KECANTIKAN asli serta suara yang lunak dimilikki Orchid Abdullah menjadikan beliau digilai oleh peminat ketika itu.

Oleh : SYED WAFA
Foto : Koleksi SYED WAFA

SUATU waktu dahulu setiap kali mendengar lagu “Penawar Rindu” berkumandang di radio pasti akan mengingatkan kita akan biduanita, Allahyarham Bidunita legenda Datin Orchid Abdullah yang bukan sahaja memiliki suara yang lunak didengar malah wajah jelita penyanyi berdarah kacukan Arab dan Inggeris ini meraih populariti dan diminati para peminat terutama pencinta irama ghazal dalam sekelip mata kerana lagu berkenaan.

“Penawar Rindu”, lagu berirama ghazal ciptaan dan diterbitkan Atan Ahmad diabadikan dalam album pertamanya berbentuk EP “Pesan-ku” dan diedarkan oleh EMI pada tahun 1970.

Album pertama Orchid Abdullah “Pesan-ku” dalam bentuk EP yang mengabadikan lagu “Penawar Rindu.”
POPULARITI yang diraih oleh Orchid Abdullah dengan lagu “Penawar Rindu” telah memberi beliau muncul dengan album baru yang mengabadikan empat buah lagu iaitu “Gerak Maju” dan “Kau Ku Nanti” di
muka 1.
Sementara Muka 2 mengabadikan lagu “Mastika Hati” dan “Nasib Malang.”

“Penawar Rindu” yang dirakam dengan iringan kumpulan Orkes Sri Kenangan, Batu Pahat mencatatkan sejarah tersendiri kerana ia adalah salah satu lagu ghazal paling popular dalam sejarah muzik Melayu.

Lagu tersebut yang diibaratkan ‘tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas’ bukan sahaja telah mengekalkan populariti Orchid Abdullah malah ia sering dinyanyikan dalam persembahan orkes Melayu.

ORCHID Abdullah bersama kugiran Les Coasters yang begitu terkenal ketika itu dan selalu mengiringi persembahannya.
KELEBIHAN penyanyi bernama Orchid Abdullah, beliau juga seorang guru yang sungguh didikasi.

Mungkin ramai yang tidak tahu, meskipun lagu itu telah meletakkan Orchid Abdullah di tempatnya yang tersendiri dan menerima banyak undangan menyanyi namun beliau hanya memenuhi undangan menyanyi pada cuti sekolah sahaja!

Sebabnya, walaupun meminati bidang seni namun realitinya beliau amat menyayangi kariernya sebagai seorang guru!

Album Ghazal Orchid Abdullah merakamkan dua lagu iaitu “Puteri Menangis” dan “Bertemu Di-Alam Mimpi.”
ORCHID Abdullah dengan album “Kelohan Dara.”

Minat dan bakat Orchid Abdullah dalam bidang nyanyian mula terserlah sejak beliau menjalani kursus di Maktab Perguruan Harian, di Johor pada tahun 1960-an.

Bagaimanapun ketika itu, Orchid Abdullah sekadar memenuhi undangan menyanyi pada hari cuti kerana mahu menumpukan perhatian kepada pengajiannya di maktab tersebut.

Orchid Abdullah dalam filem “A Go Go 67.”
Orchid Abdullah berduet dengan M. Fadzil dalam lagu “Ikatan Janji” dalam filem “A Go Go 67.”

Namun setelah menggalas tugas sebagai seorang guru di Sekolah Sri Mersing, Mersing, Johor, minat Orchid Abdullah dalam bidang nyanyian tidak pernah padam malah masih diteruskan tanpa mengabaikan tanggungjawabnya dalam mendidik anak bangsa selama 20 tahun bergelar guru!

Popularitinya sebagai penyanyi dan tanggungjawabnya sebagai guru berjalan seiring. Sebab itu tidak hairanlah sepanjang bergelar anak seni, Orchid Abdullah sempat merakamkan tujuh album dengan lagu-lagu popular antaranya Carilah Ganti, Idaman Dara, Harapan Ku Hampa, Kau Menghilang, Pesan-Ku, Harapan Bangsa dan Seruan Kasih.

