Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Eddie Hamid/Koleksi Syed Wafa
Jika anda penggemar lagu-lagu ‘tangkap leleh’, salah satu lagu yang pasti tersenarai dalam koleksi untuk didengar tatkala berduka adalah lagu ” Segalanya Telah Berakhir” yang dikeluarkan pada 1989.
Meskipun Eddie Hamid, 62, yang mendendangkan lagu yang dimuatkan dalam album sulungnya, “Suara Kedamaian” namun segalanya belum berakhir bagi penyanyi yang nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan.
Sebaliknya, nama Eddie yang juga seorang komposer dan penerbit album itu semakin ‘mendunia’ walaupun sudah menceburi bidang seni sejak 1988.
Pada tahun ini lagu ciptaan Eddie iaitu ‘Cinta Setandan Pisang” nyanyian Eda Ezrin dan Den Manjo yang dimuat naik di saluran YouTube rasmi Kijang Music sejak 29 Disember 2023 telah mencecah tontonan sehingga 23 juta.
Malah pengendali laman sosial TikTok kelab bola sepak Juventus, Itali menggunakan lagu irama dikir moden itu untuk muzik latar jaringan penyerang ternama mereka Dusan Vlahovic selepas menjaringkan gol.
Bukan setakat di Itali, lagu yang liriknya ditulis oleh Mama Ana dan Fadhil Turbo turut menjadi perhatian rakyat Thailand gara-gara penahanan Eda Ezrin bersama lima individu lain yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda pada 1 November lalu.
Eddie yang merupakn Pengarah Urusan Kijang Music berkata, “Cinta Setandan Pisang” atau lebih dikenali sebagai lagu “Bey Soba Bey” bukanlah lagu dialek Kelantan pertama yang diciptanya.
“Saya mula mencipta lagu dialek Kelantan pada 2016 iaitu “Kelik Laa Wei” lagu raya untuk orang Pantai Timur yang dinyanyikan oleh Man Khan dan Aris Kapilla. Kira lagu itu dianggap sebagai lagu raya rasmi orang Kelantan.
“Timbul idea nak buat lagu raya khusus untuk orang Kelantan ni sebab orang belah Pantai Timur ni bila raya auranya lain. Paling membanggakan saya lagu itu turut masuk final AIM (Anugerah Industri Muzik).
“Lagu dialek Kelantan kedua ciptaan saya adalah “Jadikan Ku Yang Kedua” dendangan Rosalinda tapi lagu itu biasa-biasa saja. Kemudian saya buat lagu ” Boleh Kelik Doh Wei” dan diikuti dengan lagu “Jange Kelik Laa Wei” yang hampir-hampir tidak dilancarkan,” cerita Eddie.
Lagu “Jange Kelik Laa Wei” turut mendapat perhatian mantan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyidin Yassin sewaktu berucap dalam perutusan khasnya mengenai larangan perjalanan rentas negeri bagi menyambut perayaan hari raya Aidilfitri pada 2020.
Dalam ucapannya, beliau meminta orang ramai mendengar lagu “Jange Kelik Laa Wei” yang sesuai dengan situasi ketika itu.
“Saya sangat teruja dan terharu kerana selama ini teks ucapan Perdana Menteri dipuji ramai kerana kandungannya dekat dengan masyarakat melalui penggunaan pelbagai terma.
“Perdana Menteri yang turut menyebut nama lagu ciptaan saya dalam ucapannya itu merupakan hadiah paling bermakna kepada saya sebagai pencipta lagu tersebut,” akui Eddie dalam satu temu bual sebelum ini.
Sehingga kini, kata Eddie, beliau telah menghasilkan lebih 10 lagu dialek Kelantan. Antara lagu ciptannya itu adalah “Sakit Hati”, dendangan Eda Ezrin bersama beliau, “Abe Love U All ( Man Khan dan Adik Wani) serta “Poligami”.
Anak seni yang berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan itu berkata, beliau konsisten mencipta lagu dialek kerana mahu memartabatkan lagu-lagu Kelantan.
