. Mahathir melanjutkan pelajaran di Kolej Sultan Abdul Hamid di mana artikel pertamanya sebagai editor majalah sekolah adalah mengenai peperangan dan pendudukan Jepun.

Sejak pendudukan Jepun, kecurigaan orang Melayu terhadap kerajaan British mula timbul kerana mereka gagal melindungi Tanah Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Pasangan bahagia, Dr. Mahathir bersama Dr. Siti Hasmah.

Selepas peperangan berakhir, Dr. Mahathir dan rakan-rakannya menentang penubuhan Malayan Union yang ingin ditubuhkan oleh penjajah Inggeris.

Beliau bangkit dan berani menulis surat kepada akhbar-akhbar dan menjalankan kempen kesedaran mengenai ancaman Malayan Union ke atas hak orang Melayu melalui poster yang ditampal di merata tempat.

Sekitar tahun 1070, Dr. Mahathir banyak habiskan masa menulis sehingga tidak sempat bercukur dan isteri tercinta selalu ketawakan beliau.

Pada Mei 1946, UMNO ditubuhkan untuk mendesak kerajaan British menghapuskan Malayan Union, Dr. Mahathir antara orang Melayu awal mendaftar sebagai ahli dan aktif menyedarkan orang Melayu bahayanya Malayan Union.

Kempen menentang Malayan Union akhirnya berjaya dan dihapuskan pada 1948, digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang mengakui hak-hak istimewa orang Melayu.

Wajah tampan Dr. Mahathir di awal 30an.

Pada 1947, Dr. Mahathir memasuki Kolej Perubatan King Edward VII College Of Medicine di Singapura atas biasiswa kerajaan. Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1952.

Semasa bergelar pelajar lagi, beliau aktif menulis untuk akhbar The Sunday Times (kini dikenali The Straits Times) di bawah nama penanya, Che Det (Det adalah nama keluarga beliau). Penulisannya sungguh berkesan terutamanya menyelami masalah-masalah orang Melayu serta mengenai hala tuju wanita Melayu ketika itu.

Dr. Mahathir di awal bergelar Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada tahun 1981 yang mula merubahkan Malaysia ke arah negara yang moden.

Pada 1953, Dr. Mahathir lulus sebagai doktor dan berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Besar Alor Setar.

Kisah hidup Dr. Mahathir sungguh romantik. Semasa di kolej, beliau telah bertemu cinta sejati iaitu Tun Dr. Siti Hasmah, juga seorang pelajar perubatan. Pada tahun 1956, atas dasar cinta yang utuh mereka berkahwin dalam satu majlis di Jalan Imbi, Kuala Lumpur.

Mereka mempunyai tujuh orang anak, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Isteri tercinta, Dr. Siti Hasmah merupakan tulang belakang kejayaan Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir meninggalkan perkhidmatan kerajaan pada 1957 untuk menubuhkan kliniknya sendiri, Klinik Maha, yang juga klinik swasta milik orang Melayu yang pertama di negara ini. Di sini terbukti sikap mulia beliau memberi perkhidmatan dan ubatan percuma kepada pasakit yang susah tidak kira bangsa atau agama.

Perjalanan politik Dr. Mahathir penuh dengan ranjau serta suka dan duka. Beliau berkecimpung dalam bidang politik pada 1964, bertanding dan memenangi kerusi Kota Setar pada PRU 1964.

Pada 1965, beliau dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan pada PRU 1969, Dr. Mahathir bertanding PRU, tetapi ditewaskan oleh wakil PAS.

Keluarga bahagia Dr. Mahathir.

Pada tahun itu juga, pihak pembangkang, terutama DAP memenangi kerusi yang paling banyak semenjak merdeka.

Perarakan pihak pembangkang di Kuala Lumpur untuk meraikan kemenangan mereka membawa kepada rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 diantara orang Cina dan orang Melayu yang menyebabkan hampir 200 orang terkorban.

Berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr. Mahathir berani dan tegas menulis sepucuk surat kepada Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, mengkritik pemerintahan beliau kerana pendekatan ekonominya yang lembut atau ‘laissez-faire’ didakwa mengetepikan orang Melayu daripada menikmati hasil pembangunan negara disebabkan dominasi kaum Cina.

Disebabkan kelantangan surat tersebut, beliau dipecat daripada UMNO dan sewaktu dalam ‘belantara politik,’ Dr. Mahathir meneruskan amalan perubatan beliau di bidang swasta dan pemikirannya mengenai nasib orang Melayu ditulis dalam buku “Dilema Melayu.”

PROTON merupakan kereta keluaran Malaysia yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir dan menjadikan kebanggaan kita.

Buku ini diterbitkan di Singapura dan dilarang masuk oleh kerajaan ke Tanah Melayu.

Tunku Abdul Rahman meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada September 1970 dan Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih.

Pada 1972, permohonan Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO diterima dan beliau dilantik sebagai Senator pada 1973 serta ahli mahkamah universiti dan Majlis Universiti Malaya.

Pada tahun berikutnya, beliau memenangi kerusi Kubang Pasu tanpa bertanding pada PRU tahun berkenaan sebelum dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
Beliau menutup Klinik Maha di Alor Setar untuk menumpukan sepenuh perhatian pada bidang politik yang amat beliau cintai.

KLCC antara simbol kemegahan Malaysia yang dicetuskan oleh Dr. Mahathir dan meletakkan negara tercinta di mata dunia.

