Oleh: Syed Wafa
Foto: Ehsan Nurul Afida Kamaludin/Koleksi Syed Wafa
Terus terang saya katakan, setiap kali ingin memulakan catatan ini, hati saya begitu sebak dan air mata saya berlenang. Ikhlas dari hati saya, catatan ini bukan untuk membuktikan diri ini terlalu rapat dengan insan hebat bernama Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali Huzz tetapi sekadar berkongsi beribu kenangan indah bersama beliau.
Insan hebat ini saya anggap lebih dari seorang sahabat dan seperti keluarga sendiri. Malah ibu beliau yang saya panggil Mak Ton pun saya anggap seperti ibu saya sendiri dan saya kerap berkunjung ke rumah keluarga Huzz yang terletak di Ampang Jaya bila hari raya menjelang.
Saya mengenali Huzz lebih dari 25 tahun, ketika itu sahabat saya, Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau lebih dikenali dengan nama Mama Juwie mempelawa saya ke rumahnya di Keramat. Bermula dari situlah saya bertemu dan berkenalan buat pertama kalinya dengan Huzz yang merupakan rakan serumah Mama Juwie.
Sejak itu kami menjadi rapat dan terus menjadi seorang sahabat. Ketika itu juga saya merupakan pelukis undangan melalui ruangan “Gelagat Artis”di dalam Sisipan Remaja, akhbar Utusan Malaysia di mana Noraini Nordin sebagai editor.
Saya mula berkarya sebagai pelukis di majalah hiburan no 1 tanah air iaitu URTV sekitar tahun 90-an setelah dipujuk oleh Huzz dan ketika itu editornya adalah Allahyarham Bahyah Mahmood atau lebih dikenali Kak Bam. Saya terus berkarya dan menulis di URTV sebagai penulis undangan dan berkesempatan bekerjasama dengan beberapa orang editor antaranya Kak Fatimah Hassan dan Huzz sendiri. Dalam masa yang sama, saya juga menyumbangkan bahan di majalah Mangga dan Hai.
Kami juga ditakdirkan tinggal serumah apabila Huzz tidak lagi tinggal bersama Mama Juwie kerana sebab-sebab tertentu. Ketika itu beliau memujuk saya untuk tinggal bersamanya di Keramat dan akhirnya saya terpaksa berpindah apabila rumah yang dibeli oleh bonda tercinta saya di Indah Condominium, Prima Damansara siap.
Walaupun kami tidak lagi tinggal serumah namun persahabatan kami masih kuat. Kami juga selalu pergi bersama-sama membuat liputan untuk mencari bahan bagi pengisian URTV, Mangga dan Hai. Hinggakan ramai yang menyangka dan beranggapan kami seperti kembar.
“Kamu berdua macam kembar dan banyak persamaan,” kata Adam Salleh sambil tersenyum yang juga merupakan seorang wartawan hebat dan terkenal dengan nama Jarum Emas.
Sebagai wartawan, nama Huzz cukup gah kerana beliau merupakan seorang ikon wartawan hiburan tanah air yang ternama dan cukup disegani. Seperti Mama Juwie, Huzz juga menjadikan industri seni tanah air begitu meriah dan berseri dengan penulisan beliau yang sentiasa ditunggu oleh pembaca terutamanya dalam kolum URTV “Sensasi Bersama Huzz” dan gosip yang sentiasa dinanti-nantikan pada setiap hari Ahad iaitu “Sensasi Huzz” dalam akhbar Pancaindera, Mingguan Malaysia.
“Ketika Kak Lin jadi penolong editor di majalah URTV, Huzz seorang wartawan yang begitu berdedikasi dan beliau selalu mendapat “scoop story” untuk majalah URTV,” kata Muzlina Abu Bakar atau lebih mesra dipanggil Kak Lin seorang wartawan tersohor tanah air dan kini masih aktif menulis di BebasNews.
“Huzz adalah seorang wartawan yang terlalu cintakan kerjayanya sebagai wartawan. Pastinya kita kehilangan seorang wartawan hiburan yang cukup hebat dan banyak jasanya pada insan-insan seni, sayangnya tiada anugerah diberi ketika hayatnya,” ujar Kak Lin sebak.
Menurut bekas wartawan yang pernah bekerja bersama Huzz selama 15 tahun yang ketika itu beliau sebagai Editor di majalah URTV meluahkan, bos mereka seorang yang tegas dan banyak memberi tunjuk ajar untuk menjadi seorang wartawan yang berjaya.
“Saya tak kisah bila Huzz marah, kerana beliau marah bertempat dan bila dia sejuk, dia akan pujuk semula. Paling saya tidak lupa, Huzz pemurah dan selalu belanja kami semua tidak kira waktu gaji atau belum,” kata Nafsiah Jani yang juga wartawan terkenal tanah air yang kini merupakan wartawan di Ladybosz.
“Sebenarnya Huzz dan Mama Juwie yang temuduga ketika saya memohon untuk menjadi wartawan di Utusan Karya. Ketika itu, Mama Juwie yang banyak aju soalan kepada saya dan Huzz cuma tersenyum dengan memberi harapan.
