SARIMAH, primadona filem Melayu yang sentiasa dirindui.

Oleh: SYED WAFA
Foto: Koleksi SYED WAFA

APABILA bercakap tentang Primadona filem Melayu, Datuk Dr. Sarimah Ahmad tidak boleh tidak, pasti akan mengingatkan kita dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Sebabnya antara Sarimah dan P. Ramlee, mereka bagaikan irama dan lagu yang sukar dipisahkan sejak awal kemunculan Primadona ini dalam industri filem Melayu sejak tahun 1961 sehingga 1970.

FILEM pertama Sarimah, “Ali Baba Bujang Lapok” pada tahun 1961.
WATAK Marjina dalam filem “Ali Baba Bujang Lapok”, penampilan pertama Sarimah dan menjadikan beliau pelakon terkenal.

Walaupun hampir lima dekad bergelar seniwati, Sarimah hanya membintangi sembilan filem arahan P. Ramlee daripada 45 keseluruh filem yang dibintangi sehingga tahun 2009, namun realitinya filem pertama lakonannya “Ali Baba Bujang Lapok” (1961) adalah arahan Seniman Agong itu!

Mana mungkin para peminat filem Melayu pada era 1960-an dapat melupakan watak Marjina (Sarimah) orang gaji yang cerdik, jujur dan setia dengan tuannya, Kassim Baba (Seniman S.Shamsuddin) dan isterinya, Aloyah (Seniwati Normadiah) sehingga akhirnya dibebaskan oleh adik tuannya, Ali Baba (Seniman Datuk Aziz Sattar) kerana berjaya menyelamatkan mereka daripada dibunuh ketua penyamun, Abu Hassan (P. Ramlee).

Filem “Ibu Mertuaku” sehingga kini diminati oleh peminat filem Melayu
SATU babak Sabariah Mansoor (Sarimah) sedang mengurat Kassim Selamat melalui telefon.

Walaupun itu adalah filem pertama lakonan Sarimah tetapi beliau bertuah kerana ia bukan filem terakhirnya. Realitinya Sarimah ‘dibawah’ arahan P. Ramlee telah membuka ruang untuknya terus melangkah kaki sebagai pelakon tanpa menoleh ke belakang lagi!

Setelah filem berkenaan Sarimah berpeluang berlakon dalam filem arahan pengarah lain antaranya dua arahan Jamil Sulong (Si Tanggang dan Lubalang Daik) dan Dhiresh Ghosh (Indera Bangsawan dan Neracha).

SELEPAS dinikahkan…dengan duit 5,000 pemberian Nyonya Mansoor, Kassim Selamat dan Sabariah Mansoor menaikki keretapi dan ‘berhijrah’ ke Pulau Pinang.
INILAH baju yang dipakai oleh Sabariah Mansoor selepas menikah dengan Kassim Selamat.
Baju inilah yang beliau hadiahkan kepada penulis, Syed Wafa.

Namun Sarimah tidak pernah menduga filem keenam dan ketiga belas lakonannya telah meletakkan namanya sebagai Seniwati pujaan ramai sehingga digelar ‘Primadona Filem Melayu!’

Bukan sahaja Sarimah malah para peminat filem Melayu mana mungkin boleh melupakan “Ibu Mertuaku” (1961) filem keenam lakonannya dan kedua dibawah arahan P. Ramlee serta “Madu Tiga” (1963) filem ke-13 lakonan beliau dan ketiga diarahkan oleh P. Ramlee.

SATU babak dari filem “Ibu Mertuaku”… Nyonya Mansoor berpura-pura baik dan meminta izin Kassim Selamat untuk membawa pulang Sabariah bersalin di rumahnya di Singapura.
P. RAMLEE dan Sarimah berpasangan dalam filem “Ibu Mertuaku.”
BUAT pertama kali Sarimah berpasangan dengan Ahmad Mahmood dalam filem “Ibu Mertuaku.”

Bagi Sarimah, kedua-dua filem ini mempunyai nilai sentimental tersendiri dan ingatan beliau sentiasa segar terhadap filem berkenaan yang membuatkan beliau tidak mampu melupakan walaupun telah enam dekad berlalu.

Betapa tidak, jika sebelum ini kebanyakan Sarimah diberikan ‘watak putih’ tetapi dalam “Ibu Mertuaku” lakonan beliau sebagai Sabariah Mansoor yang pada mulanya begitu tergilakan Kassim Selamat dan rela dinikahkan tetapi akhirnya beliau sanggup meninggalkan Kassim Selamat atas pujukan ibunya, Nyonya Mansoor (Mak Dara). Semuanya berpunca kerana keperitan hidup Kassim Selamat yang tinggalkan dunia seni dan menjadi buruh binaan.

