Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Lisa Surihani/Koleksi Syed Wafa
Sejak berhijab, kini pesona Datin Lisa Surihani Mohamed, 39, yang merupakan isteri Datuk Yusry Abdul Halim begitu ketara sekali. Walaupun penampilannya simple namun keayuan wajahnya menyembunyikan segala-galanya.
Kini nampaknya, Lisa Surihani pelakon yang telah muncul dalam puluhan filem, drama, model, pengacara dan jurucakap produk Malaysia seperti memperlahankan aktiviti seninya dan lebih senang menghabiskan banyak masa menguruskan rumah tangga dan anak-anak.

Sepanjang perbualan tidak lekang mulutnya bercerita mengenai ketiga-tiga anak kesayangannya ini. Itulah sikap seorang ibu yang terlalu menyayangi anak-anak dan keluarganya. Sejak kematian bapanya beberapa tahun yang lalu, kini ibunya, Siti Amirah Ahmad, 73, tinggal bersama Lisa.
“Sebenarnya saya tidak pernah memperlahankan kerjaya seni secara sengaja, sebaliknya ia mungkin berlaku kerana saya mahu seimbangkan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu serta minat saya dalam kerjaya seni. Saya nak buat kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Jadi banyak perkara yang perlu diambil kira agar tidak mengabaikan salah satunya.

“Saya berbuat demikian untuk memastikan dapat uruskan masa dengan baik di mana saya boleh keluar bekerja tetapi dalam masa sama anak-anak dan keluarga terjaga. Itu sebabnya saya cuba imbang jadual kerja saya. Kalau boleh saya ada banyak masa bersama anak-anak,” kata Lisa lagi.
Menurut Lisa lagi, kini ada juga tawaran berlakon tapi tidaklah sekerap dulu lagi.
“Last filem saya Sinaran pada 2014 dan kini tawaran pun tidaklah sekerap dulu berbanding masa solo dulu. Saya pula jenis yang cepat hadam apa juga fasa yang terpaksa saya lalui, saya akan ikut sahaja. Mungkin Allah dah atur yang terbaik untuk saya dan sebagai umatnya saya ikut sahaja. Apa yang tertulis untuk dia bukan pasal nasib baik tapi Allah dah tentukan begini dan begitu… sebagai umatnya kita kena terima seadanya.

“Walaupun tak sibuk berlakon namun saya juga masih sibuk kerana dipilih menjadi duta pelbagai produk. Syukur pada Allah kerana kurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka dan hadirkan rasa syukur serta cukup dengan apa yang ada. Kalau jadi duta produk pun, kontrak saya berjalan selama setahun dan bergantung kepada perjanjian antara kami.
“Dulu saya kerap berlakon…sekarang bila Allah tulis begini pula masa depan saya, saya reda dan terima dengan hati yang terbuka sebab Allah tahu apa yang terbaik untuk umatnya. Apa jua yang saya lalui…ada perasaan dah tulis itu dan ini,” kata Lisa yang kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Lisa Surihani anak keempat daripada lima adik-beradik yang berdarah kacukan Melayu (Bugis), India, Cina dan Arab ini merupakan lulusan undang-undang daripada Kolej Universiti HELP dan Universiti Aberystwyth, Wales United Kingdom.
“Saya bertuah kerana ada ahli keluarga yang duduk bersama. Jika saya keluar kerana ada urusan, sekurang-kurangnya ada orang menjaga anak-anak saya. Saya pun macam mak-mak lain kat dunia ini nak cuba lunaskan jaga amanah. Kini anak-anak makin membesar dan saya rasa begitu seronok jika dapat melihat anak-anak membesar depan mata.
“Saya pun rasa bertuah kerana dapat suami sebaik Yusry. Yusry tak memilih dan tidak cerewet bab-bab makan. Dia makan apa yang dimasak pembantu kami. Selalunya menu setiap hari saya yang tentukan.

“Bercakap bab anak pula, saya tak berani nak cakap tentang masa depan mereka. Contohnya, mungkin kita harap begini tapi Allah lebih tahu apa yang terbaik buat umatnya…saya hambanya dan saya tak berani nak cakap apa-apa. Biarlah mereka tentukan masa depan sendiri dan sebagai ibu bapa kita akan membantu mereka.
“Anak-anak saya bersekolah di International Islamic School. Dulu anak-anak saya cukup pemalu orangnya. Tapi kini saya tengok anak-anak saya nampak lebih yakin untuk ke depan.”

