Sentiasa cekal dalam menghadapi pelbagai dugaan.

Oleh Wawa Najwa

Pembabitan pelakon Kuza Muzani atau nama sebenarnya Tengku Sariza Tengku Mohd Muzani, 51, dalam bidang seni boleh dikatakan bersih daripada segala cerita kontroversi.

Mungkin kerana beliau memiliki darah kerabat Diraja Kelantan, justeru itu Kuza amat menjaga penampilan dirinya agar tidak menjadi mangsa netizen.

Kuza mula berlakon menerusi filem Driving School, arahan Othman Hafsham pada 1990 menerusi watak Akma. Pembabitannya dalam bidang seni lakon bermula selepas beliau menjadi finalis pertandingan Dewi Remaja 1990/91 bersama dengan Jasmin Hamid dan Didie Alias.

Kini sibuk berniaga tudung jenama Kuza Scarf.

Sejak itu hingga kini Kuza masih lagi aktif berlakon dan drama terkini lakonannya adalah menerusi drama Melur Untuk Firdaus 2 sebagai Kamariah yang diterbitkan pada 2023.

Kuza bukanlah jenis selebriti yang suka mendedahkan kisah peribadi dan sebab itulah sejak dulu hingga kini, beliau hanya berkongsi perjalanan kerjaya seninya saja di media sosial.

Pemenang Pelakon Filem Pembantu Wanita Popular sewaktu Anugerah Bintang-Bintang Popular keenam, hanya bersedia memberitahu tentang status dirinya yang sebenar selepas bercerai dengan bekas suami ketiga.

Kuza mendirikan rumah tangga bersama Ramyus Sidique pada 2007 dan bercerai pada 2019. Menerusi perkahwinan berkenaan, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Walaupun pada ketika tidak ada yang bertanya, namun bagi memastikan tiada tanggapan negatif terhadap dirinya, Kuza rela berkongsi cerita sebenar.

“Saya sememangnya menjaga hal peribadi sebagai privasi. Saya hanya akan berkongsi sekiranya sesuatu perkara perlu diketahui orang.

Kuza sempat bercuti ke Patalong, Thailand.

“Jika saya rasa tak perlu, lebih baik saya simpan untuk diri sendiri dan keluarga kerana anak saya juga memerlukan privasi. Jadi, saya kena hormat pendirian anak untuk mereka menghormati saya.

“Saya kini bergelar ibu tunggal, perkahwinan saya dengan bekas suami hanya bertahan selama 12 tahun. Itu sahaja yang saya ingin uar-uarkan. Saya bahagia dengan kehidupan sekarang,” katanya dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar sebelum ini.

Bergelar ibu tunggal bukan masalah kepada Kuza kerana seawal usia 26 tahun beliau sudah pun bersendirian membesarkan tiga anaknya dengan jaya.

“Alhamdulillah, anak-anak dah besar dan sudah berkeluarga. Ingat lagi, masa nak besarkan anak-anak dahulu. Saya jadi ibu tunggal, muda lagi masa itu umur 26 tahun dan anak-anak kecil lagi.

“Usaha itu bukan mudah dan perlukan perhatian yang sangat berterusan demi memastikan serba-serbi keperluan anak-anak terjaga. Syukur, kini semuanya berjaya.

“Anak ini amanah dari Allah, kita ibu ibarat madrasah. Jangan sekali-kali menyerah kalah dengan hidup. Kena percaya ia adalah rancangan terbaik dari Allah.

“Dengan anak-anak, selalu kena tanya khabar, bawa berbual, kongsi rasa, kongsi ilmu, kongsi hidup. Semua kena kongsi baru anak-anak faham erti hidup.

“Sekarang ini, tiba masa untuk saya lihat hasil yang saya semai. Saya syukur Allah tidak uji saya dengan masalah anak, Allah uji saya dengan masalah hidup. Kalau masalah anak, lagi mencabar,” katanya yang merupakan ibu kepada Nizam Firdaus, Puteri Nazihah dan Puteri Nadia.

Dalam situasi dirinya yang diduga sebegitu, Kuza tetap bersyukur kerana tawaran berlakon tidak putus walaupun ramai pelakon baharu muncul.

Biarpun sering diberi watak ibu, Kuza tidak kisah asalkan dapat meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dan bersyukur kerana hasil lakonan itulah beliau membesarkan anak-anaknya.

Kuza masih aktif berlakon hingga kini.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana hasil daripada duit berlakon yang diterima selama ini dapat membesarkan tiga anak, sehingga mereka berjaya melanjutkan pengajian dan membina keluarga sendiri.

“Jadi, saya amat bersyukur kerana duit hasil lakonan diperoleh selama ini dapat membantu membesarkan anak-anak. Pada usia sekarang, saya nak pastikan keadaan diri sihat walafiat,” katanya terus terang.

Ditanya bagaimana beliau memelihara kurniaan Allah itu, tiada apa yang mampu diucapkan selain mensyukuri nikmat yang diberi kepadanya.

“Sebenarnya tak ada apa-apa rahsia tampil awet muda pun. Saya bersyukur, alhamdulillah Allah bagi saya tubuh badan yang sihat. Jadi amanah bagi saya untuk menjaga. Saya selalunya berhenti makan sebelum kenyang.

“Malam pula kalau boleh elakkan dari makan yang berat. Sekadar alas perut. Kalau ada masa, senaman jangan lupa. Ini bukan untuk kurus je tapi untuk stamina supaya kita tak cepat letih. Jadikan senaman ini macam rutin hidup. Selain itu, waktu tidur juga harus dijaga. Ibadah pun jangan lupa,” kongsi Kuza tentang rutin kehidupannya.

Dalam kesibukan sebagai pelakon, Kuza berani melangkah setapak ke hadapan apabila menceburi bidang perniagaan tudung. Khabarnya, tudung jenama Kuza Scarf mula dijual sekitar Oktober tahun lalu. Pelbagai rekaan menarik dan menepati cita rasa para hijabi masa kini.

Sentiasa cekal menghadapi detik sukar sepanjang bergelar ibu tunggal, Kuza bagaimana pun enggan mengalah dan bangkit menjalani hidup yang lebih bahagia di samping keluarga.

Dalam kesibukan sebagai pelakon, Kuza berani melangkah setapak ke hadapan menceburi bidang perniagaan tudung. Khabarnya, tudung jenama Kuza Scarf dijual kira-kira dua tahun lalu. Pelbagai rekaan menarik dan menepati cita rasa para hijabi masa kini.

Previous article‘Cinta Agung’ lambang persahabatan Alha Alfa dengan Zara Zya
Next articleJatuh bangun Amir U.K’s

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here