SARIMAH sebagai Sabariah Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku” tidak dapat menahan kesedihan apabila Kassim Selamat (P. Ramlee) tahu rahsia yang beliau simpan sepanjang Kassim Selamat menumpang di rumah Dr. Ismadi (Ahmad Mahmood) dan Sabariah.

“Ibu Mertuaku” dengan cerita asal oleh Seniman Ahmad Nisfu diolah oleh P. Ramlee untuk menonjolkan nilai pengajaran dan tauladan yang mana sehingga hari ini filem tersebut bukan sahaja menjadi kenangan bagi generasi lama malah ia tetap menyentuh hati generasi baru yang menontonnya.

Apalagi dengan dialog Nyonya Mansoor yang dikatakan begitu mencengkam hati siapa sahaja yang mendengarnya dan menjadi sebutan iaitu “Siapa Kassim Selamat? Peguam? Majistret? Ahli Muzik? Memang pantang datuk nenek aku Ahli Muzik!”

MELALUI filem “Ibu Mertuaku”, P. Ramlee telah memenangi “Anugerah Khas – Bakat Paling Pelbagai” di Pesta Filem Asia Pasifik ke-10 pada tahun 1963 di Tokyo, Jepun.

Bagaimanapun bagi Sarimah, P. Ramlee adalah seorang pengarah yang serius apabila di lokasi.

“Abang Ramlee sangat cerewet. Beliau tidak mahu para pelakon buat silap walaupun hanya sedikit. Bagi Abang Ramlee, para pelakon mesti lakonkan seperti mana yang beliau mahukan!,” kata Sarimah yang buat pertama kali berlakon disamping Seniman Ahmad Mahmood sebagai suami keduanya, Dr. Ismadi dalam filem ini.

SARIMAH menjadi ‘cover girl’ majalah hiburan ‘Gelanggang’ Bilangan 6 diterbitkan pada bulan Julai 1961
SARIMAH mencium tangan ibunya, Hajjah Bibah Lingga.

Berpegang pada sikap tegasnya itu, akhirnya Sabariah Mansoor ‘ditangan’ Sarimah cukup berkesan yang mana beliau telah membuktikan bakat sebenarnya sebagai Seniwati!

Filem ini bukan sahaja telah melonjakkan populariti Sarimah malah ia juga dikatakan telah melahirkan seorang lagi Primadona Filem Melayu selepas Seniwati Saadiah yang juga digelar Primadona!

FILEM “Madu Tiga” dengan bintang utamanya…P. Ramlee, Sarimah, Zera Agus, Jah Mahadi dan Ahmad Nisfu.
P.RAMLEE dan Sarimah berpasangan dalam filem “Ibu Mertuaku” dan “Madu Tiga.”

Selain “Ibu Mertuaku,” filem “Madu Tiga” cerita hasil karya Seniman S. Kadarisman dan arahan P. Ramlee terbitan tahun 1964 juga meninggalkan pelbagai kenangan bagi Sarimah sebagai Rohani, seorang terpelajar, sabar, tertib dan berfikir sebelum bertindak dengan bijaksana yang merupakan isteri ketiga ‘Abang Jamil’ (P. Ramlee).

Walaupun dua daripada tiga wanita yang bermadu ini cuba mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi Rohani meskipun paling muda dapat menyelesaikan masalah tersebut secara rasional gara-gara sikap suami mereka yang kaki temberang!

ABANG Jamil terbayangkan ‘Rohani’ berkebaya hitam sebagai ‘setiausahanya’ yang sedang mencatat pesanannya.
PENGGAMBARAN babak perkahwinan dalam filem “Madu Tiga” antara Abang Jamil (P. Ramlee) dengan Rohani (Sarimah), P. Ramlee menggunakan tiga kamera serentak iaoyu Tripod, Dolly dan Arryflex yang mana setiap kamera mempunyai keupayaan berbeza demi mendapatkan gambar yang lebih baik untuk filem berkenaan.

Penggambaran babak akhir filem “Madu Tiga” yang dijalankan di luar kawasan studio Jalan Ampas dalam cuaca baik tetapi terpaksa dibuat berulang kali kerana terganggu dengan suara tawa para pekerja di belakang tabir yang gelihati melihat babak akhir yang melibatkan P. Ramlee, Zaharah Agus, Jah Mahadi, Sarimah dan Alias Kongo.

Selain Sarimah “Madu Tiga” dibintangi oleh Seniwati Zaharah Agus sebagai Cik Latifah, isteri pertama bersifat garang dan isteri kedua, Cik Hasnah (Seniwati Jah Mahadi) seorang yang manja dan mengada-ngada.

PERKAHWINAN antara ‘Abang Jamil’ (P. Ramlee) dengan ‘Rohani’ (Sarimah) dalam filem “Madu Tiga.”
TANPA mengetahui…antara Rohani dan Cik Hasnah adalah bermadu!
DENGAN berkebaya hitam, Sarimah sebagai Rohani bertemu Cik Hasnah (Jah Mahadi) dalam babak di Hair Saloon.