Pada 1976, Dr. Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun kemudian, beliau mengambil alih jawatan Menteri Perdagangan dan Industri di mana beliau memimpin beberapa misi mempromosi pelaburan.

Pada 1981, setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketiga atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Di bawah kepimpinannya, Malaysia berubah dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden.

Banyak perubahan telah beliau lakukan. Dr. Mahathir melancarkan kempen Bersih, Cekap & Amanah (Bersih, Cekap & Dipercayai) untuk mengurangkan rasuah, meningkatkan kecekapan dan memupuk kepercayaan dalam perkhidmatan awam.

Nelson Mandela antara pemimpin dunia yang begitu kagumi Dr. Mahathir.

Beliau juga memperkenalkan sistem ‘punch card’ untuk kakitangan kerajaan dan mengarahkan penjawat awam menggunakan lencana nama.

Dalam usaha memajukan Malaysia, Dr. Mahathir menubuhkan sebuah syarikat kereta kebangsaan, PROTON dan pada 1982, syarikat itu mengeluarkan kereta buatan Malaysia yang pertama, iaitu Proton Saga. Sehingga kini Proton terus gah dan menjadi kebanggaan Malaysia.

Beliau juga memperkenalkan konsep ‘Malaysia Incorporated,’ iaitu perkongsian rapat antara kerajaan dan sektor swasta.

Bersama Perdana Menteri Malaysia pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Dr. Mahathir juga menyatakan hasrat beliau untuk Malaysia melalui Wawasan 2020, iaitu visi negara untuk mencapai status ekonomi maju pada 2020, bukan hanya dari segi pertumbuhan ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan, kematangan masyarakat dan tadbir urus.

Setelah mengetuai BN mencapai kejayaan pada PRU 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999, beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Sebenarnya, dari bangku sekolah sehingga sekarang, Dr. Mahathir aktif menulis, sama ada artikel, surat kepada editor, buku, blog dan media sosial (media sosial beliau adalah https://www.facebook.com/TunDrMahathir dan https://twitter.com/chedetofficial).

Beliau juga gemar membaca dan pada usia lebih 90 tahun, kini masih membaca buku-buku fiksyen serta bukan fiksyen.

Dr. Mahathir langtang bersuara di PBB membela nasib masyarakat di Palestin terutamanya di Gaza.

Penulis kegemaran beliau termasuk Wilbur Smith, Dick Francis dan Ken Follett. Beliau juga gemar menunggang kuda.

Setelah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003, Dr. Mahathir dilantik sebagai Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, sebuah pusat penyelidikan dan arkib untuk mendokumenkan sumbangan semua bekas Perdana Menteri Malaysia.

Beliau juga menyandang jawatan Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana yang menentang peperangan serta Pengerusi KL Foundation to Criminalise War.

Pada 2016, Dr. Mahathir keluar daripada UMNO sebagai protes terhadap kepemimpinan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak. Beliau menubuhkan parti politik baharu, Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada tahun 2016 untuk menandingi Barisan Nasional (BN).

Sehingga kini menurut Dr. Mahathir, cintanya bersama isteri tercinta masih utuh, seperti kali pertama bertemu.

Pada 2017, pada usia 92 tahun, beliau kembali memasuki arena politik, kali ini sebagai pemimpin barisan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Pada 2018, dalam satu kejutan politik, BERSATU dan parti-parti bersekutunya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pada usia 93 tahun, Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

Beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 24 Februari 2020 kerana pergolakan politik serta menarik diri dari parti Bersatu.

Dr. Mahathir juga suka membaca Al-Quran dan kitab lama, dengan ini Ladybosz berbesar hati menghadiahkan senaskah Al-Quran tulisan tangan yang berusia lebih seratus tahun yang disampaikan oleh Mohd Azhar Mohd Suri kepada beliau.

Kini, Dr. Mahathir terus memperjuangkan agama, bangsa dan negara melalui Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang dipimpin oleh anak beliau sebagai Presiden iaitu Datuk Seri Utama Haji Mukhriz Mahathir.

“Saya akan terus berjuang demi bangsa saya, Melayu. Jangan sesekali lupa, kita pernah dijajah dan sekarang kita mula dijajah oleh bangsa lain di bumi sendiri, sedarkah kita? Jangan sekali-kali kita jual tanah kita kepada orang lain, kalau kita masih leka, tidak lama lagi, kita bangsa Melayu akan hilang bumi tercinta ini,” luah Dr. Mahathir penuh sebak.

Syed Wafa (penulis) turut menyampaikan cenderahati kepada Dr. Mahathir yang amat beliau kagumi.

Selayaknya Dr. Mahathir digelar ‘Bapa Pemodenan’ diatas kejayaan beliau menukarkan Malaysia dari sebuah negara pertanian kepada negara perindustrian moden yang amat dibanggakan.

Menara Berkembar Petronas (KLCC) antara simbol kejayaan beliau meletakkan Malaysia di dalam peta dunia sebagai negara yang dikenali dan disegani.

Kenangan paling indah tenaga kerja Ladybosz bergambar bersama Tokoh Negerawan yang amat disayangi, Dr. Mahathir.

Kami di Ladybosz mengucapkan setinggi tahniah diatas anugerah Ikon Lelaki Ladybosz bagi tahun 2023 dan sentiasa mendoakan semoga Dr. Mahathir bersama isteri tercinta, Dr. Siti Hasmah sentiasa dirahmati Allah… Amin.

 

Previous articleKejohanan golf amal Karyawan 21 Januari ini
Next articleP. Ramlee kagum lakonan Mak Dara taraf dunia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here