Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin/Syed Wafa
Siapa sangka suatu waktu dahulu, Mawi juara Akademi Fantasia 3 (AF3) anak seorang peneroka felda berjaya mencipta sebuah fenomena kegilaan masyarakat terhadap dirinya. Begitu hebat penangan Mawi. Setiap hari namanya bukan sahaja disebut dalam ruangan hiburan, malah namanya turut menjadi bahan usikan di ruangan kartun dan lain-lain lagi.
Hal ini belum pernah terjadi dalam AF1 dan AF2, kerana Mawi bukanlah sekadar satu ‘happening’ di dalam dunia hiburan kerana namanya turut menjadi bualan golongan professional. Mawi terkenal dengan frasa `World’ dan peminat juga memanggilnya `Mawi World’ pernah menjadi fenomena ketika itu hingga ada peminat yang melabelkan musim tersebut sebagai `TsuMawi’.
Kemenangan Asmawi Ani atau senang dipanggil Mawi memang sudah dijangka untuk menjuarai program realiti televisyen AF3 berdasarkan undian orang ramai pada 2005. Fenomena Mawi juga telah menyebabkan dirinya digelar `Raja SMS’ kerana sering mendapat anugerah melalui undian SMS. Secara purata peminat AF3 didakwa membelanjakan RM6.3 juta hingga RM12.6 juta untuk mengundi Mawi sepanjang sembilan minggu itu dia beraksi.
Mengimbau kembali zaman kegemilangannya dulu, Mawi anak kelima daripada enam adik-beradik itu yang kini menetap di Bandar Baru Bangi ini berkata, itu dulu dan kini saya masih aktif dalam bidang nyanyian dan menjadi penyampai untuk radio Zayyan.
“Sebenarnya saya pun tak sangka dapat bersama radio Zayyan kerana sebelum itu saya sakit lebih kurang lima tahun dan banyak `job’ yang saya tolak. Masa sakit itu berkali juga saya muntah darah. Nampak benda yang bukan-bukan disekeliling saya. Nampak macam ada orang dan bila Ekin tanya saya kata tak nampak ke orang tu dan ini buat Ekin seram.
“Kadang dengar orang beri salam dan bila saya jawab tapi tengok tak ada orang pula. Itulah perkara pelik yang sama alami selama lima tahun sakit dan saya sering berhalusinasi. Hinggalah saya bertemu dengan seorang guru di Kota Tinggi Johor yang banyak membantu mengubati dan mengubah kembali kehidupan saya.
“Saya sering berulang -alik dari Kuala Lumpur ke Kota Tinggi belajar ilmu tasawwuf dengan guru saya itu. Sehinggalah saya dah pulih dan guru saya kata, kalau ada rezeki saya dalam industri ini saya akan diterima lagi. Syukur selepas itu radio Zayyan `melamar’ saya menjadi Dj sehingga hari ini dah tujuh tahun saya dengan radio Zayyan,” kata Mawi lagi.
Sepanjang bersama gurunya yang kini sudah meninggal dunia, Mawi sering diingatkan agar tidak menganggap orang dengki kepadanya sebaliknya dia perlu beranggapan apa yang dia patut fikir tentang diri sendiri yang banyak dosa dengan Allah.
Menyentuh mengenai pekerjaannya sebagai Dj radio, tambah Mawi lagi, Setiap hari, sebelum jam 5.30 dia sudah berada di konti radio.
“Inilah kehidupan saya sehari-hari. Hari Isnin hingga Jumaat berada di konti dari jam 6 hingga 10 pagi bersiaran bersama Faizal Ismail dan Anas Tahir. Zayyan juga boleh diikuti di Lembah Klang (frekuensi 104.9 ). Manakala peminat di Sabah dan Sarawak boleh mendengar celoteh saya di Astro melalui Chanel 876. Balik dari konti radio, saya sibukkan diri dengan production syarikatnya pula.
“Saya suka berkarya melalui filem dan saya tidak akan sia-siakan peluang yang ada. Undangan menyanyi saya hanya terima untuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, sebab saya bercuti. Walaupun penat tidak terasa kepenatannya kerana saya buat apa yang saya suka,” ujar Mawi yang kini bergerak bersama Persatuan Bina Seni & Budaya (PERSENI).
Bercakap mengenai PERSENI, jelas Mawi kini dia dilantik sebagai Ikon aktivis PERSENI.
“Baru setahun PERSENI iaitu sebuah badan Bukan Kerajaan (NGO) ditubuhkan dan misi kami nak bantu insan-insan seni yang susah. Selain membantu kami juga ada buka tabung untuk anak-anak yatim dan ibu tunggal. Kami bukan saja bantu penyanyi dan pelakon, orang belakang tabir pun kami tolong juga. Antaranya kami bagi sumbangan dan menziarahi Nas Terjah, Jaafar Onn, arwah Bard Indigo, Mak Jah, Roy dan ramai lagi.