Eddie yang pernah mencipta lagu untuk kumpulan E.Y.E “Kau Tetap Di Jendela Kenanganku” pada 1996 berkata, beliau tidak bimbang dengan sambutan untuk lagu dialek Kelantan yang perlu bersaing dengan lagu arus perdana (dari segi bahasa).
“Bila saya buat tinjauan, saya dapati orang Kelantan ni ada di mana-mana saja dan yakin mereka pasti sokong lagu dialek negeri kelahiran mereka.
“Sebab itulah bagi memasti setiap lagu dekat dengan jiwa orang Kelantan, saya gunakan khidmat penulis lirik yang handal dalam dialek Kelantan,” akuinya.
Dalam usaha untuk memartabatkan lagu-lagu dialek Kelantan, Eddie menerusi Kijang Music cuba mencungkil bakat baharu sebagai pelapis.
Katanya, pihak Kijang Music akan mengadakan pertandingan lagu dialek Kelantan pada Disember ini. Di samping itu, pihaknya juga mahu mencungkil bakat anak-anak jati Kelantan dalam penciptaan lagu.
“Sebenarnya di Kelantan ni ramai yang berbakat, cuma mereka tidak ada saluran untuk mengetengahkan bakat. Kalau nak ambil orang luar nyanyi lagu dialek Kelantan, rasanya tak sama walaupun dia boleh hafal.
“Salah satu bakat yang baru saya ketengahkan adalah Geng 3 Beradik sebelum mereka sertai The Chosen One lagi. Saya ambil mereka selepas melihat kejayaan penyanyi cilik Tantari menerusi lagu ciptaan saya, “Rindu Hatiku Rindu”.
“Geng 3 Beradik ni memang popular di Kelantan dan mereka suka nyanyi lagu Tantari. Jadi saya buatlah lagu “Di Rindu Rindu” untuk mereka yang akan dilancarkan pada 20 November ini. Lagu itu dibuat sebelum mereka sertai program The Chosen One lagi,” kata Eddie.
Tambah Eddie, sekarang ini trend untuk mengetengahkan bakat baharu berbeza daripada dahulu.
Katanya, dulu bila seseorang bakat baharu sudah rakam lagu barulah dikenali ramai, sekarang ini orang itu lebih dikenali dulu baru rakam lagu.
“Saya akan ambil seseorang itu menyanyikan lagu ciptaan saya kalau dia menyanyi bagus bukan sekadar bergantung kepada viral saja.
“Sekarang ini saya lihat ramai juga penyanyi yang buat cover lagu dialek Kelantan untuk lagu “Bae Soba Bae”. Itu membuktikan yang ramai makin suka lagu dialek Kelantan,” katanya tersenyum bangga.
Tahun 2024, impian terlaksana
Menurut Eddie, 2024 adalah tahun bertuah untuk dirinya kerana karyanya baik lagu Melayu atau dialek Kelantan mendapat sambutan daripada peminat muzik.
“Syukur alhamdulillah, sepanjang saya bergelar anak seni semua impian saya sudah berjaya dicapai. Sekarang ini saya perlu pertahankan apa yang ada.
“Impian saya nak jadikan lagu dialek Kelantan ‘mendunia’ sudah berjaya. Nak buat lagu-lagu Melayu ciptaan saya dikenali juga sudah dimakbulkan Allah.
“Tidak dinafikan seiring dengan peredaran masa, platform TikTok juga banyak membantu. Macam lagu Wawa Shazwa ” Undur Diri” yang saya terbitkan itu viral di TikTok bila netizen guna sebagai muzik latar untuk satu isu artis.
“Macam tu juga dengan lagu “Mek Saye” yang saya rakam beberapa tahun lalu, kini kembali viral kat TikTok selepas kes Eda tu.
“Saya juga sudah berjaya mengangkat nama Tantari, Wawa dan Eda Ezrin. Semoga saya boleh bantu ramai lagi mereka yang berbakat,” katanya yang bakal mengumpul lagu-lagu dialek Kelantan ciptaannya dalam sebuah album pada tahun depan.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.