Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Juliza Adlizan/Koleksi Syed Wafa
Mungkin bagi sesetengah orang cukup sukar untuk melepaskan kejayaannya ketika sedang berada dipuncak kejayaan. Namun ini tidak kepada penyanyi, Juliza Adlizan bintang kelahiran yang bakatnya dicungkil setelah bergelar Juara Bintang RTM 1983 pada usianya 17 tahun.
Lagu Kuda Hitam dendangan Hetty Koes Endang yang dinyanyikannya telah melayakkan Juliza Adlizan Abdul Rafar menjadi juara. Malah kejayaannya itu membuatkan kerajaan negeri Pahang membantunya melanjutkan pelajaran dengan biasiswa Yayasan Pahang dalam bidang muzik teater di Point Park University, Pittsburgh.
“Dah lama saya berhenti menyanyi dan memang saya nekad dengan keputusan tersebut. Saya berhenti menyanyi ini bukan kerana desakan suami atau sesiapa, sebaliknya ini keinginan diri saya sendiri. Kini saya lebih senang menabur bakti menjadi guru vokal kepada sesiapa yang memerlukan khidmat saya.
“Kini saya juga sibuk buat kek. Ini pun bidang seni juga kerana dah jiwa orang seni. Tak dapat menyanyi, menghias kek pun jadi kerana nak hiaskan kek, perlukan tangan berseni kerana nak hias kek bukannya mudah. Yang pasti saya enjoy dengan cara hidup saya sekarang yang sibuk juga mengambil tempahan makanan.
“Selain itu, saya juga sibukkan diri dengan menghadiri kelas agama atau mendengar ceramah. Ialah dah berusia ini apa lagi yang saya nak cari. Kini yang saya kejar adalah keredhaan Allah,’’ kata Juliza anak kelahiran Temerloh, Pahang ini.
Juliza yang juga ibu kepada tiga orang cahaya mata ini menambah bahawa keputusannya membesarkan anak-anaknya sendiri membuatkan hubungan mereka begitu rapat dan mesra sekali.
“Saya sentiasa bersikap terbuka dengan anak-anak. Alhamdulillah, cara ini menjadikan anak-anak tidak takut untuk bercerita apa-apa sahaja dan bergurau dengan saya sebagai ibu mereka. Kami seperti kawan… tetapi itu tidak bermakna anak-anak tidak menghormati saya. Sebagai ibu, sejak kecil lagi saya sudah ajar anak-anak saya agar menghormati orang yang lebih tua.
“Pada saya keluarga adalah segala-galanya. Itu sebabnya dulu, ketika diminta membuat pengorbanan untuk meninggalkan sementara aktiviti seni, waktu itu, memang saya sudah bersedia tanpa ada sebarang rasa sedih atau menyesal. Sebagai isteri dan ibu, saya sanggup berkorban apa sahaja bagi memastikan suami dan anak-anak berada dalam satu ikatan yang kukuh.”
Lebih 33 tahun melayari rumah tangga bersama suaminya, Iskandar, Juliza menyifatkan dirinya bertuah kerana mendapat suami yang baik dan bertanggungjawab.
“Alhamdulillah, kini keutamaan saya adalah untuk keluarga dan saya tidak menyesal dengan keputusan yang saya ambil selama ini. Lagipun saya memang suka memasak dan sesuai sangat saya menjadi suri rumahtangga.
“Kata suami saya, selain title saya sebagai isteri, dia juga menganggap isteri (sayalah) sebagai sahabat. Jadi ini memudahkan kami untuk berbincang apa saja perkara dengan lebih terbuka. Bila saya boleh dibawa berbincang, buat apa lagi suami saya nak cari wanita lain untuk berbincang apa saja masalah.
“Pada pandangan saya, cara ini patut dipraktikkan dalam setiap rumah tangga …menganggap isteri sebagai sahabat. Secara tidak langsung ini memudahkan komunikasi dua hala antara suami dan isteri serta dapat mengeratkan lagi hubungan keduanya,’’ ujar Juliza lagi.
Setelah bergelar juara, Juliza Adlizan turut ditawarkan kontrak menjadi artis rakaman Studio 43 pada tahun 1985. Sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Muzik Teater, Juliza sempat merakamkan lagu, Kau Ada Yang Lain, Bagaimana Harus Ku Lupakan dan Kasih dan Sayang Insan. Pada tahun yang sama ketika sedang meneruskan pengajiannya di Amerika Syarikat pada tahun 1985-1987, Juliza muncul dengan album keduanya bertajuk, Salahkan Aku Menyintaimu.
Selepas dua tahun menuntut dalam bidang berkenaan, Juliza menukar pengajiannya kepada persembahan vokal di Universiti Negeri Utah pada tahun 1987 hingga tahun 1990. Akhirnya, beliau telah berjaya membawa pulang segulung ijazah dalam bidang vokal pada tahun 1990. Sekembalinya ke tanahair, Juliza menjadi pengetua Institut Teknologi Tun Abdul Razak dalam bidang Persembahan Seni pada tahun 1991 hingga 1993.
Sepanjang penglibatannya sebagai insan seni, Juliza pernah mengeluarkan album Kau Ada Yang Lain (1985), Salahkah Aku Menyintaimu (1985), Kalau Begitu Cara Mu (1989) dan Saksi (1991). Malah pada 2004, Juliza tampil dengan album Raikan Malam Cinta (2004) hasil terbitan syarikat produksi yang diasaskan suaminya, Melic (M) Sdn. Bhd.
Juliza juga pernah membintangi filem Juara arahan Yusof Kelana yang menemui penonton pada tahun 1991. Filem tersebut merupakan filem pertama dan terakhir lakonannya diikuti dengan beberapa buah drama seperti drama bersiri, Kelas Malam (2002).
Memasak adalah dunia Juliza
Minat Juliza terhadap bidang masakan sememangnya telah dipupuk sejak kecil lagi oleh ibu dan neneknya yang mempunyai banyak pengalaman dalam dunia penyediaan makanan.
Beliau juga menjadikan ibunya sebagai sumber inspirasi kerana ibunya telah mengajarkan segala jenis masakan terutamanya masakan Melayu kepadanya. Masakan pedas terutamanya masakan Thai dan Melayu menjadi pilihan utama baginya dalam penyediaan juadah.
Tertarik dengan gaya penyediaan makanan yang ringkas dan menyelerakan oleh chef selebriti, Jamie Oliver membuatkan Juliza terpanggil menyertai MasterChef Selebriti Malaysia yang disiarkan secara bersiri di kaca televisyen. Namun nasib tidak menyebelahi Juliza bila tersingkir awal pada pusingan separuh akhir pertandingan tersebut.
“Saya memang suka memasak dan bila dapat masak, saya rasa seronok sangat. Itu sebabnya saya suka berkongsi masakan yang saya tahu dengan peminat-peminat saya melalui youtube Dunia Masakan Instafamous sejak 2020 lagi. Selalunya resepi yang saya ajar dan kongsi adalah resepi yang senang, sempoi dan sedap.
“Banyak resepi yang saya dah kongsikan dan harapnya resepi yang saya tunjukkan itu dapat membantu mereka yang tidak pandai memasak untuk mencubanya. Antara menu yang saya dah kongsi adalah Nasi Goreng Daging, Nasi Ayam, Keto, Masak kurma, masakan asam pedas dan banyak lagi,” kata Juliza yang turut tampil dengan buku masakan pertamanya bertajuk Selera Juliza Adlizan.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.