Oleh : Asmat Fikri
Sakitnya tumit ni. Pedih! Merekah kemerah-merahan. Mungkin ramai wanita di luar sana yang mengalami masalah tumit pecah begini? Tanpa stoking, mesti terdedah jelas kawasan tumit yang menggerutu. Masalah ini bukan sahaja akan mencacatkan penampilan malahan juga menyebabkan ketidakselesaan tatkala berjalan, berjoging atau berlari.
Itu pun belum lagi kira bila malam, tumit yang merekah itu akan berdenyut-denyut sakit kerana pada waktu siang hari kita terlalu aktif berjalan ke sana ke mari.
Berkenaan tumit merekah ini, menurut Pakar Dermatologi Samer Jaber, punca tumit merekah akan berlaku apabila terdapat gangguan pada lapisan kulit di kawasan terbabit. Dan difahamkan, sebanyak 20% individu yang tinggal di Amerika Syarikat mengalami masalah ini namun tidak diketahui apakah punca tumit merekah tersebut.
Gangguan ini mungkin boleh terjadi akibat kondisi kulit seperti psoriasis dan ekzema atau juga disebabkan oleh kulit yang terlalu kering.
Ia juga mungkin merupakan petanda bahawa tubuh badan anda kekurangan vitamin yang penting untuk kulit seperti vitamin E, B3 dan C.
Punca tumit merekah
Mengikut perkongsian Dr Zubaidi Hj Ahmad, berikut adalah beberapa punca tumit kaki merekah. Antaranya adalah disebabkan:-
1. Cuaca yang sejuk
Faktor cuaca adalah antara punca wanita mengalami masalah tumit kaki merekah dan pecah. Biasanya keadaan ini membabitkan mereka yang tinggal di negara beriklim sejuk dan kulit akan berubah tesktur mengikut perubahan kulit.
Selain itu, kekerapan menggunakan pendingin hawa dalam bilik juga turut mempengaruhi tumit kaki. Kaki yang kering akan menjadi pecah-pecah, gatal merekah dan pedih disebabkan suhu yang sejuk.
Bagi mengurangkan masalah ini, sapu kulit tapak kaki dengan pelembap dan beli produk khusus untuk merawat tumit kaki merekah.
2. Penggunaan sabun tanpa pelembap
Tidak semua sabun mengandungi pelembap. Sebagai pengguna, anda perlu lebih bijak dalam memilih sabun untuk mandi. Sabun tanpa kandungan pelembap dapat meningkatkan risiko kulit kering dan ia bukan sekadar berlaku pada bahagian tapak kaki saja, tapi seluruh tubuh akan mengalami kekeringan dan kulit menjadi kasar.
3. Berat badan berlebihan
Memiliki berat badan yang berlebihan bukan sahaja menjejaskan kesihatan badan, bahkan kulit bahagian tapak kaki juga akan terkesan. Hal ini kerana berat badan yang berlebihan akan memberi tekanan pada kaki dan tidak dapat menampung bahagian atas yang berat, sekali gus menyebabkan tumit merekah.
4. Melakukan aktiviti berlebihan
Apabila anda sering melakukan aktiviti, maka risiko untuk kulit tapak kaki merekah akan semakin tinggi. Bahagian kaki terutama tumit akan mengalami geseran dengan permukaan kasut atau lantai, lalu menjadi semakin tebal dan juga kering pada waktu yang sama.
Kulit tumit yang kering biasanya akan bersisik sebelum mula merekah yang membuatkan anda merasa pedih sehingga tidak selesa.
# Ikuti bahagian kedua artikel berkaitan dengan makanan yang sesuai dengan tumit merekah ini.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.