Suka mencabar diri dan sebab itu Stacy tidak menolak sertai pertandingan.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Stacy/Koleksi Syed Wafa

SETIAP minggu ada saja idea luar biasa yang ditonjolkan oleh Stacy yang merupakan salah seorang peserta program The Hardest Singing Show.

Ahad ini, 14 Julai merupakan tarikh penentu untuk Stacy dan peserta lain iaitu Zizi Kirana, Ayda Jebat, Aisha Retno, Putera Muhammad dan Aepul Roza berhempas pulas untuk muncul sebagai juara bagi merebut wang tunai bernilai RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Ini kerana persembahan setiap peserta The Hardest Singing Show akan diadili 100% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri profesional kerana ia merupakan sebuah program kompetitif yang mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan penyanyi-penyanyi hebat tempatan.

Stacy muncul sebagai juara Akademi Fantasia musim ke-enam pada 2008.

Melihat kepada persembahan peserta setiap minggu mengikut tema yang diberi bukanlah mudah tapi kenapa Stacy atau nama lengkapnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, sanggup menyertai program tersebut.

Stacy yang merupakan juara program realiti Akademi Fantasia musim ke-enam pada 2008 berkata, dia ada sebab tersendiri untuk menyertai program terbitan Astro itu.

“Sebab utama saya bersetuju menyertai The Hardest Singing Show kerana nak mencabar diri sendiri. Masa ditawar, saya tak fikir panjang terus setuju kerana bagi saya menyertai program realiti TV mampu menyedarkan saya agar tidak terlalu leka.

Lagu Aku Stacy melonjak nama di persada seni.

“Sebenarnya, program sebegini sangat bagus untuk kerjaya saya sebagai penyanyi kerana ia dapat tolong mewarnai dan variasikan lagi apa yang saya ada sekarang berbanding 15 tahun lalu untuk terus kekal dalam industri.

“Bila sertai program sebegini setiap pergerakan diperhati dan ini membuatkan kita sentiasa beringat. Kalau buat macam ini sesuai tak? Lagipun program ini melihat kepada ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal.

“Saya mahu setiap kali muncul ada perubahan yang dilakukan dan sebab itu jugalah saya memilih untuk menyertai program sebegini. Menyertai program yang mencabar ini bukan sekadar menyanyi tapi turut membuat persembahan untuk penonton,” katanya terus terang.

Stacy berkahwin dengan Akim Ahmad pada pada 4 Februari 2016.

Ujar Stacy, melalui program sebegini dia dapat mempersembahkan sesuatu yang baharu untuk tontonan orang ramai sekali gus menunjukkan perubahan yang dilakukan dari masa ke semasa.

“Bila ramai penyanyi baharu muncul, kita yang sedia ada ini kenalah buat sesuatu. Tak boleh nak tunggu untuk buat show saja, itupun kalau ada undangan. Menerusi program sebegini, kita boleh tampilkan kelainan supaya orang sentiasa nampak akan kewujudan kita dalam bidang seni.

“Seronoknya, bila menyertai pertandingan, kita akan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik dan kelainan. Segala ilmu yang dipelajari sepanjang dalam bidang seni ini akan dipergunakan sebaik mungkin.

“Lagi satu nak bersaing dengan rakan lain itu yang buat seronok kerana cabaran yang ada memang mencabar dan bagus untuk kerjaya kami sendiri,” kata Stacy yang sentiasa positif itu.

Stacy adalah juara The Masked Singer Malaysia musim keempat.

Bagi isteri kepada Akim Ahmad itu, menjadi bahan untuk para juri menilai bukanlah sesuatu yang boleh mematahkan semangatnya.

Kata Stacy, dia lebih suka mengambil pendekatan mudah, apa yang baik daripada komen juri dijadikan panduan untuk memperbaiki kelemahannya.

“Saya memang suka tengok program realiti TV. Sebagai penonton pun setiap orang ada pandangan sendiri, begitu juga dengan juri dan kehendak produksi.

“Sesungguhnya saya tidak takut dikritik secara terbuka begitu kerana sebelum menyertai program sebegitu, saya perlu bersedia dari segi mental. Ada dua perkara saja yang perlu diambil kira terhadap komen juri.

Stacy bakal bertarung untuk merebut gelaran juara The Hardest Singing Show.

“Kalau pada pandangan juri saya ada kelemahan, saya boleh terima dan sedia terima tegurannya. Saya percaya penonton pun ada pemahaman tentang muzik walaupun mereka bukan dalam bidang muzik,” katanya yang turut dikenali sebagai Bunga Cantik apabila menghasilkan lirik.

Stacy yang juga juara untuk The Masked Singer Malaysia musim keempat (2023) dengan berpakaian bunga Matahari itu baru saja melahirkan single duet bersama Akim iaitu ‘Ritma dan Rima’, Januari lalu.

Katanya, selepas single dengan Akim memang ada single baharu dan di waktu yang sama berhasrat untuk keluarkan album bila tiba masanya.

Keluarga adalah penyokong kuat Stacy.

“Sejak menyertai program The Hardest Singing, kesibukan saya semakin bertambah. Alhamdulillah, program pun dah penghujung. Habis ni baru boleh rancangan semula.

“Saya dan Akim baru saja cipta lagu untuk Hafiz Zainal sebab dah lama tertangguh kerana sibuk. Yang lain tu kena tunggu waktu yang sesuai sebab kalau buat lagu tak nak asal ada sebab nak buat yang terbaik untuk semua orang, insya-Allah,” katanya yang menyimpan impian untuk berkolaborasi dengan beberapa penyanyi legenda lain seperti Dato’ M.Nasir, Dato’ Awie dan Ella.

Penyanyi yang berasal dari Penampang, Sabah dan ibu kepada Eshaal, Isa dan anak angkat bernama Bella Deluna itu juga menyimpan impian untuk menjayakan konsert solo berskala besar.

Stacy juga aktif sebagai penulis lirik.

Berbekalkan pengalamannya beraksi di Dewan Filharmonik Petronas pada 2023, penyanyi lagu ‘Aku Stacy’ dan ‘Pelangi Senja’ itu harap dapat menghiburkan lebih ramai lagi penonton.

“Saya pernah jayakan konsert solo bersama DFP, namun seperti penyanyi lain, saya juga impikan untuk buat konsert lebih besar. Lagipun banyak lagu yang nak saya persembahkan kepada peminat.

“Sepanjang membabitkan dari dalam bidang seni, saya sudah menyanyi, menari, hasilkan lagu dan lirik, jadi saya sentiasa tercari-cari apalagi yang boleh dilakukan termasuklah mengadakan konsert,” katanya yang mula menghasilkan single setiap tahun bermula 2008.

Previous articleKhasiat dan manfaat lobak merah
Next articleHannah Delisha beri motivasi menerusi ‘Akan Tiba’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here