ANITA Sarawak sentiasa dirindui oleh jutaan peminat beliau.

Oleh : SYED WAFA
Foto : Koleksi SYED WAFA

ANITA Sarawak bukanlah satu nama asing bagi para peminat seni suara sejak tahun 1960-an lagi kerana kehadirannya dalam bidang seni bukan bersandar pada nama dan rupa sahaja.

Sebaliknya penghibur bertaraf ‘Superstar’ ini meraih kejayaan demi kejayaan dalam dunia seni bukan sahaja bakat anugerah-Nya malah kredibilitinya dalam dunia seni memang sukar digugat setelah memulakan kerjaya seninya pada usia empat tahun dengan berlakon dalam filem “Penchuri.”

ANITA Sarawak terlibat dunia seni sejak kecil lagi iaitu berlakon dalam filem pertama lakonan beliau, “Penchuri” arahan K.M Basker terbitan tahun 1956,
Bintang utama filem berkenaan ialah Yusof Latiff, Siput Sarawak dan S. Kadarisman.
ANTARA babak filem “Penchuri” 1956.

Walaupun dalam filem arahan K.M Basker terbitan tahun 1956 adalah filem pertama lakonan Anita Sarawak tetapi pepatah Melayu ada berkata ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’ begitulah dengan Anita Sarawak.

Bersama bintang utama filem berkenaan Yusof Latif, S. Kadarisman dan ibunya,
Siput Sarawak, Anita Sarawak telah menunjukkan bakat yang dimiliki.

Setelah filem pertama berkenaan, pada usianya 14 tahun, Anita Sarawak telah diberi peranan utama sebagai Ani yang berjaya meraih cinta Mat (lakonan Mat Sentol) dalam filem arahan M. Amin iaitu filem “Dua Kali Lima” pada tahun 1966.

ANITA Sarawak bersama Mat Sentol berlakon dalam filem “Dua Kali Lima” 1966.
ANITA Sarawak sebagai ‘Ani’ dalam filem “Dua Kali Lima” yang diterbitkan pada tahun 1966.

Lakonannya yang bersahaja telah membuktikan anak kepada Allahyarham Seniman Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarham Seniwati Siput Sarawak memang berbakat dalam bidang lakonan.

Bagaimanapun apa yang nyata, Anita ‘yang kehilangan kasih sayang seorang ayah’ pada usianya sembilan bulan setelah ayah dan ibunya bercerai, bakat dan minatnya lebih kepada bidang nyanyian.

ANITA Sarawak bersama Mat Sentol dalam satu babak filem “Dua Kali Lima” 1966.
ANITA Sarawak mewarisi bakat seni ibunya, Siput Sarawak…Gambar atas saat bahagia S. Roomai Noor dan Siput Sarawak.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai penyanyi pada usia 15 tahun. Walaupun tidak semudah itu ibunya melepaskan Anita yang mahu menjadi penyanyi, Anita Sarawak atau nama sebenarnya, Ithnaini Mohd. Taib, sentiasa ditemani oleh Siput Sarawak yang mana akhirnya ‘dilamar’ EMI Records sebagai artis rakaman dan muncul dengan single pertama “With a Lit o’Soul” (1969).

Bersama EMI sehingga tahun 2005, banyak album yang diterbitkan setiap tahun mendapat sambutan hangat daripada para peminatnya antaranya “Rinduku Hilang” (1970), “Kawanku Bintang Capricorn” (1972), “Sophisticated Lady” (1976).

ANITA Sarawak mula menjadi artis rakaman EMI dengan single pertama “With A Lot O Soul” pada tahun 1969.
ANITA Sarawak terus tampil dengan single bersama EMI.
ANTARA album awal Anita Sarawak bersama EMI.

Bagaimanapun apa yang pasti album bersama pasangan duetnya yang paling serasi ialah Ismail Haron dan antara album duet mereka ialah “Kesah Dol Dan Minah” (1972), “Keluarga Bahagia” (1974) dan “Ismail Haron & Ajita Sarawak, Duo Terhebat” (2010).

Bagi memenuhi syarat ibunya, Anita Sarawak yang minat menyanyi akhirnya pada usia 20 tahun berkahwin dengan pemuzik dari Singapura, Mohamed Abdul Samad. Sayangnya perkahwinan itu tidak bertahan lama kerana bukan berdasarkan cinta tetapi demi memenuhi permintaan arwah ibunya.

LAGU Anita Sarawak sentiasa mendapat sambutan peminat.
ANITA Sarawak bersama pasangan duetnya, Ismail Haron yang merupakan pasangan serasi beliau.

Bagaimanapun pada tahun 1981, Anita Sarawak berkahwin buat kali kedua dengan Broery Marantika tetapi sayangnya, rumahtangga mereka hanya bertahan empat tahun apabila mereka bercerai pada tahun 1985.

