JULIE Sudiro…Ratu Jazz Sejati!

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

PEPATAH Melayu ada berkata ‘patah tumbuh hilang berganti’ namun realitinya yang tumbuh tidak akan sama dengan yang patah dan yang berganti tidak akan sama dengan yang hilang kerana beliau adalah satu-satunya penyanyi jazz paling hebat dalam sejarah industri seni negara yang pernah muncul dengan album berbahasa Melayu dan Inggeris sejak 1960-an.

Bukan itu sahaja, malah kehebatan beliau ketika menyanyikan lagu jazz dikatakan setaraf bintang legenda antarabangsa Ella Fitzgerald dan Sarah Vaughan!

JULIE Sudiro di zaman remajanya.
JULIE Sudiro di zaman remajanya sudah berminat dalam bidang nyanyian.

Kehebatan vokal Julie Sudiro bukan sahaja boleh menyanyikan lagu jazz sehebat bintang legenda antarabangsa malah vokalnya juga boleh mengalunkan lagu keroncong dengan baik.

Begitulah hebatnya Datin Paduka Julie Sudiro yang mula menceburi dunia hiburan ketika berusia lapan tahun secara suka-suka di majlis hiburan bersama Parti Keroncong yang dipimpin oleh bapanya seorang pelakon, pelawak bangsawan, Raden Sudiro.

BERDIRI kiri: Allahyarham Raden Sudiro (Ayah Julie Suiro), seorang rakan dan sahabatnya, Allahyarham Atuk Simen.

Julie Sudiro mula menyanyi di kelab-kelab malam ketika berusia 13 tahun apabila industri perfileman tidak mendapat sambutan dan menjejaskan pendapatan bapanya pada akhir 1960-an.

Jika remaja seusianya berhibur bersama rakan-rakan tetapi Julie Sudiro menyanyi di kelab malam untuk menyara kehidupan keluarganya.

JULIE Sudiro (tengah) terserlah kejelitaanya.

Walaupun beliau perlu menyanyi untuk membantu bapaknya menampung keperluan keluarga tetapi beliau tidak pernah mengabaikan pelajaran kerana baginya ilmu sangat penting.

Siang beliau bersekolah dan malamnya menyanyi. Beliau bersekolah sehingga tingkatan lima. Apabila tamat sekolah beliau terus menyanyi kerana menghargai bakat anugerah Allah.

ALBUM Julie Sudiro bersama band The Emeralds.

Itulah Julie Sudiro atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro yang dilahirkan di Segamat, Johor Bharu pada 26 Februari 1945.

Beliau anak keenam daripada tujuh beradik dibesarkan di Singapura. Selain beliau dan bapanya, dua kakaknya iaitu Tuminah dan Sumarni Sudiro juga merupakan pelakon bangsawan dan pernah berlakon dalam filem “Pancha Delima” sebagai Anggerik dan Tanjung iaitu kakak kepada Teratai, lakonan Seniwati Hashimah Yon.

ANTARA album terawal…Julie Sudiro.
ANTARA album Julie Sudiro yang mendapat sambutan.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan pemuzik jazz terkenal, Tony Soliano pada tahun 1970. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Rindra Soliano dan Jose Irmanto Soliano.

Selepas suaminya meninggal dunia pada tahun 1990-an, Julie Sudiro meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal dengan membesarkan dua orang anaknya.

CANTIK dan bergayanya…Julie Sudiro.
JULIE Sudiro…gaya seorang penyanyi jazz setaraf bintang legenda antarabangsa!

Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimana nama asal beliau Juriah kemudian dikenali sebagai ‘Julie.’

Menurut beliau, nama Julie itu diberikan oleh Dr. Ross yang berasal dari Britain dan merupakan pengunjung tetap kelab malam tempatnya menyanyi di Singapura.

COVER album duet…Julie Sudiro dan Kartinah Dahari.
RAKAN duetnya dalam album…Julie Sudiro dan Kartinah Dahari.

