Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Sabri Yunus/Koleksi Syed Wafa
Pelawak, pelakon, penyanyi, pengacara, pengarah, penulis Sabri Yunus atau nama sebenarnya, Muhammad Sabri Yunus tidak merasakan dalam meniti usia 63 tahun, sudah sepatutnya dia bersara atau berehat daripada dunia pengarahan dan lakonan.
“Sebenarnya saya tidak pernah fikir bila saya akan bersara. Tak macam mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta sampai waktunya kena bersedia untuk pencen. Lagipun kerja saya bukannya susah dan kerja macam saya, tak ada tarikh luput atau pencen. Selagi mampu buat dan berkarya, selagi itu saya akan melakukannya.
“Tapi dalam waktu yang sama, saya kena sedar, tak mungkin selama-lamanya saya akan berada dalam industri ini…samada kita mampu atau kesihatan ataupun kita masih diterima lagi atau tidak. Ada banyak kemungkinan akan berlaku dan saya kenalah bersedia dan buat persediaan.
“Tapi buat masa sekarang, masa nya belum tiba lagi untuk saya `bersara’. Saya secara peribadi masih ada `api’… masih ada semangat lagi, rasanya ada banyak benda yang saya nak buat. Banyak lagi kerja dan karya-karya yang nak saya `lahirkan’ …banyak lagi pemikiran yang nak saya lontarkan sebagai sebuah karya…memang banyak benda lagi,” kata Sabri berbicara sambil ketawa.
Sabri anak ketiga daripada tujuh beradik ini yang baru habis penggambaran Perang Nasi Dagang menambah, kini dia sibuk dilokasi penggambaran drama dan filem.
“Habis saja shooting drama Perang Nasi Dagang terus ia ditayangkan di Astro dan lepas itu sambung lagi dengan shooting filem Baran dan Malam Terlarang. Tahun ini, memang pecah rekod, saya berlakon empat filem setahun. Pecah rekod buat diri sayalah…tapi pelakon lain lagi banyak filem setahun.,’’ katanya mengenai filem Denu dan Dari Pontian ke Kodiang.
Menurut Sabri Yunus yang terkenal dengan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Pok Ya Cong Codei, berlakon lebih rileks daripada mengarah, itu sebabnya tahun ini dia lebih banyak menerima tawaran berlakon.
“Dalam tiga bulan saya boleh berlakon tiga hingga empat buah drama, tapi bila mengarah filem ia ambil masa yang lama. Tiga hingga empat bulan saya tak boleh buat apa-apa. Tapi kedua-dua ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
“Rezeki lepas kahwin…Alhamdulillah. Tahun ini saya ada banyak jemputan, forum dan program bersama isteri, Ardini Angeline Tan. Ramai orang panggil untuk berkongsi cerita hidup kami… saya layan je. Itu belum lagi produksi panggil kami shooting bersama. Dipanggil untuk promosi barangan bersama…kerja pun senang…buat sehari esoknya rehat dan esoknya sambung lagi.
“Itu sebabnya tahun ini memang saya tak sempat nak mengarah drama atau filem. Tahun depan baru saya rancang nak teruskan projek yang sudah saya rancangkan. Lagipun saya ada banyak cerita nak dibuat…sinopsis dan jalan cerita dah ada dan setakat ni semua skrip saya buat sendiri.”
Menyentuh mengenai skrip-skrip hasil nukilannya, ujar Sabri lagi,kebanyakan idea dan cerita dia berdasarkan pengalaman dari zaman dia berlakon dulu.
“Sejak berlakon dulu saya dah banyak lakar cerita-cerita yang ingin saya hasilkan. Cerita berdasarkan kisah benar apa yang pernah saya lalui selama ini. Saya tak percaya, sekadar duduk berkhayal dan reka-reka cerita. Pada saya sesuatu cerita itu akan lebih tampak menarik dan nampak lagi real jika dipetik dari pengalaman dan kehidupan seharian.
“Saya percaya cerita yang baik, yang dekat dengan hati masyarakat…dilalui masyarakat. Sedar atau tidak, saya telah mengangkatnya sebagai sebuah karya yang cukup bermakna. Saya tak percaya dengan duduk renung hutan belantara dan bukit bukau atau duduk bertapa untuk dapatkan cerita. Saya lebih percaya kehidupan apa yang kita lalui sehari-hari itulah cerita yang sebaik-baiknya untuk dihasilkan.
“Pada saya kita harus fikir bagaimana nak bercerita dan bukan fikir apa cerita yang kita nak buat. Macam cerita Pok Ya Cong Codei…bergantung pada orang sekarang. rentetan cerita itu ada yang panggil saya, Cong Codei, kalua gang lama panggil Ismail Golok dan kalua kawan baik panggil Sabri. Saya tak kisah apa panggilan, yang penting janji itu adalah dia (Sabri Yunus).”
Kata Sabri lagi,“Sebenarnya banyak filem biasa yang saya tampilkan tapi orang lebih melihat seolah-olah saya banyak menghasilkan drama atau filem yang berkisar tentang masyarakat Kelantan yang tak sampai 10 pun. Sedangkan saya tinggalkan Kelantan dan berhijrah ketika umur 21 tahun dan kini dah 42 saya tinggal di Kuala Lumpur.
“Saya ada banyak cerita, bukan cerita Kelantan saja. Oleh kerana masa itu saya lebih dekat dengan budaya Kelantan. Filem Pok Ya Cong Codei itu saya kumpulkan daripada banyak cerita dan gurauan orang kampung untuk disatukan dalam sebuah cerita. Cerita itu banyak pengalaman lama yang telah saya lalui.
