Kini Rahmad banyak membantu isterinya berniaga.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Rahmad Mega/Koleksi Syed Wafa

SETIAP kali mengadakan persembahan, penonton pasti akan meminta Rahmad Tohak menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka seperti “Bayangan Gurauan”, “Takdir dan Waktu”, “Pasti”, “Sakura”, “Suara Cinta”, “Nina Karina” dan lain-lain.

Semua lagu yang dipinta adalah lagu yang dihasilkan ketika beliau bersama dengan kumpulan Mega. Rahmad, 55, merupakan vokalis bagi kumpulan Mega sejak 1991 hingga 1996.

Ujar penyanyi yang berasal dari Felda Cahaya Baru Masai, Johor itu, setiap kali persembahan beliau ada juga membawa lagu-lagu solo dendangannya, namun peminat tetap mahukan lagu yang sudah sinonim di halwa telinga mereka iaitu lagu-lagu kumpulan Mega.

Rahmad sewaktu bersama kumpulan Gerimis.

“Apa pun saya suka menyanyi lagu-lagu baharu juga. Saya ada lagu baharu seperti “Pemburu Rindu” dan “Sekali Lagi” yang dikeluarkan zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Malah lagu “Pemburu Rindu” dijadikan runut bunyi untuk drama “Pemburu Rahsia”. Manakala lagu “Pejam”, adalah runut bunyi untuk drama “Melur Untuk Firdaus 2”.

“Itulah, bila saya nyanyi lagu baharu, mereka tetap nak lagu lama juga. Saya tak membantah kerana saya dipanggil untuk menghiburkan orang, jadi kalau mereka teruja dengan lagu lama, saya okey saja,” katanya yang masih lagi mendapat tawaran mengadakan persembahan setiap minggu.

Rahmad yang memulakan kerjaya seninya selepas tamat persekolahan dengan kumpulan Malam dan sering mengadakan persembahan di majlis-majlis perkahwinan di sekitar Masai masih mampu bertahan hingga kini walaupun sudah bergerak solo.

Rahmad menyertai kumpulan Mega sebagai vokalis pada 1991.

Tatkala ditanya, apakah rahsia beliau bertahan sehingga kini biarpun setiap masa ada sahaja bakat baharu yang tampil dalam arena seni tempatan.

“Saya masih kekal hingga kini adalah satu rezeki yang diberikan oleh Allah. Lain-lain faktor yang menyebabkan saya masih berada dalam bidang seni hingga kini mungkin sebab pemikiran saya.

“Saya tak kisah kalau ada orang nak hentam. Contoh kalau ada yang tegur, saya sebagai penyanyi 90-an tak payahlah sertai program-program baharu, tak payah buat single nyanyi saja lagu lama. Mereka kata tak payahlah buat lagu baharu sebab dah banyak lagu lama. Itu semua pandangan daripada kawan-kawan sendiri yang sama era.

“Kalau kita tengok, walaupun era dah berubah orang tetap nak lagu lama. Saya tak ambil hati sebab itu pendapat masing-masing kerana setiap orang ada pandangan tersendiri. Mungkin orang itu rasa buat single baharu ini endingnya orang tak nak.

“Rentak Kaki Lima” adalah album studio ketiga kumpulan Mega.

“Saya pula berfikir sebaliknya. Kalau kita nak bersiaran di media semasa atau membuat promosi, kita tak boleh promosi lagu lama. Kita perlu muncul dengan satu projek baharu dan ketika itu kita panggil media buat liputan. Kalau kita dapat buat single baharu itulah ruang untuk kita masuk dalam media masa kini.

“Lagipun saya ni jenis orang yang sentiasa positif dalam apa saja ruang, sama ada ruang kerja, kerjaya atau menyanyi. Saya sentiasa akan mengambil peluang kalau benda itu ada impak positif yang baik,” kata Rahmad tentang prinsipnya dalam mengendali kerjaya seni.

Rahmad yang pernah menjadi vokalis untuk kumpulan Utama juga berkata, kini lagu-lagu dari kumpulan tersebut iaitu “Hentikan Alasanmu” kembali diperdengarkan di platform TikTok. Secara tak langsung ia memberi publisiti kepada dirinya juga.

