Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Datuk AC Mizal/Koleksi Syed Wafa
KALAU sebut nama Datuk AC Mizal pasti kita terus teringat penampilannya sebagai salah seorang anggota kumpulan hip hop 4U2C yang menjadikan cakera padat sebagai rantai leher.
Kumpulan 4U2C yang ditubuhkan oleh AC pada 1992 bersama dua kawannya iaitu Azam dan Joe cukup popular dengan lagu “Fiona” dan meraih kejayaan dalam bidang muzik antara 1992 hingga 1996 kerana ketika itu irama muzik hip hop dan rap melanda seluruh Malaysia.
Bersama 4U2C, AC sempat merakamkan tiga album antaranya, “4U2C” dan 2BD#1 (1994) sebelum kumpulan tersebut dibubarkan pada 1996. AC sendiri kemudian memulakan kerjaya lakonan selepas kumpulan itu dibubarkan.
Beliau memulakan kerjaya lakonannya dalam drama “Roda-Roda Kuala Lumpur” sebagai Koperal Jefri. Namun wataknya sebagai Inspektor Mazlan dalam drama “Gerak Khas” (1999–2002) keluaran Skop Productions mengangkat namanya sebagai pelakon yang disukai ramai.
Seterusnya pada 1999, AC Mizal atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 52, membintangi filem pertama iaitu “Bara”, arahan Datuk Yusof Haslam. Di bawah tunjuk ajar Yusof, AC seterusnya membintangi filem “Pasrah” (2000) bersama Erra Fazira.
Pada 2001, AC kembali menjayakan peranannya dalam filem “Gerak Khas The Movie” dan “Gerak Khas The Movie II” (2002). AC kemudiannya meninggalkan jenama Gerak Khas pada 2002 selepas empat musim, atas sebab peribadi dan komitmen lain.
Lain-lain filem lakonan AC, antaranya adalah “Buli”, “Baik Punya Cilok”, Buli Balik, “Cicak-Man”, “Zombie Kampung Pisang” dan “Abang Long Fadil 2 & 3”.
Bukan setakat di layar lebar atau kaca TV, beliau yang pernah melancarkan album solo pertama berjudul “Tassamaqu” pada 2004 juga aktif di pementasan teater dan pernah menjayakan “Puteri Gunung Ledang The Musical” pada 2005 dan “Cuci The Musical” pada 2009.
AC bukan sekadar boleh menyanyi atau berlakon, malah beliau juga berkebolehan sebagai pengacara. Beliau memulakan kerjaya sebagai pengacara televisyen pada 2006 dengan mengendalikan program bual bicara “AC Di Sini” yang disiarkan di Astro Ria.
Malah beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi pengacara untuk program realiti “Akademi Fantasia” musim keenam dari 2008 hingga 2009, menggantikan Datuk Aznil Nawawi.
Bukan itu saja, AC yang petah berkomunikasi itu juga diberi tanggungjawab mengacarakan program seperti “Super Spontan Xtravaganza”, “Arena Panggang” musim 2 dan “Maharaja Lawak Mega 2018”.
Rezekinya sebagai pengacara tak pernah putus kerana dari masa ke semasa ada saja peluang untuknya muncul sebagai hos bagi beberapa program TV seperti “Punchline DAC” (2020).
Selain itu, AC juga pernah menjadi pengacara jemputan untuk konsert “Gegar Vaganza” musim ke-7 minggu pertama, menggantikan Nabil Ahmad serta menjadi pengacara “The Masked Singer Malaysia” di Astro Warna.
Satu kelebihan AC apabila menjadi hos, beliau boleh berkolaborasi dengan sesiapa saja yang menjadi pasangannya ketika di pentas. Malah, beliau sentiasa bersiap sedia sebelum memulakan kerja dan sikapnya yang teliti dalam bekerja itu membuatkan banyak pihak selesa mengundangnya sebagai pengacara.
Bukan sebagai pengacara sahaja, AC yang pernah mendirikan rumah tangga dengan Shafnie Zainuddin dan dikurniakan dua orang anak, Muhammad Shafiq Iman dan Muhammad Shabil Iman sebelum bercerai pada 17 Oktober 2001 itu juga sering diundang menjadi juri beberapa program seperti “Raja Lawak”, “Maharaja Lawak” dan “Maharaja Lawak Mega”.
Lakar sejarah, artis pertama tempatan miliki stesen TV
Jika rakan artis lain sama ada penyanyi atau pelakon mengembangkan kerjaya seni mereka sebagai pengarah atau penerbit, AC pula mempunyai impian yang lebih besar daripada itu.
Apabila suami kepada Datin Emylia Rosnaida yang dinikahi sejak Oktober 2002 itu menyatakan hasrat untuk membuka stesen TV sendiri, ramai yang memandang sinis impiannya itu.
Bagaimanapun bapa kepada Muhammad Reeve Damien dan Fea Eryssa itu tidak mudah mengalah walaupun sering menerima kata-kata sindiran daripada orang sekeliling kerana beliau adalah seorang usahawan.
Dengan izin Allah, akhirnya AC sebagai Pengasas dan Pengerusi, manakala Emylia pula memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan berjaya mengapai impian untuk memiliki stesen TV sendiri iaitu Suke TV di bawah DNF Group Sdn. Bhd., yang dilancarkan pada 28 Mac dan mula beroperasi pada April 2022.
Suke TV merupakan sebuah saluran televisyen terestrial digital swasta percuma kedua yang bersiaran di MyTV, saluran 116 dan semua platform online. Malah, Suke TV juga ada website sendiri iaitu SukeShop.com, SukeTV.com dan YouTube Suke TV.
“Saya dan isteri, merupakan artis pertama di Malaysia yang memiliki dan menjalankan stesen TV. Bersyukur kerana sejak beroperasi hingga kini berjalan lancar. Konsep Suke TV adalah TV stesen bersama dengan platform OTT, yang kita gabung menjadi satu.
“Seperti stesen lain, Suke TV pun beroperasi selama 24 jam dan kita merupakan shopping channel iaitu SukeShop.com dan rancangan variety. Rancangan variety kita sudah ditayangkan dan mendapat sambutan hangat adalah “Berita Latah”.
“Dari masa ke semasa kita akan mempertingkatkan lagi semua kandungan rancangan bagi memastikan penonton tidak bosan. Lagipun sasaran semua kandungan yang kita buat adalah untuk tatapan kanak-kanak sampailah ke dewasa,” katanya dalam satu temu bual sebelum ini.
Ternyata usaha AC untuk mengendalikan stesen TV tidak sia-sia kerana pada awal operasi saja, Suke TV sudah berjaya mengumpul kelompok penonton tersendiri dan hingga kini jumlahnya semakin meningkat.
Meskipun sibuk dengan pelbagai urusan, pemenang kategori Pelakon TV Lelaki Popular (Gerak Khas) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2000/01 dan Hos MeleTOP untuk Anugerah MeleTOP Era 2016 menerusi “Super Spontan All Stars” tidak pernah melupakan aktiviti seninya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.