“Ada enam watak yang saya gabungkan dalam Pok Ya Cong Codei itu. Saya tak boleh ambil satu watak untuk dijadikan cerita…sebab tak nak orang itu claim…itu pakcik dialah…orang kampung dialah. Tapi bila digabungkan watak orang tak boleh claim apa.”
Tambah Sabri, anak kelahiran Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan ini lagi, dia suka mengangkat cerita Kelantan disebabkan dia membesar di sana dan selalunya cerita masyarakat dan budaya Kelantan selalunya tak tepat dan tidak sampai.
“Macam drama Sorok Bau Budu…itu drama pertama yang saya buat. Bila dah hasilkan baru perasan banyak benda lagi yang saya terlepas pandang melibatkan seni dan budaya Kelantan. Nak ikut karya-karya saya tak banyak yang sentuh tentang orang Kelantan. Tapi bila sentuh tentang masyarakat Kelantan,ia melekat. Macam banyak sangat saya hasilkan drama atau filem mengenainya. Sebenarnya ada lebih 50 buah cerita yang saya pernah hasilkan tapi bila buat cerita Kelantan lebih melekat nampaknya.”
Pok Ya Cong Codei adalah sebuah telefilem drama Malaysia 2018 yang ditulis dan diarah Sabri pada tahun 2018. Filem ini mendapat sambutan hangat peminat kerana jalan ceritanya dekat dengan hati masyarakat Malaysia.
Sepanjang pembabitannya Sabri juga pernah membintangi lebih 40 buah filem antara pertamanya Driving School pada tahun 1990 diikuti filem Wanita Bertudung Hitam, Imigran, Sayang Salmah, Yes Tuan, Jogho, Puteri Gunung Ledang. Magika, Kembar Siang, Hantu Kapcai, Hantu Kak Limah, One, Two, jaga, Hanyut , Duan Nago Bogho, Butak (penulis skrip dan pengarah), Baran,Janna Endoro dan Malam Terlarang.
Kehebatannya sebagai pelakon dan pelawak juga telah melayakkan dirinya untuk menerima Anugerah Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik (Anugerah Seri Angkasa 2005), Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH- 1993-1996 dan 2000, Anugerah Khas Filem Semangat ASEAN – Duan Nago Bogho (AIFFA 2023). Beliau juga pernah tercalun untuk kategori Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik – Duan Nago Bogho (AIFFA 2023).
Bukan saja berkebolehan berlakon, mengarah dan menulis skrip, Sabri juga berkebolehan menyanyi dengan munculnya album berjudul “Jangan Mercun! Kongsi, Kongsi, Kongsilah” bergandingan dengan pelakon Ahmad Busu. Album istimewa ini memuatkan 10 buah lagu baru dan diterbitkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri serentak dengan Tahun Baru Cina pada 1993.
Angeline bidadari kiriman Tuhan buat Sabri
Diam tak diam, 14 Oktober ini genap setahun usia perkahwinan Sabri Yunus bersama Ardini Angeline Tan,57.
“Cepatnya masa berlalu dan tak sangka dah setahun saya kahwin. Sejak ada isteri ini, hidup rasa lebih tenang…lebih bahagia…ialah 17 tahun dia menduda, tak ada isteri (arwah isterinya Norraya Mohd. Yusof meninggal dunia pada 2007 kerana menghidap penyakit kanser) dan anak-anak pula waktu itu makin membesar dan akan berkahwin.
“Bila saya bayangkan anak-anak berkahwin …barulah saya terfikir, tiba waktunya mereka (anak-anak) akan ada kehidupan mereka sendiri dan sebelum kena tinggal berseorangan lebih baik saya cari teman. Waktu itu, barulah terfikir kena cari kehidupan saya sendiri dan bukan bergantung pada anak-anak. Saya kena ada teman dan seseorang untuk menjaga saya.
“Alhamdulillah, sekarang saya dah dapat seorang isteri, seorang kawan yang kenal hati budi dan memahami saya. Sudah tentu kini hidup saya lebih senang, tenang dan sekarang hidup saya rasanya lebih bahagia dan bermakna,’’ kata Sabri lagi kerana mereka berdua sama bidang dan sealiran dalam dunia lakonan.
Sabri bapa kepada tiga orang menambah lagi, dia percaya tuhan bijak mengatur kehidupan baru untuk dirinya.
“Sejak kematian isteri dulu, saya tidak pernah terfikir untuk cari pengganti. Tetapi sampai masanya, Tuhan bagi saya rasa…mengapa saya tak ajak saja Angeline kahwin dengan saya sebab kami dah lama mengenali hati budi masing-masing dan kedua-duanya pula solo.
“Selama ini tak pernah terdetik nak pelawa Angeline…tapi bila sampai masanya setelah selepas 17 tahun, tiba-tiba perasaan itu datang dan terus saya beranikan diri melamarnya. Laluannya mudah sekali…saya percaya Angeline ini adalah bidadari kiriman Tuhan utk saya.
“Selama berpuluh tahun mengenali Angeline, tak pernah terfikir atau terdetik nak mengoratnya berbanding dalam sitkom. Dalam drama atau sitcom saya memang dilihat selalu mengacau dan mengorat Angeline bagi menghidupkan lagi jalan cerita.”
Walaupun sudah mendirikan rumah tangga, namun Sabri tidak akan menghalang isterinya untuk berlakon atau membuat apa saja perkara yang diminatinya.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.