ALBUM yang merakamkan lagu-lagu nyanyian Orchid Abdullah dengan diiringi Les Coasters.
SELAIN suaranya lunak, Orchid Abdullah diberi peluang muncul dengan album baru satu demi satu kerana wajah kacukannya.

Disamping itu, beliau juga pernah berduet dengan M. Fadzil dalam lagu “Ikatan Janji” dalam filem “A Go Go 67” dan sering membuat persembahan dengan iringan kugiran Les Coasters yang begitu popular pada era tersebut.

Realitinya populariti lagu tersebut yang sukar digugat telah meletakkan Orchid Abdullah di tempat paling istimewa bukan sahaja di persada seni malah di hati para peminatnya.

ORCHID Abdullah sering mendapat undangan menyanyi di zaman kegemilangan beliau.

Sebab itu tidak hairan, selain Orchid Abdullah, lagu tersebut turut dirakamkan semula oleh Allahyarham Datin Rafeah Buang yang mana “Penawar Rindu” versi beliau diabadikan dalam bentuk kaset dengan penerbitnya Ooi Eow Jin edaran Polygram pada tahun 1980.

Kemudian penyanyi Noraniza Idris turut mengabadikan lagu “Penawar Rindu” dalam album beliau berjudul “Sawo Matang” dalam bentuk CD dengan penerbitnya Fareez dan Noraniza Idris. Album tersebut dilancarkan pada tahun 2004.

Begitulah hebatnya ‘pengaruh’ lagu “Penawar Rindu” yang telah meletakkan nama Orchid Abdullah di tempatnya yang tersendiri.

ORCHID Abdullah menerima trofi Anugerah Biduanita Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 (ABPBH – 2003) yang disampaikan oleh Datuk Mustapha Maarof.
ORCHID Abdullah ketika menyertai satu program hiburan menyanyikan lagu hitsnya “Penawar Rindu.”

Tetapi entah dimana silapnya, Orchid Abdullah yang pernah menerima Anugerah Biduanita Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 (ABPBH – 2003) kian dilupakan.

Tidak pernah ada satu program yang mengabadikan lagu-lagu nyanyian Allahyarham diterbitkan sebagai menghargai bakat dan pencapaiannya dalam bidang seni.

WALAUPUN usianya semakin meningkat ketika itu tetapi kecantikannya tetap terserlah!

Apa yang nyata setelah tidak aktif dalam bidang nyanyian, Orchid Abdullah yang mempunyai empat anak iaitu Nur Shalina, Md. Nor Shareen, Mohd. Noor Shafri dan Nur Shafinaz melalui perkahwinannya dengan Datuk Mokhtar Omar, menganggotai kumpulan marhaban yang dikenali KAWAN dan dianggotai ramai artis veteran.

Orchid Abdullah yang mengidap penyakit ketumbuhan hormon yang tidak stabil atau dikenali paraganglioma sejak tahun 2008 meninggal dunia pada usia 64 tahun di Hospital Ampang pada 14 Mei 2011. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat AU1.

PENULIS, Syed Wafa bersama tiga legenda dalam bidang senisuara (dari kiri) penyanyi keroncong, Mariam Ahmad, Datuk Yusni Hamid dan Orchid Abdullah.
KENANGAN indah Syed Wafa bersama biduanita legenda Orchid Abdullah.

Suami Allahyarham, Datuk Mokhtar Omar, 70, meninggal dunia empat hari setelah Orchid Abdullah iaitu pada 18 Mei 2011. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

MOHD. Noor Shafri menyiram air mawar di pusara ibunya, Arwah Orchid Abdullah pada majlis pengebumian pada 14 Mei 2011.
Previous articleNikmati keenakan Spaghetti Itik Salai Shitake hanya di Restoran Rasa Rosz di IOI City Mall, East Wing, Putrajaya
Next articleUntuk sihat, Utamakan kesihatan demi kesejahteraan hidup!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here