Populariti, kepetahannya bercakap dan kecantikan semulajadinya membuatkan Lisa Surihani sering ditawarkan menjadi menjadi duta dan jurucakap bagi pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa.
Lisa memulakan kariernya ketika berusia 11 tahun menerusi iklan susu coklat ovaltine. Antara model iklan yang pernah dilakukan ialah McDonalds (2002), Garnier, Marigold Peel Fresh, Oral-B, duta Courts Mamoth, Lip Ice Sheer Color, Freshlook, WeChat, Rexona dan Sofy BodyFit.

Lisa Surihani dan Yusry mendirikan rumahtangga pada 23 Februari 2012. Pasangan ini dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, Yahaira Leanne, 10,Yusof Leonne, 7, dan Yunos Laith,4.
Lisa dikenali sebagai seorang pelakon yang bebas dari kontroversi, malah beliau diberi jolokan “Malaysia’s Sweetheart” (Buah Hati Rakyat Malaysia) oleh media tempatan. Setelah beberapa tahun bergelar isteri, Jun 2019, Lisa mengenakan tudung selepas pulang dari mengerjakan umrah.

Selain berlakon dan bergelar duta produk, Lisa juga sering mendapat tawaran menjadi pengacara program televisyen antaranya sebagai pengacara program rancangan Sakinah, Mawaddah Warahmah yang disiarkan di Astro Oasis.
Sesuai dengan imej seorang ibu dan keperibadiannya, Lisa juga pernah dilantik sebagai Duta Muhibah bagi Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cawangan Malaysia (UNICEF) dan duta kempen MPs Against Predators berkaitan penderaan seksual kanak-kanak.

Selain berlakon, Lisa juga pernah bergandingan bersama suaminya menerusi lagu duet sulung mereka, Kekasih Abadi. Lagu tersebut juga digunakan sebagai lagu tema bagi program travelog Pasport Cinta Yusry-Lisa.
Bermula daripada berlakon iklan, bakat Lisa Surihani terus dikembangkan menerusi filem pertama lakonannya Goodbye Boys (2006), I’m Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak,V3 Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Lagenda Budak Setan, Kapoww, Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Sekali Lagi, Ombak Rindu, Papa I Love U, Lagenda Budak Setan 2: Katerina, SAM: Saya Amat Mencintaimu, Istanbul Aku Datang, Ular, Despicable Me 2, Lagenda Budak Setan 3: Kasyah, Dendam Orang Mati, Manisnya Cinta di Cappadoccia, Suakiku, Encik Perfect 10, Cicakman, Sinaran, Wheely dan Sumpahan Malam Raya.

Manakala drama yang pernah dibintanginya ialah Gergasi, Ayah Kami, Obsesi, Mertua vs Menantu, Adamaya, Mana Hilangnya Juwita, Maskara, Mama Mama Mia, Syahadah Yang Hilang , Kontena Ana, Jibril, Alamatnya Cinta, Pelindung Seorang Puteri, Ramadan Pertama Edi, Lagenda Puteri Qaseh, Hikayat Bawang Putih, Bawang Merah, Legenda Puteri Qaseh 2, Kiblat Ke Syurga, Mataku Nampak Hantu, 3 Janda, Tudung Ekspres, Aku Posmen, Geng, Strawberi & Karipap: Sesat Kat Paris, Dah Mati Pun Cantik dan 6 Hari.
Lakonannya yang mantap dan hebat di layar perak membuatkan Lisa terpilih sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM 21) menerusi filem I’m Not Single, Pelakon Wanita Terbaik menerusi Lagenda Budak Setan 2010 dan Istanbul Aku Datang 2014 (FFM26). Begitu juga dengan anugerah Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010, anugerah Persembahan Komedi Terbaik (Filem) di Anugerah Lawak Warna 2013 menerusi filem Istanbul Aku Datang.

Menerusi filem box office, Ombak Rindu ini Lisa meraih gelaran Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2012 serta dicalonkan buat kali kedua dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada tahun 2011.
Manakala menerusi filem Sekali Lagi, Lisa mendapat pencalonan bagi Heroin Terhebat di Anugerah Blokbuster yang julung kalinya diadakan, kategori Pelakon Filem Wanita Popular (ABPBH 2012), Pelakon Wanita Terbaik di FFM ke-24, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 menerusi filem Istanbul Aku Datang. Pada 2014, beliau menerima pencalonan di Anugerah Nickelodeon Kid’s Choice bagi kategori Favourite Asian Act.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.