“Kebanyakan orang mengenali saya sebagai Rahmad Mega tapi saya juga pernah jadi vokalis untuk kumpulan lain waktu itu, cuma orang tak perasan. Sekarang ini bila lagu “Hentikan Alasanmu” dijadikan muzik latar untuk content TikTok, baru orang tahu saya yang nyanyikan lagu itu.

Merupakan salah seorang peserta Gegar Vaganza musim pertama.

“Saya ada tiga kumpulan, pertama saya dengan Gerimis, dah tak hidup sebab tak popular. Lepas tu saya dengan Mega dan popular, selepas itu saya dengan kumpulan Utama. Kumpulan Utama adalah pecahan daripada U’kay daripada Ambang Klasik dulu, jadi saya penyanyinya.

“Kontrak saya dengan Mega tamat pada 1994 dan selepas itu saya bergerak solo sebelum bersama Utama pada 1996. Dengan kumpulan Utama sempat keluarkan sebuah album di bawah syarikat Ambang Klasik.

“Pada 2000, saya buat album solo dengan Life Records, “The Best of Me”. Lepas tu saya buat kompilasi Mega, saya buat reunion Mega. Masa tu barulah Mega datang balik. Sekarang ini bergerak sendiri,” katanya.

Tambahnya bila bergerak solo, Rahmad bebas melakukan apa sahaja dan sebab itulah beliau mengambil peluang untuk menyertai program realiti.

Program realiti hiburan pertama yang disertai oleh Rahmad adalah Gegar Vaganza musim pertama pada 2014 dan menduduki tempat keempat. Beliau menyertai program tersebut kerana memikirkan masa depan.

Sudah 20 tahun asyik menyanyi lagu yang sama atas permintaan peminat.

“Saya bermula menyertai program realiti dengan Gegar Vaganza musim pertama. Sebab masa tu saya nampak dalam ruang-ruang kejatuhan muzik 90-an, band-band mula jatuh kerana populariti waktu itu lebih berpihak kepada program Akademi Fantasia.

“Jadi bila idea untuk buat artis-artis lama comeback ditolak waktu itu tapi saya suka ambil yang out of box. Saya tengok kalau ada peluang untuk saya promosi diri iaitu lebih kurang dua bulan kalau sertai program.

“Jadi selama dua bulan setiap minggu selama 24 jam setiap hari akan ada promosi, jadi saya rasa ini peluang untuk saya comeback. Sangkaan atau telahan saya menjadi kenyataan kerana program itu menjadi fenomena selepas musim kedua.

“Kalau tak ada musim pertama tak adalah musim kedua kan? Selepas itu saya sertai program realiti Hijrahkan Laguku, untuk TV Alhijrah. Kebetulan waktu itu kita memang nak mencari satu ruang lagu-lagu berkonsepkan agama. Ada pula program TV nak mempromosikan lagu-lagu berkonsepkan agama, jadi saya masuklah dengan geng-geng yang sama seperti abang Nash (Dato Nash), Iwan Syahman dan sebagainya.

“Tapi saya tak bernasib baik sebab pada minggu ketiga saya sudah terkeluar. Kemudian saya dapat satu peluang untuk program Terpaling Juara untuk TV3. Saya menang RM100,000. Macam biasa saya ni jenis suka sahut cabaran sebab selain sahut cabaran ia juga sebenarnya peluang hidup dan mati.

Tawaran untuk mengadakan persembahan tak pernah putus.

“Kalau program ini berjaya saya adalah pencetus kepada satu fenomena baharu, kalau program ini gagal saya sudah berpeluang untuk mengambil kesempatan itu. Orang lain tak berjaya tapi saya dah ambil, jadi saya nampak saya berjaya walaupun program itu belum nampak ada musim kedua tapi saya berjaya menjadi juara,” katanya mengimbau kembali program realiti yang disertainya.

Walaupun banyak pengalaman dalam bidang seni, Rahmad tidak kisah dirinya dinilai oleh juri sewaktu menyertai program realiti kerana lebih senang menganggap teguran itu sebagai ilmu.

“Saya tak ambil peduli sangat dengan komen juri kerana kita sepatutnya perlu mengambil komen atau teguran daripada orang baharu atau orang lama sebab kita manusia ini bukan hanya kerana kita ada pengalaman banyak bererti kita bagus.

