Alyah terus bangkit!

Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Alyah/Koleksi Syed Wafa

RAMAI juga yang bertanya, sebenarnya Datin Alyah ini masih serius menyanyi atau sekadar menjadikan bidang nyanyian sebagai hobi saja.

Sebenarnya, Alyah atau nama penuhnya, Noor Hasliah Abu Hasan, 43, tidak pernah mengundur diri daripada bidang seni yang diceburinya pada 1998, di mana Alyah pernah menjadi Naib Juara Pertandingan Asia Bagus yang berlangsung di Jakarta ketika itu.

Ketika usianya, 19 tahun, bakatnya dikesan selepas beliau muncul sebagai juara dalam pertandingan Bintang HMI 2000 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Di awal kemunculan Alyah di dalam dunia seni

Bagi meneruskan kerjaya seninya, Alyah tampil dengan album sulung berjudul “Destinasi” pada 2001 dan ketika itu beliau dikenali dengan nama Haslia.

Manakala, “Permata” adalah album studio keduanya dan untuk album ini beliau menukarkan nama komersialnya daripada Haslia kepada Alya. Album dikeluarkan pada tahun 2003 dibawah label EMI (Malaysia) Sdn Bhd.

Namun namanya mula meniti di bibir peminat sekitar tahun 2008 bersandarkan populariti lagu hit “Tak Mungkin Kerna Sayang” ciptaan Ajai, manakala lirik tulisan Datuk Habsah Hassan.

Alyah baru saja tampil dengan single “Joget Celoteh Raya”.

Meskipun Alyah cintakan dunia seni hiburan, namun beliau tidak tergesa-gesa untuk menghasilkan album atau single setiap tahun. Lagu terakhir yang dirakam oleh Alyah adalah “Thank You Allah” (duet bersama Cat Farish & Ustaz Haris) 2021 yang mendapat sambutan hangat.

Bagi meneruskan perjuangannya dalam bidang seni, terbaharu Alyah muncul dengan single Joget Celoteh Raya, ciptaan Datuk S. Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa yang dinyanyikan bersama dengan Datuk Azizul Khamis.

“Joget Celoteh Raya bukan lagu raya pertama nyanyian saya kerana sebelum ini saya sudah ada beberapa lagu raya tapi sudah lama, antaranya, Retro Raya dan Istilah Syawal.

“Lagipun sudah masanya untuk saya muncul dengan lagu raya baharu. Lagu ini cukup istimewa sebab dapat berduet dengan Dato’ Azizul. Lebih istimewa, saya dapat bekerjasama dengan karyawan legenda, Dato’ S. Atan dan Siso.

Alyah kini duta produk Twomee.

“Semua tahu yang Dato’ S.Atan yang digelar ‘Bapa Lagu Raya’ pernah menghasilkan lagu-lagu raya malar segar dendangan Dato’ Sudirman, Dato’ Sharifah Aini, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

“Sebenarnya sudah lama saya impikan untuk menyanyikan sebuah lagu sentuhan beliau. Apabila ada rezeki dan peluang, sudah tentu saya tidak mahu tangguh, jauh sekali menolak,” katanya terus terang.

Seiring dengan peningkatan usia, isteri kepada maestro muzik Dato’ Ramli MS itu lebih selesa mendendangkan lagu yang bukan sekadar hiburan semata-mata. Sebaliknya, beliau mahu menjadikan karyanya itu bermanfaat kepada pendengar.

“Saya sebenarnya dah rasa puas menyanyikan lagu-lagu putus cinta dan menanti harapan kekasih seperti dulu-dulu. Kecenderungan ke arah lagu ketuhanan dan Islamik ini terbit dengan sendiri.

Lebih senang merakam lagu yang memberi manfaat kepada pendengar.

“Entahlah, mungkin selari dengan kematangan minda dan fikiran kita. Sebenarnya saya suka kepada sebarang lagu yang membawa kepada kebaikan hidup tidak kira apa saja genre lagu itu. Selain berhibur, kita juga boleh bermuhasabah,” akuinya.

Anak kelahiran Gelang Patah, Johor Bahru yang dilantik sebagai duta Twomee itu mengakui teruja kerana menjadi pilihan pengasasnya, Datuk Suraya Semaru.

Ternyata sikap Alyah yang suka merendah diri dan mudah mesra itu berjaya menarik perhatian Suraya untuk bekerjasama dengannya.

Masih mendapat banyak tawaran untuk majlis korporat.

Pada masa sama, Alyah memberitahu mahu menggunakan peranannya sebagai duta bagi membantu mereka yang memerlukan di sekelilingnya.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu sehinggalah sekarang, kita banyak dengar kesukaran orang lain. Cuma alhamdulillah rezeki saya sejak PKP memang tidak pernah putus.

“Jadi, saya berhasrat membantu mereka di sekeliling yang ingin mendapatkan sesuatu yang baik juga. Saya ingin membantu ramai yang ada di sekeliling saya sebab tahu pelbagai ujian dialami mereka. Cuma rezeki saya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu sampai sekarang, masih mendapat pelbagai tawaran.

“Umpama di kala ramai orang lelah menghadapi ujian kehilangan sumber pendapatan, tapi saya terus diberikan rezeki oleh Allah. Jadi, saya berhasrat ingin bantu mereka disekeliling itu mendapatkan sesuatu yang baik juga,” katanya.

Previous articleKanser payudara pembunuh no 1 wanita? (Bahagian 1)
Next articleDatuk Hattan yang masih berbisa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here