Ameng yang laris dengan persembahan pentas

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Ameng/Koleksi Syed Wafa

Vokalnya yang mantap dan lagu-lagu nyanyiannya cukup berbisa dan menusuk kalbu seperti lagu Sampai Hati dan Pesanan Buat Kekasih membuatkan Ameng Spring tetap mendapat tempat di hati peminat, syarikat korporat dan orang perseorangan untuk mengundangnya mengadakan persembahan.

Walaupun sudah 34 tahun berada dalam industri seni namun nama Ameng Spring masih meniti dibibir peminat. Sikapnya yang merendah diri dan tidak sombong membuatkan sehingga kini Ameng masih mempunyai kelab peminatnya iaitu Ameng Fan Club.

Di awal kemunculan anggota kumpulan Spring tampil dengan imej berambut panjang.

Boleh dikatakan kini, Ameng Spring atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail, 56, sibuk setiap hujung minggu dijemput membuat persembahan pentas.

“Macam biasa, saya masih meneruskan kerjaya seni saya… macam biasa sebagai penyanyi. Alhamdulillah, boleh dikatakan setiap hujung minggu ada saja show untuk majlis makan malam, majlis orang kahwin, karnival dan lain-lain lagi. Saya juga senang kerana kini karier seni saya diuruskan isteri saya, Sabariah Zakariah.

Kumpulan legenda Spring…(Dari kiri) Iskandar, Zaha, Acong, MP & Ameng.
Album kumpulan Spring Bourgenvilla yang berjaya menaikkan nama mereka.

“25 Mei ini, saya akan mengadakan show di Juru, Pulau Pinang, Besut ,Terengganu (26 Mei) dan Showcase Artis Lagenda Nizam Laksamana di Sibu, Sarawak pada 2 Jun ini. Jadi datanglah beramai-ramai menyaksikan persembahan saya dan artis-artis lain.

“Selain tu saya juga memenuhi undangan untuk forum, perkongsian pengalaman saya dan berkongsi cerita kehidupan disebalik tirai besi, menceritakan tentang integriti dan lain-lain. Selalunya undangan perkongsian dan forum kisah hidup ini, saya terima daripada sekolah, pejabat-pejabat, bank-bank, surau dan juga masjid,” kata Ameng yang pernah menjalani hukuman penjara selama enam tahun akibat kesalahan dadah pada April 2011 dan dibebaskan pada Jun 2016 dari Penjara Kluang, Johor termasuk hukuman 10 sebatan.

Ameng dan isteri dihari bahagia mereka.
Aktiviti santai bermotor…Ameng dan isteri rajin mengikuti gang bermotor berkonvoi.

Ditanya mengenai anak-anaknya yang mengikuti jejaknya, Ameng anak kelahiran Besut, Terengganu ini menambah,”Tentang minat anak-anak, saya bersifat terbuka karier yang mereka nak pilih untuk masa hadapan. Saya juga tidak menafikan ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?. Nampaknya Ketiga-tiga anak saya, Wan Az Aleesa, 27 tahun, Wan Az Eevanatasha, 21 dan Wan Ammar Haikal, 17 tahun memang boleh menyanyi. Bakat nyanyian mereka memang ada.

“Cuma sekarang ni semuanya masih belajar. Aleesa masih sambung pelajaran di Bogor, Indonesia untuk jadi doktor veterina, Eevanatassha pula ambil jurusan akaun di Melbourne, Australia dan Ammar Haikal pula masih dalam tingkatan 5.

Isterinya, Sabariah yang juga pengurus Ameng sentiasa melakukan aktiviti bersama.

“Buat masa ini sebagai bapa, saya pesan pada anak-anak, apa-apa habiskan pelajaran dulu sebab saya tak nak mereka campurkan pelajaran dan bidang nyanyian. Nasihat saya selesaikan satu-satu…dah habis belajar hingga peringkat tertinggi barulah fikir apa yang mereka nak buat.”

Konsert Spring?

Berikutan lagu-lagu popular kumpulan Spring yang mendapat hati di jiwa peminat, membuatkan ada beberapa pihak yang berminat untuk menganjurkan Konsert Kumpulan Spring.

Ameng sering diundang memberi ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah.
Ameng dan isteri bersama Yang DiPertuan Agong Pahang.

“Kalau penganjur nak buat konsert Kumpulan Spring saya nak semua anggota asal kumpulan Spring selain saya, seperti Iskandar pemain gitar utama, Zaha (gitar ke2), Acong (dram) dan MP (bass).

“Kalau tak dapat kumpulkan kesemua anggota asal kumpulan Spring, memang saya tak berminat untuk turut serta. Saya tak nak mempergunakan nama Konsert Spring contohnya tapi pemuziknya bukan anggota asal kumpulan Spring. Saya tak nak menipu peminat dan juga pembeli-pembeli tiket.

2 adik Ameng .. Wan Fahmi & Wan Azidah
Percutian bersama Ameng Fan Club di Penang

“Tak buat konsert kumpulan Spring pun tak apalah kerana dah banyak tawaran penganjur nak kumpulkan kami atas satu pentas. Masalah sekarang ini kami dan pihak penganjur tidak dapat mengumpulkan kesemua anggota asal Spring…itu sahaja,’’ kata Ameng yang bakal bergandingan dengan anak Saleem, Syafiq Farhain merakamkan lagu.

Kini selain bergerak solo, sekali sekala ada kelapangan, Ameng juga menjadi penyanyi jemputan bersama-sama kumpulan Iklim.

Ameng bahagia bersama Sabariah yang sentiasa ada di waktu susah dan senang.
Ameng bersama tiga anaknya (dari kiri) Wan A Aleesa, Wan Ammar Haikal, Wan Az Eevanatasha dan Sabariah.

Sepanjang bersama Ameng, kumpulan Spring pernah menghasilkan beberapa buah album seperti Bourgenvilla (1994), Jujur (1995), Pujaan Gemilang (1995), Spring 5 (1996), Luahan (1997) dan banyak lagi. Album yang dihasilkan juga meletup di pasaran dengan lagu-lagu hits seperti Bourgenvilla, Butakah Cinta, Sepi Tanpa Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata, Persada Cintaku, Romantis, Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih.

Memandangkan banyak perkara yang berlaku, membuatkan Ameng mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Setelah berpecah, Ameng telah bergerak secara solo dan tampil dengan album solo pertamanya, Langkah Semakin Jauh, dan masih bertahan sehingga ke hari ini.

Ameng sentiasa menjaga penampilannya.
Previous articleKhasiat dan manfaat buah tembikai
Next articleNing Baizura tabah harungi cabaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here