Oleh : Nafsiah Jani
Foto: Koleksi Syed Wafa
Angin menderu, Dahan jatuh
Menimpa batu
Kuburan
Angin menderu, Dahan jatuh
Menimpa batu
Kuburan
Murai terkejut berkicau-kicauan
Langit mendung diliputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang di sayang
Hatiku rindu, Orang Jauh
Tak lupa dari
Kenangan
Hatiku rindu, Orang jauh
Tak lupa dari
Kenangan
Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung ditinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang di sayang
Mendengar bait-bait lagu Sayang di Sayang pasti anda terbayangkan seorang wanita cantik iaitu penyanyi Allahyarham Kartina Dahari yang bersuara lunak ketika menyampaikan lagu tersebut. Sehingga kini lagu-lagunya sentiasa evergreen dan lagu tersebut juga pernah didendangkan penyanyi Rafeah Buang, Ning Baizura dan ramai lagi.
Lagu Sayang Di Sayang ciptaan Allahyarham Zubir Said ini juga pernah dimuatkan dalam filem Rachun Dunia pada tahun 1950-an. Lagu ini yang dibawakan Kartina dalam genrenya yang tersendiri sungguh menusuk kalbu mereka yang mendengarkannya. Kemahirannya berkeroncong telah menaikkan namanya setelah lagu Sayang di Sayang, Hati Ke Hati, Sampaikan Salamku, Sriwarna, Jangan Di Tanya Ke Mana Aku Pergi dan Di Bawah Sinar Bulan Purnama.
Kehebatan penyanyi wanita bernama Kartina Dahari ini tidak boleh dipertikaikan lagi dengan kelunakan suaranya membawakan irama keroncong dan langgam dengan begitu merdu dan indah sekali, Jadi tidak hairanlah beliau di diberikan gelaran Ratu Keroncong dan Wanita Bersuara Emas.
Malah di zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas dulu, rumah keluarga Kartina sering menjadi tumpuan bintang-bintang filem seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Saloma dan Siput Sarawak untuk berlatih menyanyi.
“Ketika usia saya 12 tahun, ramai artis yang datang ke rumah kami untuk berlatih menyanyi. Selalunya saya suka melihat mereka terutamanya Saloma dan saya selalu bercita-cita nak jadi macam Saloma penyanyi yang tiada tandingannya.
“Hinggalah suatu hari komposer Kassim Masdor mengajak saya untuk menjalani uji bakat. Tak sangka saya berjaya dan ketika umur saya 15 tahun saya sudah terlibat dengan dunia seni,’’ kata Kartina Dahari bagaimana minatnya bercambah menjadi penyanyi.
Biduanita Kartina Dahari memulakan karier seninya setelah mendapat peluang untuk menyanyi bersama kumpulan keroncong, Delima Orkes dan kumpulan Orkes Melati Putih di Singapura tanpa pengetahuan bapanya. Pada tahun 1957, Kartina turut menyertai pertandingan nyanyian anjuran Radio Television Singapore (RTS) dan beliau berjaya muncul sebagai juara pertandingan.
Walaupun dilahirkan dalam keluarga seni namun pada mulanya, bapanya, Dahari Jarr menghalang minat anaknya disebabkan usianya yang terlalu muda untuk menjadi penyanyi. Namun Kartina tidak mahu mengalah dan atas usahanya sendiri beliau memulakan langkah dengan menjadi penyanyi dan berlakon.
Kartina Dahari anak kelahiran Kampung Geylang, Singapura lahir pada 12 November 1941 di dalam keluarga pemuzik yang cukup terkenal. Bapanya Dahari Jarr, seorang pemimpin kumpulan muzik melayu yang dikenali sebagai Orkes Kampung Gelam. Datuknya pula Jahari Ibrahim (Wak Jarr) adalah seorang pengubah lagu Melayu yang cukup popular satu waktu dahulu. Jadi tidak hairanlah bakat seninya ini diwarisi daripada bapa dan datuknya.
Mungkin sudah tertulis rezekinya, sejak televisyen diperkenalkan di Singapura pada tahun 1963, Kartina memulakan karier nyanyiannya secara professional. Setiap minggu, beliau sering dijemput untuk menyanyi secara tetap dalam rancangan muzikal popular di kaca televisyen terbitan RTS dalam rancangan hiburan TV iaitu Pesta POP, Hanya Untukmu (rancangan sebanyak 24 episod) dan Kalong Senandong yang menampilkan lagu-lagu lama dan lagu-lagu baru. Selalunya Kartina akan bergandingan dengan Ahmad Daud, Alina Rahman dan Rahim Hamid.
Manakala rakan artis yang sering berduet dan bergandingan dengannya adalah Datin Paduka Julie Sudiro dan Datuk Ahmad Jais. Sepanjang bergelar artis, Kartina juga turut menghiburkan tentera Malaysia yang berada di sempadan Sabah dan Sarawak bersama Julie Sudiro.
