Wanita serba boleh Amyra Rosli.

Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Amyra Rosli/Koleksi Syed Wafa

Personaliti yang menawan dan tarikan mempesona dengan sikapnya yang sentiasa merendah diri biarpun sudah terkenal membuatkan pelakon Amyra Rosli menjadi pilihan produk berjenama untuk menjadikannya sebagai model atau duta produk mereka.

Ditambah pula dengan dan imejnya yang lembut serta bersih daripada sebarang kontroversi menjadikan Amyra Rosli dan keluarganya sentiasa menjadi pilihan. Kecantikan dan penampilan anggunnya juga menjadi inspirasi kepada ramai wanita untuk kekal menawan dalam menjalani kehidupan seharian.

Antara produk tersebut adalah AuraWhite Skincare, Baskin Robbins, Supercube Mommy Hana, Nivea, Safi Youth Gold dan lain-lain lagi.

Amyra di zaman remaja sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air

Kata Amyra Rosli atau mesra dengan nama manjanya Myra,”Mungkin dah rezeki Myra dan keluarga. Tak sangka sebagai pendatang baru dalam industri hiburan tanah air, Myra ditawarkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta produk.

“Mula-mula terfikir juga nak jagi duta ini adalah satu tanggungjawab yang besar bukan mudah untuk kita menggalas tanggungjawab ini. Tetapi setelah menerima tawaran beberapa produk barulah Myra rasa, inilah peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya dalam kerjaya. Alhamdulillah rezeki Myra banyak jugak memihak ke arah jadi duta dan modelling. Myra bersyukur kerana masih terpilih dan diterima ramai.

“Malah pendapatan sebagai duta ini juga yang membantu kehidupan Myra sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Duit itu jugalah yang dapat memberi kehidupan selesa pada kami sekeluarga serta dapat membantu keluarga.”

Wajahnya yang cantik membuatkan Amyra sering dijadikan penghias majalah.

Bercakap mengenai penampilannya, kata Amyra Rosli, 33, atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli,“Dah ada dua orang anak ni, Myra tidak berdiet sangat. Myra akan makan apa saja yang Myra suka sebab Myra memang “kaki makan”. Tetapi cara Myra makan berpada-pada dan tidak berlebihan.

“Myra tak suka sangat makanan atau minuman yang manis. Myra akan pastikan lifestyle Myra selalu aktif. Myra tak pandai nak duduk diam saja, tidur, dan makan. Walau hari cuti sekalipun, Myra akan buat aktiviti seperti mengemas rumah, bawa anak-anak beriadah dan sebagainya. Janji kami berpeluh.

“Myra juga akan pastikan setiap hari kami tidur awal. Mungkin faktor-faktor tersebut secara tidak langsung sedikit sebanyak membantu dalam penjagaan badan dan kesihatan Myra. Lagipun sejak kecil lagi, Myra dah dididik oleh nenek dan mama untuk sentiasa kelihatan kemas dan rapi. Yela… kita kan perempuan…kena selalu cantik bergaya.”

Nur drama yang melonjakkan nama Amyra.

Amyra Rosli dan Amar Baharin mendirikan rumah tangga pada November 2016. Hasil perkahwinannya tersebut pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi Amar, 7, dan Ayra Aryssa, 4,

Pilih jalan cerita menarik dan bukannya watak- Amyra

Mengenai karier lakonan, kata pengacara Nona ini, dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Bunga Salju sebanyak 40 episod. Dalam drama terbitan MIG Pictures untuk saluran Astro Ria itu, Amyra melakonkan watak heroin iaitu Qaisara.

Drama bersiri arahan Ejump Mohd ini Amyra bergandingan dan Hisyam Hamid selaku teraju utama. Drama ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Hariz Hamdan, Zul Huzaimy, Zarina Zainoordin dan Syed Mutalib.

“Myra kurang berlakon kerana Myra memilih naskhah yang sesuai dengan Myra. Watak impian itu tidaklah menjadi keutamaan lagi kerana Myra dah melakonkan pelbagai watak sewaktu bergiat aktif dalam bidang teater suatu ketika dahulu.

Gandingan mantap Amyra dan Sharnaaz Ahmad dalam, Suamiku Encik Sotong turut mempopularkan Amyra.

“Kini apa sahaja watak yang diberikan, Myra terima sahaja mengikut kesesuaian. Apa yang Myra impikan setiap kali ingin menerima sesuatu tawaran adalah jalan ceritanya yang menarik.

