Wann tidak pernah berhenti menyanyi, masih aktif mengadakan persembahan.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Wann/Koleksi Syed Wafa

JIKA mengikut asal usulnya, lagu Bossanova adalah dendangan Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma yang dikeluarkan pada 1966. Lagu tersebut dinyanyikan dalam filem Do Re Me.

Pada tahun 1992, lagu ini dirakam semula oleh penyanyi Wann. Ia dikeluarkan sebagai single pertamanya untuk album ketujuh Wann iaitu Koleksi Nostalgia Vol.2.

Lagu Lamunan Hati dari album pertama Wann yang melonjak namanya di persada seni suara.

Namun hingga kini kalau sebut saja Bossanova terus orang terfikir yang lagu itu adalah dendangan asal oleh Wann atau nama penuhnya, Wan Rashidah Meor Abdul Rashid.

Selain Bossanova, Wann, 54, juga popular dengan lagu Lamunan Hati yang merupakan album pertamanya yang dikeluarkan pada 1988 sewaktu bernaung di bawah syarikat rakaman Suara Cipta Sempurna (SCS).

Album kedua Wann “Terlerai Kasih” turut mendapat sembutan.

Pada era kegemilangannya, Wann cukup dikenali dengan trademark suara ‘meneran’, sekali gus menjadikanya berbeza dengan penyanyi lain.

Penyanyi kelahiran Kuala Kangsar, Perak dan merupakan anak sulung dalam keluarga seramai tujuh orang itu memulakan kerjayanya sebagai penyanyi pada usia 18 tahun dan mula menanggung keluarga hasil dari kerjaya tersebut.

Zaman kegemilangan Wann kerap manjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air antaranya bersama Raja Rock Awie

Wann yang tiga kali dilamar untuk menjadi peserta program Gegar Vaganza hanya bersetuju menyertai program terbitan Astro itu pada 2015 untuk Gegar Vaganza musim keenam.

Beliau yang menghasilkan 12 album studio, 17 buah album kompilasi dan beberapa album lain itu walaupun namanya tidak lagi menyerlah seperti dulu, namun Wann tidak pernah berhenti daripada menyanyi.

Menjadi cover bersama Ratu Rock Negara, Ella.

Wann mula mengurangkan aktiviti seninya selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohamed Thazah Hamzah, pada 1993 dan kemudian berhijrah ke Singapura.

Hasil dari perkahwinan tersebut, Wann dikurniakan dua orang anak iaitu Mohd Israfael dan Natasha serta seorang cucu dan bakal menimang seorang lagi cucu.

Wann terkenal dengan trademark suara ‘meneran’ ketika menyanyi.

Wann yang ditemui sewaktu menjayakan program Showcase Amal Artis Legenda 4.0, anjuran Nizam Laksamana Production di Hotel Grand Barakah, baru-baru ini sempat bercerita tentang perkembangan terkininya.

“Sebenarnya saya pun tak sangka akan didatangi oleh abang Nizam Laksaman. Waktu dia tunjuk poster, ada gambar perempuan tapi saya belum bagi kata putus lagi.

Lagu Bossanova dendangan Wann masih malar segar hingga kini.

“Bila fikir balik, seronok juga bila buat persembahan dengan abang-abang yang lain ini. Mereka pun lebih kurang dengan saya saja. Dari situ terus timbul minat nak sertai projek amal itu.

“Bila ada show dengan mereka, saya boleh kenangkan kembali zaman dulu dengan mereka. Waktu itu muzik rock yang kuasai pasaran,” kata Wann yang selesa dengan kehidupan sekarang.

Wann sewaktu tampil dengan irama rock untuk album studio keenamnya yang dikeluarkan pada 1991.

Menurut Wann, dia masih lagi menyanyi hingga kini dan sering menerima tawaran untuk menjayakan persembahan di Singapura mahupun di Malaysia.

“Berhenti daripada menyanyi tak tapi saya tak pernah nak berharap untuk buat single baru untuk teruskan kerjaya ini. Bagi saya kalau ada rezeki, adalah. Kalau tak ada rezeki tak apa kerana sehingga kini orang masih ingat lagu dendangan saya, alhamdulillah.

Sering ditemani suami kalau ada persembahan pentas.

“Saya terbuka jika ada penyanyi baru yang ingin bekerjasama dengan saya. Kalau saya ini orang lama berkolaborasi dengan generasi sekarang, sekurang-kurangnya peminat muda mengenali siapa itu Wann.

“Disebabkan saya tak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, jadi senanglah kalau nak berkolaborasi. Asalkan suara saya dan pasangan itu serasi, barulah kita setuju. Saya tak naklah main tangkap muat saja,” katanya terus terang.

Begitu juga dengan jemputan persembahan pentas, tak banyak seperti penyanyi lain tapi tetap ada. Kata Wann, baru-baru ini dia bertemu dengan penyanyi Haziq Rosebi dalam satu program.

Bersama cucu kesayangan.

“Baru show dengan Haziq Rosebi hari itu. Saya tak pernah jumpa dia, rupanya muda lagi budaknya. Dia tegur saya, dia punya live memang bagus. Walaupun dia bukan juara untuk program Akademi Fantasia musim keempat tapi rezekinya sentiasa ada.

“Macam saya pun mana ada pegang piala tapi alhamdulillah, ada saja rezeki. Show memang ada tapi tengok keadaan juga. Kalau suami atau anak boleh teman baru saya terima, sebab kedua-dua anak dah kahwin. Kalau dulu boleh juga harapkan anak perempuan tu teman tapi bila dia dah kahwin dan nak bersalin ni tak bolehlah.

“Tengok keadaan, kalau dekat saya boleh pergi dengan ditemani suami atau kawan. Kalau kat Malaysia boleh juga, janji ada orang yang temani saya,” katanya.

Wann terbuka untuk berkolaborasi dengan penyanyi baharu.

Selain menyanyi, Wann juga pernah membuat penampilan khas dalam filem Pelumba Malam pada 1989, di mana lagu dendangannya, Jawapan Yang Kelabu telah digunakan sebagai lagu tema filem tersebut.

Pada 1991 pula, Wann muncul dalam filem Jaket Biru yang merupakan filem terakhir lakonannya.

Previous articlePakat Mai Karnival Gen-AI: Tawar Aktiviti, Hiburan & Peluang Pekerjaan!
Next articleBat Latiff pelakon kanak-kanak paling ‘legend’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here