“Orangnya sudah berusia dan beliau adalah pengunjung setia tempat saya menyanyi. Saya tak kenal beliau kerana saya menyanyi untuk mencari rezeki bagi membantu bapa menyara keluarga apabila industri filem di Singapura suram.

“Dr. Ross rapat dengan para pekerja di kelab dan mungkin beliau sukar menyebut nama sebenar saya Juriah lalu memanggil saya Julie. Sejak itu, semua yang bekerja di kelab malam itu memanggil saya, Julie Sudiro,” cerita Julie Sudiro.

JULIE Sudiro bersama suami tercinta, Tony Soliano.

Julie Sudiro mula mencipta nama selepas memenangi satu pertandingan menyanyi di Singapura. Dengan kemenangan itu, beliau dilamar menjadi artis rakaman dan antara EP Inggeris awalnya berjudul “Down Town” yang mengabadikan lagu “Be Good To Me” pada tahun 1966.

Sejak itu, satu persatu EP Melayu dan Inggeris dihasilkan dan salah satu lagu Inggeris yang pernah dirakamkan bersama muzik pengiring iaitu The Emeralds ialah “Na Na Na Hey Hey Kiss Me Goodbye.”

JULIE Sudiro…sentiasa kelihatan cantik dan bergaya.

Disamping itu, Julie juga turut merakamkan lagu Melayu hits seperti “Lambaian Kanda, Seruling Malam, Bunga Sakti, Apa Khabar, Miang Keladi dan Gambar Kenangan.”

Julie Sudiro juga pernah merakamkan EP duet bersama Kartina Dahari dengan lagu, “ Cincin Kenangan, Marilah Bergembira, Burung Nuri dan Pulau Harapan.”

KETIKA hayat, JULIE Sudiro selalu menerima undangan menyanyi untuk majlis-majlis korporat.

Selain menjadi artis rakaman EMI, beliau juga pernah merakamkan beberapa EP dibawah label Mega Records di Singapura.

Julie Sudiro dikatakan sering mendapat undangan membuat persembahan daripada Almarhum Tuanku Sultan Mahmud Iskandar, Johor dan baginda telah menganugerahkan gelaran Datin Paduka kepada beliau pada tahun 2006.

JULIE Sudiro (duduk tengah) bersama kaum keluarga terdekat.

Sebelum menjadi penyanyi terkenal, Julie Sudiro dikatakan pernah muncul sebagai penari antaranya dalam filem “Puteri Gunong Banang, Dandan Setia dan Raja Bersiong.”

Disamping itu, sebagai pelakon undangan dalam filem “Satu Titik Di Garisan”Julie Sudiro pernah diberi watak sebagai penggoda.

JULIE Sudiro meraikan Hari Raya bersama anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.

Beliau juga pernah menjadi penyanyi undangan dalam filem-filem terbitan Merdeka Studio antaranya “Miang-Miang Keladi, Lain Jalan Ke Syorga.”

Disamping itu, Julie Sudiro juga pernah merakamkan lagu berduet dengan Seniman Ahmad Mahmud.

MENGABADIKAN kenangan… Syed Wafa bersama (dari kanan), Rahimah Rahim, Julie Sudiro dan Rozita Rohaizad.
SYED Wafa (Penulis) bersama Julie Sudiro ketika menghadiri satu majlis eksklusif.

Sepanjang penglibatannya sebagai penyanyi, Julie Sudiro menerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik 1998.

Setelah 40 tahun menyanyi di kelab malam, Julie Sudiro yang sering berduet dengan Biduan Zain Azman akhirnya berhenti dan hanya membuat persembahan pada majlis tertutup anjuran syarikat korporat disamping mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran.

LEGENDA Jazz…Julie Sudiro.

Julie Sudiro meninggal dunia kerana kanser paru-paru tahap empat di Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam pada 5 Februari 2023. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

 

Previous articleRahsia Untuk Menjadi Seorang Yang Sukses!
Next articleWow…Mi Racun Tulang menu baru Restoran Rasa Rosz di AEON BIG, Wangsa Maju yang mendapat sambutan!.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here