Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Jeffrydin / Koleksi Syed Wafa
Kalau dah memang jiwa penyanyi dan minat yang mendalam terhadap bidang seni jadi tidak hairanlah sehingga hari ini penghibur legenda era 1960-an, Datuk Jeffrydin masih gigih memenuhi undangan menyanyi di sana sini.
Usianya yang sudah mencapai 78 tahun bukanlah halangan untuk Jeffrydin menyanyi lagi. Malah Jeffrydin juga tidak pernah meletakkan titik noktah dalam kerjaya seninya kerana ini adalah dunianya.
Mungkin ramai yang kagum, kerana dalam usia begini suara Jeffrydin yang popular dengan lagu Mas Mona dan Seruling Anak Gembala masih maintain seperti zaman mudanya dan begitu juga dengan penampilannya selepas kira-kira lima dekad bergelar penghibur.
“Lepas covid memang saya down dan lepas tu barulah rezeki saya ada semula. Saya bersyukur kerana penerbit program RTM ramai yang ajak saya menjayakan program Hari Raya dan begitu juga dengan sahabat di Singapura yang banyak tolong bagi saya show. Saya percaya, kalau dah rezeki kita tak kemana.
“Alhamdulillah dalam usia begini, saya juga masih sihat dan dapat mengingati lirik-lirik lagu nyanyian saya. Selagi sihat, saya akan terus menyanyi kerana inilah dunia dan minat saya selama ini. Syukur juga kepada Allah kerana saya masih lagi diingati dan dipanggil untuk mengadakan persembahan.
“Sabtu ini (27 April) saya dijemput buat persembahan Gegar Raya di ACE The Place di Singapura bergandingan dengan Ayu Damit dan Masnie (penyanyi Singapura). Manakala 5 Mei pula saya juga akan menjayakan Kenangan Di Hari Raya Era 60-an di Gek Poh Ville Community Club di Singapura. 12 Mei pula persembahan Hidup Pop Yeh Yeh! di Esplanade, Singapura bersama Datuk L. Ramlie, S Mariam dan kumpulan Masdo,” kata Jeffrydin lagi.
Jeffrydin atau nama sebenarnya, Raden Jeffrydin Raden Imbromsoekaman bertuah kerana mendapat isteri, Datin Rashidah Abdullah, 68, yang cukup menjaga kesihatan dan pemakanan suaminya.
Bila ditanya rahsia awet muda dan masih ligat di atas pentas, Jeffrydian jawab dengan ikhlas,
“Bila dah usia-usia warga emas ini banyak yang kena jaga. Saya bertuah kerana isteri saya ahli keluarganya ramai golongan doktor dan selalulah dia merujuk kesihatan saya dengan mereka. Pagi saya buat senaman ringan dan brisk walk di taman berdekatan rumah kami selama 10 pusingan dan kadang tu saya juga join gang-gang Cina isteri saya buat senaman ringan.
“Balik barulah kami sarapan makan oat atau roti bersama teh tarik herba yang isteri saya sendiri yang buat dan beberapa ubat supplemen untuk tenaga dan minda. Dia tak galakkan saya makan luar kerana dalam usia begini banyak pantangnya. Saya bertuah kerana walaupun penat sekalipun, isteri saya lebih rela memasak untuk saya daripada kami makan diluar.
“Sekarang ini saya makan sikit saja nasi putih. Kadang tu saya makan sayur dan sup atau ikan stim yang isteri saya buat. Dia lebih suka saya makan panas-panas…nak makan baru dia masak. Katanya dah tua-tua ini usus kami bukan lagi kuat nak makan macam-macam dan sekarang kenalah berjaga-jaga bila makan,” ujar Jeffrydin sambil ketawa.
Penglibatannya lebih berdekad dalam bidang seni ini, jadi tidak hairanlah Jeffrydin bapa kepada tiga orang cahaya mata ini dianugerahkan Pingat AMP dari Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2002 yang membawa gelaran datuk.
Jeffrydin kini bahagia bersama isteri tercinta, Rashidah Abdullah yang juga pengurusnya dan tiga cahaya mata, Raden Arjuna Mirko, 40, Raden Wira Sukma, 35, serta Raden Ratna Sari Dewi, 30 serta dua orang cucu.
Sehingga kini, Jefrydin telah menghasilkan lebih 30 buah album. Antara albumnya ialah Jeffridin & The Siglap Five – Philips (1960an), Jeffridin & The Siglap Five – Lucky, Kabus Di Pagi (1960an), Seruling Anak Gembala, Kenanganku, Seruling Bambu, Sendiri, Jessi 10 Pujaanku (1979), Koleksi Kenangan Abadi P Ramlee – Kompilasi (1980), Jasamu Di Kenang Vol 2 – Kompilasi (1989) dan Mas Mona 1 (1992).
Sewaktu kemunculannya Jeffrydin menjadi kegilaan peminat. Malah albumnya, EP Kenanganku pernah dijual melebihi 150,000 unit ketika itu. Sebelum muncul solo, Jeffrydin pernah menyanyi bersama Rhythm Boys dan kumpulan The Siglap Five.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.