Ketika RTM memulakan siarannya pada tahun 60-an, setiap minggu Kartina diberi penghargaan untuk muncul dalam program hiburan terbitan RTM. Suaranya yang gemersik dan bakat semulajadinya itu telah menarik minat syarikat rakaman EMI untuk melamarnya menjadi artis rakaman mereka. Malah pengurus besar EMI dari London sanggup terbang ke Singapura semata-mata untuk mengadakan uji bakat bersama Kartina Dahari.
Kartina yang sangat versatile, boleh menyanyi pelbagai rentak lagu dan irama. Namun minatnya terhadap irama keroncong begitu tebal skali dan tiada batasnya. Pihak EMI Singapura telah memberinya peluang merakamkan berberapa Ep dan LP dalam bahasa Inggeris dan Melayu yang dipenuhi dengan lagu- lagu keroncong.
Beliau juga merupakan artis wanita pertama yang merakamkan album berbahasa Inggeris di Singapura. Antara LP dan EP Inggerisnya berjudul ‘La La La (He Gives Me Love) yang dimuatkan dengan lagu I Only Know I Love You pada tahun 1968, You Only Live Twice, Look of Love, Peace of Mind, Whisper You Love Me Boy dan lain-lain lagi.
Wajahnya yang cantik dan penampilan anggunnya membuatkan Kartina sering dipanggil menjadi penghias kulit majalah antaranya Her World, Majalah Muda Mudi dan Majalah Filem.
Hasil perkahwinannya, Kartina dikurniakan tiga orang anak iaitu Adlin Adnan, Reza Shah dan Noor Indra. Kali terakhir Allahyarham membuat penampilan khas untuk para peminatnya sempena Konsert Sayang Di Sayang, terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013.
Sepanjang kariernya, Kartina telah menghasilkan banyak lagu-lagu keroncong popular antaranya Kisah Cinta, Aksi Kucing, Jangan Di Tanya, Keroncong Melati, Rojak Ulek, Rindu, Jauh Di Mata, Bunga Melor, Dari Hati Ke Hati, Tanjung Bunga, Terbang Lalat, Jali Jali, Jauh Tinggi Di Awan, Seruling Senja 11, Senandung Lagu Lama, Kisah Cinta, Sapu Tangan dan Tinggi Gunung Seribu Janji.
Lagu yang juga berjaya mempopularkan namanya ialah Keroncong Rindu Malam, Es Lilin, Terkenang-Kenang, Sitara, Kembalilah Segera, Hatiku Pernah Luka, Pernah Ku Jumpa, Tanjung Bungah, Kembali Ke Pangkal Jalan, Dibawah Sinar Bulan Purnama, Pohon Beringin, Tinggallah Mustika Hati, Awan Mendung, Sriwana, Lenggang Lenggok, Keroncong Kemayoran dan Gambang Semarang.
Sepanjang bergelar insan seni, Kartina telah merakamkan 12 album dan EP, manakala empat buah album lebih tertumpu kepada irama keroncong. EP dan LP yang telah dihasilkannya ialah Sampaikan Salamku (1972), Keroncong Tina (1973), Senandung Lagu Lama (1976), Keroncong Rindu terbitan semula EMI, Tina bersama Dendang Perindu (EP 1969) dan Memori Hit 28 Koleksi Lagu-Lagu Terbaik Kartina Dahari (EMI- 2007).
Melihat pada penampilan Kartina bersama bajunya yang cantik-cantik pasti ramai tertanya-tanya siapakah pereka bajunya kerana baju-bajunya sentiasa dihiasi dengan taburan labuci dan manik. Menurut anak sulungnya, Adlin, sepanjang pengetahuannya, ibunya suka membuat rekaan sendiri dan menghiasi setiap baju yang ingin dipakainya.
“Kebanyakan baju mama dibuat oleh Mak Nona Asiah. Bila dah siap, mama akan menambah manik dan labuci bagi menambah seri dan kilauan baju tersebut. Jangan tak tahu rumah kami, penuh dengan kotak-kotak kecik berisi pelbagai jenis jarum, manik halus dan labuci yang kebanyakannya berwarna keemasan dan perak.
“Mama cukup mementingkan penampilannya agar kelihatan lain dari yang lain. Itu sebabnya kebanyakan kasut dan baju mama sedondon kerana dihasilkan daripada fabrik yang sama. Fabrik kesukaan mama ialah Thai silk, lace dan kain baldu. Mama suka buat baju kurung menggunakan kain Thai Silk, manakala lace pula untuk kebaya pendek dan baldu pula untuk kebaya panjang.”
Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, pada bulan Februari 2009, Kartina Dahari menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman, Anugerah Perdana Emas. Manakala pada tahun 2010 Kartina turut menerima Anugerah Cemerlang Artistik pada Anugerah Compass (Composers and Authors Society of Singapore) ke-15. Mac 2015 beliau menjadi penghibur pertama yang diberi penghormatan sebagai Indukti Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura (Inductee to the Singapore Women’s Hall of Fame).
Akibat barah payu dara yang dideritainya sejak 2010, Kartina Dahari meninggal dunia pada 30 April 2014 (ketika berusia 72) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Lim Chu Kang, Singapura.
Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dikalangan golongan yang beriman. Aamiin.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.