Setelah perceraian itu, Anita yang semakin popular di Asia meninggalkan Singapura dan mengikat kontrak dengan Caesar’s Palace di Las Vegas, Amerika Syarikat. Di sana beliau pernah berkahwin dengan James Dean Nicholson (JD) pada tahun 1995 tetapi berakhir dengan perceraian pada 1999.

BROERY Marantika dan isteri, Anita Sarawak mengadap ibu/ ibu mertua selepas sah sebagai suami isteri pada 1981.
SAAT bahagia Anita Sarawak dan Broery Marantika pada hari perkahwinan mereka pada tahun 1981.

Kerjaya Anita Sarawak bertahan hampir 20 tahun. Populariti yang diraih bukan datang sekelip mata tetapi semuanya atas usahanya yang sentiasa memberikan persembahan yang segar dan bertenaga dengan lagu-lagu klasik dan lagu-lagu terkini.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga mengambil berat para pemuzik pengiring dalam pancaragamnya, American Dream dengan dibantu Pengarah muziknya, Nate Wingfield yang berjaya menarik para pemuzik terbaik mengiringi Anita Sarawak.

ALBUM “Damai” Anita Sarawak menampilkan gaya seorang “Superstar’.

Bagaimanapun setelah hampir 20 tahun mencipta nama di luar negara akhirnya pada tahun 2002, Anita Sarawak kembali ke Singapura bersama suaminya, Mohamad Mahathir Abdullah atau nama asalnya, Martin Cox. Mereka berkahwin pada Ogos 2001 dan pernikahan mereka berlangsung di sebuah masjid di Las Vegas.

Anita Sarawak pernah dipilih sebagai ‘Dewi Utama’ (The Top Diva) di Asia anugerah dari Asian Entertainment Establishment kerana penglibatannya dalam dunia seni memilih untuk meneruskan kerjayanya dan menetap di Kuala Lumpur pada tahun 2002.

ANITA Sarawak utamakan Imej setiap album beliau.
ANITA Sarawak berduet dengan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dalam lagu “Bercanda Di Pasiran Pantai.”

Di Kuala Lumpur, pihak Astro telah memilih Anita Sarawak sebagai Pengacara program “Anita (2003-2004) diikuti “Kwek Mambo Anita” (2007-2010) dan “Astana” (2009-2010) yang mendapat sambutan hangat daripada kaum ibu dan wanita berkerjaya.

Bagaimanapun setelah lapan tahun menetap di Kuala Lumpur ‘tiada angin tiada ribut’ tiba-tiba Anita Sarawak yang cukup pooular dengan lagu “Akhirnya Kini Pasti,” dan “Seksis” menghilangkan diri bersama suaminya, Mahathir Abdullah pada penghujung tahun 2010.

SYED Wafa (Penulis) menyerahkan lukisan wajah Anita Sarawak dan ini merupakan pertemuan pertama.

Kehilangan Anita Sarawak secara tiba-tiba telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan pelbagai cerita karut kononnya beliau telah bercerai, merajuk dengan stesen televisyen (TV), bertukar imej bertudung, menetap di Singapura dan mendapat rawatan penyakit kanser di Malaysia.

Bagaimanapun setelah 12 tahun menyepikan diri, dalam diam sejak 2021 beliau telah menghubungi sahabat baiknya yang merupakan bekas wartawan News Straits Times (NST), Shuib Taib.

Khabarnya tiga kali pelakon yang cukup popular dengan filem “Dua Kali Lima” (1966) dan “Diva Popular” (2006) menghubungi Shuib. Namun demi silaturrahim antara mereka ia tersimpan rapi sebagai sebuah amanah!

SHUIB Taib merupakan sahabat baik Anita Sarawak.

Bagaimanapun berita mengenai ‘Kak Nita’ (Anita Sarawak) menghubungi Shuib dan bekas editor hiburan dan penulis lirik terkenal, Roslen Fadzil yang lebih dikenali sebagai SlenFadzil ketika itu khabarnya bercuti di Pulau Pinang pada Syawal tahun 2021 menjadi tular di media sosial.

Menurut Shuib, hubungan beliau dengan Kak Nita terputus apabila ‘Superstar’ itu menghilangkan diri.

Namun begitu beliau tidak pernah berputus asa menghantar ucapan hari jadi buat ‘Kak Nita’ dan Abang Mahathir di sosial media setiap tahun.

KENANGAN Roslen Fadzil (kiri) yang berpeluang berbual dengan penghibur legenda Anita Sarawak (tengah), menyatakan bintang itu masih sama tetapi sedih dengan berita yang disebar ramai bahawa dirinya sudah meninggal, sakit atau bercerai dengan suaminya, Encik Mahathir (kanan).

Akhirnya setelah 11 tahun, Mahathir membalas ucapannya dan mereka bertukar nombor telefon.