Filem “Madu Tiga” bukan sahaja mendapat sambutan hangat apabila ditayangkan malah telah dianugerahkan Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik di Taipei, Taiwan pada tahun 1964.

Dua watak dan karakter yang berbeza dari filem “Ibu Mertuaku” dan “Madu Tiga” bukan sahaja mampu disantuni dengan baik malah ia menjadikan Sarimah salah seorang Seniwati yang menjadi rebutan di Malay Film Production (Shaw Brothers).

P. RAMLEE sedang mengarah satu babak yang melibatkan Rohani (Sarimah) dalam filem “Madu Tiga.”
P. RAMLEE sedang mengarah dalam salah satu babak filem “Madu Tiga.”

Walaupun kedua-dua filem itu telah berusia lebih 60 tahun namun ia masih tetap relevan hingga kini dan sentiasa ditonton oleh para peminat filem Melayu.

Kini pada usianya 84 tahun, Sarimah Ahmad lebih selesa menjalani hidup bersama anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya.

AKHIRNYA rahsia Abang Jamil ‘pecah’ apabila tiga isterinya (dari kiri) Cik Hasnah, Cik Latifah bertemu di rumah Rohani.
P. Ramlee bersama ‘tiga isterinya’ (berdiri dari kiri) Zera Agus, Jah Mahadi dan Sarimah.

Walaupun ada syarikat penerbitan yang menawarkannya berlakon, kini pada usianya 84 tahun, Sarimah lebih selesa menjalani kehidupan bersama anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit.

Paling istimewa dan berharga sebagai tanda persahabatan antara penulis, Syed Wafa dan Sarimah yang terjalin sekian lama, beliau telah menghadiahkan dua pasang baju ketika berlakon dalam filem “Madu Tiga” dan “Ibu Mertua-ku” sebagai tanda persahabatan.

APABILA ‘madu-madu Abang Jamil’ bersatu hati ‘serang’ beliau.
Dari kiri: Cik Latifah ( Zera Agus), Rohani (Sarimah) dan Cik Hasnah (Jah Mahadi).
INILAH kebaya hitam yang amat Sarimah sayang dan dipakai dalam filem “Madu Tiga” yang dihadiahkan kepada penulis, Syed Wafa.
P. RAMLEE dengan award yang dimenangi filem “Madu Tiga” bagi kategori Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik yang berlangsung di Taipei, Taiwan pada tahun 1964.

“Baju kurung ini ketika Kak Mah dalam babak bernikah dengan P. Ramlee dan babak di dalam keretapi, Kak Mah simpan baju ini dengan baik dan harap Wafa pun jaga dengan baik,” pesan Kak Mah pada Wafa.

“Baju kebaya hitam ini paling berharga dan Kak Mah sayang, terlalu banyak kenangan baju ini, Kak Mah pakai baju kebaya ini ketika babak dalam filem “Madu Tiga” di salon rambut dan ketika P. Ramlee gah angau gan Rohani,” kata Kak Mah sambil tersenyum.

Kebaya hitam ini Sarimah jaga dengan baik dan pernah dipakai ketika menjadi tetamu rancangan hiburan yang dihoskan Sudirman dan bersiaran di RTM.

Menurut Kak Mah lagi baju kebaya hitam ini banyak kenangan dan beliau pernah pakai ketika satu rancangan hiburan di RTM bersama Allahyarhan Datuk Sudirman Haji Arshad.

Wafa amat hargai hadiah dari sahabat dan idola beliau iaitu Sarimah serta berjanji akan menjaganya dengan baik dan kini disimpan dengan rapi di “Wafa Gellery” miliknya.

SARIMAH menghadiahkan kepada Syed Wafa baju yang dipakai ketika berlakon filem “Ibu Mertuaku.”

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga Sarimah dianugerahkan kesihatan yang baik dan sejahtera di dunia dan di akhirat… Amin.

SARIMAH menghadiahkan kepada Syed Wafa, kebaya hitam yang dipakai dalam filem “Madu Tiga”.
SYED Wafa berjanji akan menjaga dua pasang baju ketika Sarimah berlakon dalam filem “Ibu Mertuaku” dan “Madu Tiga” dengan baik, kini disimpan di Wafa Gellery milik.beliau.
SARIMAH amat hargai persahabatan bersama Wafa dan sebagai tanda persahabatan ini, beliau menghadiakan dua pasang baju yang amat berharga ketika berlakon dalam filem “Ibu Mertuaku” dan “Madu Tiga”.
Previous articleHargailah Kehidupan Anda!
Next articleCara penyediaan Nasi Goreng Daging yang lazat di Restoran Rasa Rosz!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here