“Saya berjaya dalam temuduga tersebut dan amat gembira dapat bekerja dengan seorang wartawan hebat yang amat saya kagumi,” cerita Deel Anjer mengenang kembali pengalaman pertama kali bertemu Huzz dan kini beliau merupakan wartawan di WilayahKu.
Tengku Shamer atau mesra dipanggil Sham juga merupakan antara sahabat Huzz yang menetap di kampung halaman beliau di Alor Setar, Kedah. Sham sempat menziarahi Huzz ketika berada di rumah abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Paling saya tidak lupa, makanan kegemaran Huzz kalau balik Kedah adalah pulut sambal, mee Abu dan popia Jamal. Huzz seorang yang suka makan dan agak cerewet dalam memilih makanan.
“Kata terakhir ketika saya melawat beliau, kawan dan sahabat tu berbeza, cari sahabat yang baik, tak akan buat kita merana, dia akan sayang kita ikhlas. Dia cakap Wafa antara sahabat baik dia dan saya sempat sampaikan salam Wafa pada Huzz, dia tersenyum,” kata Sham sambil mengalir air mata.
Sham juga amat terharu kerana berkesempatan melihat wajah arwah buat kali terakhir selepas dimandikan. Wajah arwah cukup berseri-seri, bercahaya dan seolah-olah sedang tersenyum.
Peristiwa paling saya tidak lupa bersama sahabat saya, Huzz ketika beliau ada perselisihan faham bersama Allahyarham Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini atau lebih mesra dipanggil Kak Pah. Perselisihan faham itu berlarutan beberapa bulan dan biarlah menjadi rahsia saya mengenai punca perkara tersebut berlaku.
Huzz pernah bercerita dengan saya, dia agak terkilan dengan Kak Pah dan pernah nak buang semua koleksi CD Biduanita tersebut. Huzz maklum juga perkara tersebut kepada Kak Pah tetapi hanya sekadar marah ketika itu dan semua koleksi CD tersebut masih elok dalam simpanan beliau.
Pada satu hari Kak Pah telah menghubungi saya dengan suara beliau yang agak sedih dan sayu. Saya sudah agak tujuan Kak Pah hubungi saya.
“Wafa tolonglah pujuk Huzz, Kak Pah tak nak kehilangan dia sebagai seorang sahabat. Kak Pah sayang dia seperti adik Kak Pah,” rayu Kak Pah pada Wafa.
Akhirnya saya berjaya memujuk Huzz dan beliau bersetuju untuk makan malam di rumah Kak Pah di Petaling Jaya. Pertemuan pada malam tersebut penuh dengan kemesraan dan seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.
Pada awal kesihatan Huzz mula merosot, beliau agak perahsia orangnya dan tidak mahu kawan rapat media mengetahuinya. Saya agak sebak bila pertama kali melawat beliau di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari raya pertama Aidilfitri yang lalu dan beliau telah menerima rawatan sejak Mac lalu. Tubuhnya agak susut dan kelihatan begitu lemah sekali, namun dia tetap mengukir senyuman walaupun menahan kesakitan. Wafa amat mengerti kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh Huzz kerana ibu saya juga menderita kanser usus hingga akhir hayatnya.
Sungguh sebak rakan-rakan media dan artis menerima berita di usia 59 tahun Huzz pergi meninggalkan kami yang amat menyayangi beliau akibat kanser usus tahap empat di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, jam 6.10 petang pada 8 Jun 2024.
Berita pemergian Huzz disahkan oleh adiknya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BERNAMA, Nurul Afida Kamaludin, 57. Nurul Afida berkata, kesihatan abangnya, Huzz semakin merosot dan berada di bawah pemantauan doktor ketika berada di rumah abang mereka.
“Makcik bersama adik -beradik Zaini (panggilan Huzz dalam keluarga) berada disaat nafas terakhir arwah. Makcik sempat mengajar arwah mengucap dan air mata Zaini mengalir, arwah pergi sangat mudah dan urusan pengebumian beliau juga sangat cepat dan lancar,” kata Mak Ton dengan linangan air mata.
Huzz memulakan kerjaya kewartawanan bersama akhbar Harian Nasional pada 1980-an. Beliau kemudiannya menyertai syarikat Kumpulan Karangkraf menjadi wartawan hiburan di majalah Media Hiburan.
Pada awal 1990-an, Huzz menyertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV. Huzz kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga bergandingan bersama Allahyarham Mama Juwie. Jawatan terakhirnya, Pengarang URTV sebelum bersara selepas syarikat Utusan Melayu menutup operasi pada 2019.
Huzz juga berbakat sebagai penulis lirik dan dikenali menerusi lagu nyanyian Ramlah Ram berjudul Keangkuhan Mu dan banyak lagi.
Wafa sentiasa merindui sahabat dan kami di Ladybosz sentiasa mendoakan roh sahabat yang amat saya sayangi Huzz sentiasa dicucuri rahmat…Aamiin.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.