Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin
SEMUA orang mahu sihat sentiasa dan justeru itu mereka berusaha melakukan pelbagia cara bagi memastikan kesihatan terpelihara. Dalam usaha untuk membantu orang ramai menangani masalah kesihatan, Klinik Dr. Ana dan Dr. Ana Wellness & Spa hadir untuk membantu.
Bagi memudahkan penduduk di sekitar Nilai, Negeri Sembilan menjaga keperluan kesihatan mereka, cawangan kesebelas Klinik Dr. Ana dan Dr. Ana Wellness & Spa kini beroperasi di situ.
Pembukaan klinik tersebut di situ, adalah sebahagian daripada usaha berterusan jenama ini untuk memberikan perkhidmatan kesihatan dan kesejahteraan berkualiti tinggi kepada masyarakat Malaysia.
Pengasas Klinik Dr. Ana iaitu Dr. Fatin Amira berkata, Nilai dipilih sebagai lokasi terkini kerana ia mempunyai potensi besar.
“Nilai merupakan kawasan yang pesat membangun dengan komuniti yang dinamik. Ia juga berada di lokasi strategik berhampiran KLIA dan Putrajaya, menjadikannya destinasi yang ideal untuk memperluaskan jenama kami.
“Dengan hab membeli-belah terkenal seperti Nilai 3 dan AEON Mall, kuasa beli di kawasan ini cukup tinggi, memberi peluang kepada kami untuk menyediakan perkhidmatan yang relevan dengan keperluan pelanggan,” jelasnya.
Pembukaan ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan komuniti tempatan yang semakin meningkat terhadap akses kepada penjagaan kesihatan moden dan inovatif. Klinik Dr Ana terus komited untuk memastikan setiap cawangan mereka menawarkan perkhidmatan berkualiti yang mengutamakan keselesaan dan kepercayaan pelanggan.
Tegas Dr. Fatin Amira, cawangan klinik di Nilai ada identiti tersendiri dan pendekatan menyeluruh kerana ia bukan sekadar klinik biasa, malah ia direka sebagai ‘signature branch’ dengan reka bentuk dalaman yang moden, mewah dan selesa.
“Konsep yang kami bawa di Nilai adalah gabungan rawatan perubatan dan kesejahteraan dengan pendekatan yang lebih holistik. Selain rawatan perubatan standard, kami memperkenalkan perkhidmatan khas seperti terapi relaksasi yang direka untuk memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya lagi.
Cawangan ini juga dibina dengan fokus kepada pengalaman pelanggan, dengan suasana yang menyenangkan dan eksklusif.
“Kami percaya bahawa persekitaran memainkan peranan penting dalam pengalaman rawatan. Di cawangan Nilai, setiap sudut direka untuk memberikan rasa tenang dan memanjakan pelanggan. Cawangan ini juga dibina dengan fokus kepada pengalaman pelanggan, dengan suasana yang menyenangkan dan eksklusif,” tambah Dr. Fatin Amira lagi.
Antara rawatan yang disediakan adalah Rawatan Cucuk Lutut Menggunakan PRP (Platelet-Rich Plasma), Hyaluronic Acid, Sovisc, dan Biolyph yang direka khusus untuk membantu pesakit yang mengalami masalah lutut dan sendi, rawatan ini menawarkan penyelesaian kepada kesakitan dan keradangan.
Manakala, rawatan Energy Booster Intravenous Drip pula membantu meningkatkan tenaga, mengurangkan keletihan dan menyokong kesihatan keseluruhan badan, sesuai untuk mereka yang menjalani gaya hidup aktif atau memerlukan sokongan tambahan untuk kesejahteraan diri.
Dengan memperkenalkan rawatan-rawatan ini, Klinik Dr. Ana terus membuktikan keupayaan mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan kesihatan masyarakat moden.
Selain itu, klinik ini juga merancang untuk melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan seperti menganjurkan kempen kesedaran kesihatan dengan melakukan pemeriksaan secara percuma dan ceramah kesihatan untuk meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan.
Turut dilaksanakan adalah bengkel pemakanan dan analisis kulit secara percuma yang bertujuan untuk membantu masyarakat memahami keperluan tubuh badan mereka dengan lebih mendalam, seterusnya memilih rawatan atau langkah pencegahan yang sesuai.
“Kami mahu memastikan kehadiran kami di Nilai membawa impak positif kepada komuniti. Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang pentingnya penjagaan kesihatan holistik,” jelas Dr. Sharifah Najwa, salah seorang doktor utama di Klinik Dr. Ana.
Klinik Dr. Ana yang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam industri kesihatan dan kesejahteraan di Malaysia itu turut merancang memperluaskan lagi rangkaian perkhidmatan ke kawasan strategik lain seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
Antara perancangan yang bakal dijayakan adalah memperkenalkan klinik pergigian dan farmasi di bawah jenama Dr. Ana. Selain itu, membawa jenama ini ke peringkat yang lebih tinggi melalui penyenaraian awam (IPO).
Langkah ini bertujuan untuk memperkukuhkan jenama, menarik sokongan pelabur, dan memastikan perkhidmatan mereka terus berkembang untuk manfaat masyarakat.
Untuk itu, Klinik Dr. Ana sering menekankan latihan berkala kepada kakitangan mereka di setiap cawangan. Mereka juga mengutamakan maklum balas pelanggan sebagai asas untuk penambahbaikan.
“Kami mempunyai service recovery unit yang khusus menangani sebarang aduan dengan segera dan efisien. Pendekatan ini membolehkan kami mengekalkan kualiti perkhidmatan yang tinggi di semua cawangan,” tambah Dr. Sharifah.
Dengan pasukan yang berdedikasi dan sokongan komuniti, Klinik Dr. Ana yakin akan terus menjadi jenama yang sinonim dengan kualiti, inovasi dan kesihatan yang menyeluruh.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.