Selepas memberikan nombor telefon, akhirnya Anita Sarawak menghubungi Shuib pada 23 Jun 2021.

“Saya menitiskan airmata apabila mendengar suara ceria Kak Nita dan beliau memberitahu punca beliau merajuk dan meninggalkan Malaysia pada penghujung tahun 2010.

ANITA Sarawak sering menghiasi cover majalah terkenal tanah air.

“Kak Nita meluahkan apa yang disimpan selama ini. Namun demi amanah biarlah ia menjadi rahsia kami bersama,” cerita Shuib.

Menurut Shuib, Anita Sarawak beritahu Allah tunjukkan kepadanya satu persatu kejadian yang berlaku sehingga membuatkan beliau mengambil keputusan kembali ke Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun demi amanah dan menghormati permintaan Anita Sarawak beliau tidak akan bercerita tetapi pasti itulah saat dan ketika yang sesuai ‘Superstar’ itu mengundurkan diri dan pulang ke AS.

KEMESRAAN dua beradik…Anita Sarawak dan adik sebapa, Noorkumalasari.

“Saya seronok sangat dapat mendengar suara Kak Nita yang sudah bertahun-tahun tidak berjumpa. Apalagi bila Kak Nita beritahu beliau sihat dan gembira dengan kehidupannya hari ini. Kak Nita yang telah meninggalkan dunia seni suara kini ada hobi baru iaitu berkebun di sekeliling rumahnya disamping menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri menjaga makan minum suami. Sementara Mahathir pula menceburi bidang baru dengan menghasilkan filem pendek.”

Sementara itu, SlenFadzil yang beraya bersama Shuib di Pulau Pinang selama beberapa hari juga berpeluang bercakap dengan Anita Sarawak.

ANITA Sarawak bersama suami tercinta, Mahathir Abdullah.

“Saya tertidur dalam kereta tiba-tiba Shuib mengejut saya dan saya terkesima apabila mendapat tahu Kak Nita call Shuib,” cerita SlenFadzil.

“Saya yang baru terjaga dari tidur bagaikan tidak percaya apabila mendengar suara Kak Nita dan Abang Mahathir di hujung talian. Terlerai sudah rindu di hati terhadap dua insan istimewa ini,” cerita SlenFadzil yang mula mengenail Anita Sarawak dan Mahathir apabila mereka terbabit dalam majlis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada tahun 2000.

Dalam perbualan itu kata SlenFadzil, Kak Nita beritahu mereka suami isteri sihat dan memohon maaf sebab lama tidak berhubung.

ANITA Sarawak dan suami, Mahathir Abdullah terkenal dengan sifat ‘mesra media.’
Sebab itu tidak hairan mereka seringkali mengadakan majlis sebagai meraikan dan mengucapkan terima kasih diatas kerjasama yang diberikan.
Duduk dari kiri: Penulis, Syed Wafa, komposer Helen Yap, Anita Sarawak, Mahathir Abdullah dan Harry Jalil.
Berdiri dari kanan: PRO Astro, Aishah, SlenFadzil, Allahyarham Huzz Zaini dan Shuib Taib.

Bukan itu sahaja malah Kak Nita juga memberitahu punca beliau menghilangkan diri secara tiba-tiba.

“Sebenarnya Kak Nita sedih dan kecewa dengan artikel tempatan mengenai desas-desus dia sudah bercerai dengan suaminya, Mahathir. Malah beliau juga terkejut dengan khabar angin mendakwa dirinya sedang sakit.

“Tidak banyak perkara kami bualkan menerusi telefon, namun terdapat hal-hal peribadi yang saya tak dapat kongsikan kepada umum demi menghormati permintaan Kak Nita. Perbualan yang amat bermakna itu sudah cukup menggambarkan kebahagiaan Kak Nita dan Abang Mahathir selama ini yang digossipkan dengan pelbagai cerita mengarut.

SYED Wafa (Penulis)merakamkan kenangan bersama pasangan suami isteri yang romantis, Anita Sarawak dan Mahathir Abdullah.

“Tetapi apa yang buat saya happy apabila Kak Nita dan Mahathir hidup bahagia jauh dari dunia glamor dan menghabiskan waktu menjelajah ke seluruh pelusuk dunia,” kata SlenFadzil.

Bagi Shuib Taib dan SlenFadzil, walau di mana Anita Sarawak dan suaminya, Mahathir Abdullah berada, doa mereka semoga pasangan bahagia ini dianugerahkan kesihatan yang baik dan kekal bahagia untuk selamanya.

Previous articleAvantgardey bakal tampilkan kreativiti, ekspresi yang luar biasa
Next articleCara penyediaan Fettucini Seafood Asam Pedas Yang Begitu Mendapat Sambutan Di Restoran Rasa Rosz.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here