“Alhamdulillah tak sangka, walaupun dah bertudung masih banyak lagi tawaran untuk Myra membawakan watak sebagai heroin. Myra pun tak kisah watak apa, yang penting ketika berlakon Myra akan pastikan menjaga batas sebagai isteri dan tidak ada sentuhan bersama pelakon lelaki.” kata Amyra yang mula bertudung sejak 2019.

Amyra yang merupakan anak sulung daripada empat beradik menambah, jika tidak shooting, dia dan suaminya lebih suka menghabiskan masa bersama anak-anaknya.

“Sekiranya Myra dan Amar shooting dalam jangkamasa yang panjang kami akan pastikan selepas itu kami berdua akan bersama anak-anak “take a break” dan pergi bercuti luar daripada Kuala Lumpur. Inilah cara kami mengeratkan hubungan suami isteri dan luangkan masa bersama anak-anak.

Pasangan dua sejoli Amyra bersama suami tercinta Amar Baharin

“Kalau tak sibuk pula, memang setiap hari Myra akan masak kerana Myra memang suka masak. Bila ada kesempatan untuk memasak, Myra tidak akan sia-siakan peluang tersebut.

“Myra akan membuat perancangan sebelum memulakan sesuatu kerja. Jika Myra sibuk shooting, Amar atau ibu Myra akan menjaga anak-anak. Begitu juga sebaliknya jika Amar sibuk shooting Myra pula yang akan mengambil alih tugas menjaga anak.”

Menurut Amyra lagi,“Myra rasa bersyukur dan bertuah dikurniakan seorang suami yang sangat memahami emosi Myra sebagai seorang wanita, isteri dan ibu. Cinta Myra terhadap Amar bersandarkan hukum agama dan Myra percaya, sifat tersebut yang membuatkan kami bahagia dengan cara kami berdua sebagai suami isteri.

“Dalam rumah tangga tak perlu nak serius dan terlalu memikirkan masalah orang luar, secara tidak langsung akan mencemarkan hubungan yang asalnya harmoni. Tidak perlu jadi toksik, bahagialah ikut cara kita sahaja.

“Apabila ada masalah, kami akan bersemuka dan bincang baik-baik. Amar pesan supaya jangan kongsi apa-apa cerita atau masalah di media sosial kerana media sosial bukannya membantu sebaliknya akan lebih mengeruhkan keadaan.”

Keluarga bahagia Amyra bersama suami dan anak- anaknya, Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa.

Beliau merupakan lulusan Diploma Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sepanjang penglibatannya selama 15 tahun dalam dunia lakonan, Amyra banyak menerima pencalonan dalam setiap kategori drama yang dibintanginya. Amyra bertuah kerana sebagai pendatang baru, bintangnya cepat menyinar dan telah memenangi beberapa anugerah.

Antaranya anugerah MeleTOP Era ke-2 bagi kategori Pelakon Drama Wanita Pilihan, pilihan majalah EH! Top 20 dan Artis Piihan Hlive & Glam Gempak, Anugerah Telenovela sebagai Pelakon Baru Wanita Paling Popular menerusi drama Cik Bunga Encik Sombong, 2018 Anugerah Skrin ke-23 Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian menerusi drama Nur dan Pasangan Pilihan bersama Syafiq Kyle dalam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-6.

Beliau memulakan kerjaya lakonan pada 2011 menerusi drama Jodoh telah membintangi lebih 50 buah drama antaranya Warkah Cinta, Kristal Maya, Kalimah Jiwa, Cik Bunga Encik Sombong, Nur, Suamiku Encik Sotong, Bidadari, Tersuka Tanpa Sengaja, Astana Cinta Aleesa, Kerasnya Takdir, Jangan Menangis Cinta, 30 Hari Cinta, Suami Muda dan Isteri Tuan Ihsan.

Supermak, Cinta dan Wahyu, Ku Cinta Kau Seorang, Cinta Pandang Kedua, Kifarah 2, Dhia Sofea, Sayap Jibril, Seindah Takdir Cinta, Jadikan Aku Yang Kedua, Cinta di Langit Cardiff, Kan Ku Kejar Cinta Kami, Sang Pewaris, Cemburu Seorang Perempuan, Sabarlah Duhai Hati dan Nur 2. Filem pertamanya pula pada 2017 menerusi Kau Yang Satu dan penampilan khas dalam filem Seratus.

Previous articleWira Legenda Rashid Sidek
Next articleItulah Sebuah Perjalanan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here