“Kadang-kadang ada benda yang kita tak tahu dalam dunia kita. Contohnya, hari ini zaman media sosial banyak juga orang lama yang tak tahu apa-apa terpaksa belajar. Hendak tak hendak kita perlu minta orang muda mengajar, kalau tidak macam mana orang lama nak pandai,” katanya terus terang.

Justeru itulah, Rahmad yang berfikiran terbuka itu tidak kisah jika ada penyanyi baharu yang mahu berkolaborasi dengannya. Selain itu, beliau juga rapat dengan kelab peminatnya iaitu Rahmad Empire yang sentiasa menyokong perjalanan seninya.

Sedia berduet dengan penyanyi baharu jika ada yang berminat.

“Setakat ini belum ada penyanyi baharu yang tawar saya untuk berduet dengan mereka. Mereka kadang-kadang ada perasaan serba salah nak pelawa artis lama ini kot, kecuali kita yang tawar mereka.

“Saya tak kisah untuk berduet dengan sesiapa pun tapi kita kenalah ada win win situasi. Saya nak bersama penyanyi itu sebab apa? Kalau dia boleh membantu, kita win win la, tapi kalau hanya nak menumpang kita cari orang lain yang boleh membantu kerana kita nak satu kerjasama bukan nak mengambil kesempatan,” katanya tegas.

Rahmad yang bakal menjayakan Festival Muzik Vits – ‘Konsert Telan Kaset 90’An’ bersempena dengan Festival Mi Malaysia yang pertama pada 12 dan 13 Oktober ini di Padang Timur, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi sehingga 11.30 malam itu berkata, beliau akan mendendangkan tiga atau empat buah lagu saja.

Ini kerana konsert tersebut turut menampilkan artis-artis tersohor negara era 90-an lain seperti Kool, Ady Wow, Aris Ariwatan, Dinamik Kasawari, Roy, Amir Ukay’s, Shidi Data, Isa Gravity, Wann, Febians, Hasnol, Shades, A To Z, Tom, Fuad, Zamani, bersama DJ Fasha Anderson dengan Don’t Panic Buskers dan ramai lagi.

“Saya jangka paling banyak pun tiga atau empat lagu saja. Lagipun ramai penyanyi lain yang turut buat persembahan. Saya yakin ramai yang pergi nak tengok penyanyi-penyanyi kesukaan mereka menyanyikan lagu asal.

Tidak mudah terpengaruh dengan komen nagatif kerana Rahmad lebih senang bersikap positif.

“Penyanyi lama kalau nyanyi lagu baharu, penonton akan pertikai. Lain ceritanya, kalau artis baharu nyanyi lagu lama, tak ada siapa yang persoal. Itu maknanya penonton tetap nak dengar lagu dendangan kita juga. Itu yang pening sebab dah 20 tahun nyanyi lagu berulang-ulang,” katanya sambil ketawa.

Rahmad yang pernah mencuba bakat dalam bidang lakonan menerusi drama Lontong pada 1995 dan pada 2023 menerusi drama Misteri Flat Kirana, Geng Daddy Daddy serta Gadis Muzikal kini banyak membantu isterinya, Norfaizah Ahmad berniaga.

Bersama Norfaizah, beliau dikurniakan empat orang anak dan turut mempunyai dua orang lagi anak bersama dengan dramatis Ainina Ahmad B sebelum bercerai pada 2011.

“Selain menyanyi saya berniaga, saya banyak tolong isteri sebab dia buat produk sendiri. Dia buat produk Miracle Mist, iaitu ubat ketiak, dah lama dia jual produk ini. Saya tolong-tolong dia juga. Lain-lain tu saya terlibat dalam bisnes networking, bisnes seperti forex dan sekarang ini banyak scammer dan saya kena slow down sikit.

“Untuk akan datang, saya sedang merancang untuk mencari satu ruang buat produk sendiri. Saya lebih kepada penjagaan diri, kecantikan diri atau pemakanan sebab saya suka jaga kesihatan,” katanya tanpa berselindung.

Previous articleKhasiat air kelapa yang perlu anda tahu
Next articleNadeera juara Big Stage tak kenal erti mengalah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here