Oleh : Asmat Fikri
Rambut gugur dalam kalangan wanita kerap berlaku terutama selepas melahirkan anak. Ada juga orang-orang tua berpandangan ketika bayi sedang membesar dan ‘menyembur’ air liur, rambut ibunya akan lebih banyak gugur. Sejauh mana signifikan perkara itu, ianya tidak diketahui jelas.
Namun, bukan sahaja wanita selepas kelahiran yang mengalami keguguran rambut. Ramai sebenarnya yang menghadapi situasi sebegini. Ianya boleh jadi normal dan juga tidak normal. Walau bagaimanapun, untuk mengetahui lebih lanjut, ayuh kita tengok terlebih dahulu fasa pertumbuhan rambut.
Pertumbuhan rambut ini mempunyai tiga fasa.
1) Fasa pertama ialah anagen iaitu fasa petumbuhan rambut yang mana sel akar rambut menjadi aktif selama tiga hingga 10 tahun.
2) Fasa kedua adalah katagen. Ia fasa peralihan yang mana akar rambut akan mengecut dan mencapai tempoh matang. Fasa ini berlangsung selama dua hingga tiga minggu.
3) Fasa ketiga ialah telogen iaitu sel rambut sudah tidak aktif, rambut tidak tumbuh dan akan gugur.
Jadi kemungkinan yang kerap keguguran rambut itu telah mencapai fasa ketiga pertumbuhan rambut. Malah secara puratanya, seorang dewasa mempunyai 100,000 hingga 150,000 helai rambut. Justeru kemungkinan ia boleh mengalami keguguran rambut di antara 50 hingga 100 helai sehari. Tetapi jumlah rambut gugur bergantung kepada ketebalan rambut seseorang. Mereka yang memiliki rambut tebal, maka rambut yang gugur kelihatan lebih banyak.
Faktor keguguran rambut
Menurut Hello Doctor, terdapat beberapa sebab terjadinya rambut gugur, di sini kami senaraikan sebabnya untuk panduan dan rujukan pembaca.
– Tekanan
Tekanan adalah punca biasa bagi masalah keguguran rambut. Tekanan menyebabkan badan mengamalkan proses biologi yang tidak normal dan mengganggu keadaan biasa dalam badan dan kadang-kadang tidak dapat diramalkan. Tekanan sering memberi kesan kepada fasa telogen kitaran pertumbuhan rambut meningkatkan jumlah rambut yang gugur pada fasa ini.
– Terlebih mendandan rambut
Jika anda suka gaya rambut toncang ketat (bun ballerina), rambut akan menipis akibat daya tarikan alopecia iaitu satu situasi di mana ketegangan berlaku disebabkan oleh gaya rambut terutamanya di sekitar garis rambut dan di belakang telinga.
Selain itu, pelindung kimia untuk meluruskan rambut, rawatan minyak panas atau apa-apa jenis bahan kimia yang keras atau bersuhu tinggi boleh menjejaskan akar rambut dan rambut tidak akan tumbuh kembali.
– Pemakanan
Mungkin ramai beranggapan sudah mendapatkan makanan yang sihat khususnya apabila dalam pelan perancangan diet namun tanpa sedar diet ketat mungkin salah satu penyebab kepada keguguran rambut. Menurut Akademi Dermatologi Amerika, sekiranya anda tidak mendapatkan protein yang mencukupi dalam diet, tubuh akan mendapatkan protein dengan mematikan pertumbuhan rambut.
– Kimoterapi
Sesetengah ubat yang digunakan untuk mengalahkan kanser tetapi ia juga boleh menyebabkan keguguran rambut. Ia menghancurkan sel-sel yang membelah dengan cepat. Ini bermakna bukan sahaja sel-sel kanser, tetapi juga memecahkan sel seperti rambut dengan cepat.
– Pengambilan ubat-ubatan
Pengambilan sesetengah ubat-ubatan boleh menggalakkan keguguran rambut. Lebih umum di antaranya adalah ubat mencair darah tertentu dan ubat tekanan darah yang dikenali sebagai beta-blokers. Ubat lain yang mungkin menyebabkan rambut gugur adalah methotrexate (digunakan untuk merawat keadaan reumatik dan beberapa keadaan kulit), litium (untuk gangguan bipolar), ubat anti-radang nonsteroid (NSAIDs) termasuk ibuprofen, dan mungkin antidepresan.
#ikuti artikel akan datang mengenai kesan rambut gugur.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.