“Sepanjang 18 tahun dalam industri, banyak yang saya belajar dan tengok artis-artis yang kurang bernasib baik. Mungkin masyarakat ingat semua yang terlibat dalam industri ini hidupnya mewah…kaya dan banyak duit. Realitinya tak semuanya bernasib baik dan ramai artis yang perlukan bantuan. Ada yang bernasib baik itu Alhamdulillah dan jangan lupa pada rakan-rakan yang kurang bernasib baik.
“Bila berjumpa rakan yang susah ini, macam-macam yang saya dengar. Hingga ada satu tahap artis kata dah tak ada duit dan sumber untuk makan dan teruskan hidup. Ada juga yang nak kena halau dari rumah sewa dan macam-macam lagi cerita sedih. Selebriti pun adalah manusia biasa juga…ada masa mereka juga diuji.”
Sepanjang tahun 2005, selain bergelar juara AF3, bintang Mawi juga bergemerlapan dan turut menerima Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005, Bintang Paling Popular, Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Baru Lelaki Popular.
Begitu juga pada 2006, Mawi sekali lagi dinobatkan untuk menerima Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006, Bintang Paling Popular, Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Berkumpulan/Duo Popular (bersama Jamal Abdillah). Begitu banyak kejayaannya dan terbaru pada tahun lepas Mawi menerima Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023 dan Anugerah Penyampai Radio Popular.
Kini Mawi bahagia dengan isterinya Nora’ Asyikin Rahmat (Ekin), 44, yang dikahwini pada 2008. Kebahagiaan rumahtangga pasangan ini diceriakan lagi dengan kehadiran anaknya, Cahaya Malaika.
Mawi sibuk pelbagaikan bisnes demi masa depan
18 tahun dalam industri hiburan dan perfileman, pelbagai perkara yang telah dilihat dan dilalui Mawi. Baginya mereka tidak boleh tunggu benda datang bergolek, sebaliknya mereka kena usaha dan berfikir apa lagi yang perlu dilakukan dalam hidup ini.
“Tambah pula kalau tengah ada rezeki jangan sia-sia peluang yang ada. Pelakon ini sampai satu tahap tak ada lagi tawaran berlakkon dan penyanyi yang ada album pula cukup bertuah kerana pada hujung tahun mereka akan dapat royalti. Ada juga sikit duit nak cover kehidupan berbanding pelakon.
“Itu sebabnya saya bertuah kerana isteri saya, Ekin itu `business minded’. Banyak cabang bisnes yang dia nak buat bersama saya. Kami ada jual baju, mintak wangi, dessert dan macam-macam lagi selain daripada menerbitkan filem. Ini semua persediaan untuk hari tua kami nanti,” kata Mawi yang kini sibuk dengan production housenya iaitu Mawi World Entertainment.
Jelas Mawi lagi, kini dia tengah menunggu filem terbarunya, Zam Zam Ala Kazim untuk ditayangkan.
“Dalam filem ini Ustaz Khazim heronya. Mulanya saya nak buat supertele saja dan bila dah buat previu ramai yang cadangkan ia dijadikan sebuah filem kerana ceritanya yang bagus dan menarik. Kalau tak ada halangan Mei atau Jun filem ini akan ditayangkan. Bayangkan filem ini yang mulanya hanya menelan kos 500 ribu kini sudah mencecah 900 ribu untuk diupgrade kepada filem.
“Kini saya sedang mengumpul bahan untuk filem terbaru saya bertajul Al Maunah. Kisah benar dan serangan bersenjata tragedi Al Maunah ini pernah berlaku di Sauk, Perak pada Julai 2000.
“Saya tertarik nak buat filem tragedi kumpulan silat islamik ini sebagai pengajaran kepada anak muda dan generasi akan datang agar tidak mudah taksub dengan pemimpin sesebuah perjuangan. Ialah bila kita dah taksub dengan orang itu, kita akan ikut apa saya yang diarahkan. Sedangkan perkara yang diarahkan itu tidak sepatutnya dilakukan.
“Memanglah ayat mereka demi perjuangan tapi mereka berjihad dengan cara yang salah. Itu sebabnya saya nak beritahu masyarakat. Minggu lepas saya dah jumpa bekas ahli Al Maunah, Ustaz Khairul yang baru dibebaskan dan banyak kisah yang kami kongsi. Saya harap peminat bersabar menunggu filem terbaru saya ini.”
Sebelum ini Mawi yang popular dengan lagu Yang Tercinta, Aduh Saliha juga pernah membintangi beberapa buah filem antaranya, Jin Notti 2009, Magika ( 2010) dan Munafik 2 (2018). Manakala filem terbitan syarikatnya pula ialah Hantu Kuat Ketawa dan Tiada Tajuk.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.